Categories
NASIONAL

BN ‘ringankan’ beban rakyat, Najib disindir ‘hidup di awang-awangan’

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 21 DIS: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak disindir ‘hidup di awang-awangan’ ekoran kenyataan di blognya, ‘kerajaan sedaya upaya meringankan beban rakyat ekoran kenaikan kos sara hidup’.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar, berkata kenyataan Najib itu hanya retorik apabila tindakan Umno-Barisan Nasional (BN) sebelum ini jelas tidak menggambarkan apa yang dinyatakan Najib.

Nurul-Izzah“Beliau sendiri penyebab kos sara hidup menerusi dasar potongan subsidi dan pengenalan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

“Adakah rakyat sedang disaji propaganda murahan tajaan mana-mana syarikat? Maka penting untuk kita menilai sedalam-dalamnya sebab utama kemelut ekonomi yang sedang dihadapi,” kata Nurul Izzah kepada Selangor Kini, hari ini.

Katanya, keputusan kerajaan menaikan kadar tol dan tambang pengangkutan awam menambah kesengsaraan rakyat khususnya bagi berpendapatan rendah dan sederhana.

Jelasnya, keperitan yang ditanggung rakyat ditambahkan lagi dengan jawapan kurang bijak dan menyakitkan hati daripada beberapa menteri kabinet Najib.

Untuk rekod, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ahmad Maslan; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Seri Abdul Wahid Omar; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim dan bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hassan Malek pernah mengeluarkan tidak sensitif berhubung isu kenaikan kos sara hidup yang mengundang kecaman rakyat.

Selain beberapa menteri, Najib sendiri turut tidak terlepas mengeluarkan beberapa kenyataan tidak sensitif yang akhirnya menjadi bahan cemuhan rakyat terhadap beliau.

Baju KangkungAntaranya, Najib sambil mengesyorkan rakyat memakan sayur kangkung ekoran harganya yang murah, turut mempersoalkan keengganan rakyat memuji kerajaan kerana kemampuan kerajaan memastikan harga kangkung kekal murah.

“Hari ini saya baca dalam surat khabar ada yang dah turun. Kangkung dulu naik sekarang dah turun, bila dah turun kenapa tak puji kerajaan, masa naik dipersalahkan kerajaan. Ini tidak adil,” kata Najib.

Najib sebelum itu ketika mempertahankan keputusan pemotongan subsidi gula turut berkata, pemotongan subsidi bahan itu baik untuk kehidupan seks masyarakat, manakala dalam isu 1MDB pula Najib menjelaskan RM2.6 bilion yang dimasukkan ke akaun beliau diperolehi dari derma hartawan Arab dan banyak lagi.

-nR-

Leave a Reply

Your email address will not be published.