Categories
SELANGOR

18 ahli TAWAS penghidap penyakit kronik dibantu

Oleh : NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 21 DIS: Seramai 18 kanak-kanak berdaftar dengan Tabung Warisan anak Selangor (TAWAS) yang menghidap penyakit kronik menerima sumbangan wang tunai sebanyak RM1,000.

Sumbangan melalui Tabung Generasi YAWAS (TERAS) itu disampaikan oleh Exco Kesihatan, Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita, Dr Daroyah Alwi dan Pengurus Besar Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS), Mohd Noor Mohd Zain di Ibu Pejabatnya, di sini.

Penerima menghidap penyakit kronik antaranya buah pinggang, jantung berlubang, injap bocor, kecacatan saraf, leukimia, paru-paru, saluran darah sempit dan ketiadaan limpa.

Bapa, Eddie Nasril Rubain, 43, berkata bantuan yang diterimanya itu sedikit sebanyak meringkan kos perubatan anaknya, Nur Arissa Damia, 1 tahun 8 bulan yang menghidap injap jantung sempit sejak dilahirkan.

Eddie Nasril“Saya tidak menyangka masih ada lagi pihak yang prihatin dengan keluarga kami. Saya tidak pernah meminta atau mendapat mana-mana bantuan sebelum ini.

“Sumbangan ini sedikit sebanyak membantu kami meringankan beban ke hospital menjalani rawatan dan kami sangat menghargainya,” katanya yang sedikit sebak.

Bapa kepada tiga orang anak itu hanya bekerja sebagai Posmen, manakala Isterinya, Norhaizan Shahid, 37, bekerja sebagai Kerani.

“Terima masih kepada pihak YAWAS kerana sudi menghulurkan sumbangan ini. Walaupun doktor mengesahkan anak saya tidak dapat dipulihkan lagi, namun dengan bantuan ini dapat memanjangkan tempoh usia anak saya melalui rawatan yang dijalankan,” katanya.

Ahmad BustaminSementara itu, Ahmad Bustamin, 32, berharap bantuan seperti itu dapat diteruskan masa akan datang sebagai usaha prihatin membantu keluarga yang kurang berkemampuan.

“Terima kasih kepada semua pihak kerana prihatin. Walaupun ia tidak banyak, namun dapat membantu keluarga yang benar-benar memerlukan,” katanya.

Anaknya, Aidil Nufail, 2, menerima sumbangan itu kerana mengalami kecacatan saraf dibahagian kepala sehingga lumpuh akibat kecuaian pengasuh.

-nR-

Leave a Reply

Your email address will not be published.