Categories
SELANGOR

2017 diwarta Tahun Melawat Klang

Oleh: NORHAYATI UMOR

KLANG, 8 DIS: Tahun 2017 akan diwartakan sebagai Tahun Melawat Klang sebagai usaha mempromosikan daerah itu kepada umum.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz berkata usaha itu juga dilakukan ekoran daerah terbabit mempunyai pelbagai momen sejarah yang tersendiri.

IMG_5142Katanya, Majlis Perbandaran Klang (MPK) perlu giat mempromosikan pelbagai produk yang sedia ada termasuk memperkenalkan makanan tempatan atau makanan jalanan sebagai simbol produk di Klang.

“Di Pulau Pinang dan Melaka banyak makanan jalanan yang diperkenalkan. Jadi di Selangor, daerah Klang berpontensi untuk memperkenalkan produk makanan. Antaranya Bak Kut Teh yang original banyak di Klang,” katanya kepada pemberita dalam sidang media selepas Pelancaran Aplikasi Telefon Pintar ‘Discover Selangor’, di Lobi MPK, di sini.

Hadir sama Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar, Elizabeth Wong dan Yang Dipertua MPK, Datuk Mohd Yasid Bidin serta Pengurus Besar Tourism Selangor, Noorul Ashikin Mohd Din.

Nazri turut mencadangkan MPK menaiktaraf kawasan bersejarah antaranya Tugu Raja Mahadi bagi menjadikan kawasan terbabit sebagai simbol pelancongan di Klang.

“Pulau Ketam juga perlu diperkenalkan, kawasan Paya Bakau dan jeti perlu dinaiktaraf. Begitu juga pembinaan ‘homestay’ di pulau itu.

“Kehadiran pelancong luar negara ke Selangor jatuh ditangga ke tujuh walhal negeri ini adalah negeri maju. Jadi, ia amat mendukacitakan.

“Kita memahami, pelancong ini tiba di lapangan terbang kemudian ke tempat lain. Agak rugi sekiranya pelancong tidak melawat negeri ini. Kadang kala pelancong memang ke Selangor namun hanya sehari dan bermalam di Kuala Lumpur,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mahu MPK menyediakan pelan rancangan khas untuk dikemukakan dalam Rancangan Malaysia akan datang.

“Setakat ini dalam RMK ke 11, untuk Selangor cuma ada satu iaitu Hutan Lipur Kanching. Ini memeranjatkan saya. Jadi, kita minta MPK menyediakan pelan rancangan ini untuk kita lihat secara keseluruhannya.

“Kita tiada masalah untuk bekerjasama dengan Kerajaan Negeri dalam mempromosikan kawasan dan produk pelancongan di negeri ini,” katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.