Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Dakwaan Ahmad Husni diperlakukan sebagai budak pejabat satu komedi – Najib

KUALA LUMPUR, 4 DIS: Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang memberi keterangan membela diri dalam perbicaraan melibatkan dana SRC International Sdn Bhd (SRC), hari ini menyifatkan dakwaan bekas Menteri Kewangan II Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah bahawa beliau (Ahmad Husni) hanya diperlakukan sebagai ‘office boy’ adalah satu komedi.

Najib, 66, yang merupakan Menteri Kewangan dan Penasihat Emeritus SRC ketika itu berkata dakwaan Ahmad Husni itu tidak masuk akal kerana beliau telah dirujuk dan juga meluluskan beberapa memo penting sebagai Menteri Kewangan II (MOF2) termasuk Memo Kementerian Kewangan bertarikh 2 Februari 2012 dan Memo Perbendaharaan bertarikh 4 November 2015 membabitkan peruntukan pinjaman jangka pendek kepada SRC.

“Dakwaan bahawa beliau diperlakukan sekadar ‘office boy’ (budak pejabat) adalah satu komedi memandangkan tandatangannya selaku Menteri Kewangan II (MOF2) menunjukkan sebaliknya.

“Datuk Seri Husni juga turut hadir dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 8 Februari 2012 di mana Jaminan Kerajaan Kedua (pinjaman SRC daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) berjumlah RM2 bilion) diluluskan dan tidak membangkitkan apa-apa isu.

“Ia sangat tidak masuk akal apabila MOF2 (Ahmad Husni) sanggup merendahkan diri sendiri ke tahap memanggil dirinya sebagai ‘office boy’, kononnya hanya mengikut arahan apabila beliau sendiri gagal menjalankan tanggungjawab berdasarkan jawatannya, sekiranya benar beliau mempunyai kepercayaan bahawa SRC memerlukan sedikit pemerhatian pada waktu itu,” katanya yang memberi keterangan bersumpah dari tempat duduk saksi bagi membela diri terhadap tujuh pertuduhan menyeleweng RM42 juta dana SRC.

Kepada soalan peguamnya Wan Aizuddin Wan Mohammed bahawa Ahmad Husni dalam keterangannya sebelum ini menyatakan beliau diarahkan Najib supaya tidak terlibat dalam SRC dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Ahli Parlimen Pekan itu berkata beliau tidak pernah memberitahu Ahmad Husni sedemikian.

“Walaubagaimanapun, saya percaya bahawa Datuk Seri Husni akhirnya mengakui semasa perbicaraan kes ini bahawa saya tidak pernah menggunakan apa-apa perkataan untuk menghalang beliau daripada menjalankan kerja beliau sebagai MOF2 dan saya tidak pernah memberitahu beliau untuk tidak terlibat dengan SRC,” katanya.

Berhubung keterangan Ahmad Husni bahawa beliau dihalang membawa delegasi ke Switzerland selepas mendapat berita dana kepunyaan SRC di negara itu dibekukan, Najib berkata keterangan Ahmad Husni itu berniat untuk memburukkannya dan berunsur dendam akibat ketidakpuasan hati beliau.

“Datuk Husni ada bertanya kepada saya secara tidak formal sama ada patut beliau pergi ke Switzerland dan membantu untuk cuba menyelesaikan isu ini. Ini bukanlah satu permintaan yang rasmi dan formal.

“Sebenarnya Datuk Husni berkata bahawa beliau boleh cuba selesaikan perkara ini memandangkan beliau ada mengenali beberapa individu di Switzerland yang boleh membantu. Saya beritahu kepadanya tiada keperluan untuk beliau pergi kerana mengikut pemahaman saya, terdapat usaha-usaha yang diambil oleh SRC untuk menyelesaikan masalah tersebut,” katanya.

Disoal Wan Aizuddin mengapa Ahmad Husni mempunyai dendam dan ketidakpuasan hati terhadap bekas perdana menteri itu, Najib menjelaskan beliau percaya Ahmad Husni menyimpan perasaan tidak puas hati selepas beliau dipindahkan daripada MOF ke Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan menggunakan kandang saksi sebagai satu pentas untuk menyuarakan keluhannya secara terbuka.

Najib juga menafikan setiap keputusan oleh Ahli Lembaga Pengarah SRC perlu diluluskan olehnya dan setiap arahannya akan disampaikan melalui Nik Faisal Ariff Kamil, yang ketika itu Ketua Pegawai Eksekutif SRC.

Beliau juga menafikan keterangan Tan Sri Ismee Ismail (bekas pengerusi Lembaga Pengarah SRC) dan Datuk Suboh Md Yassin (bekas pengarah bukan eksekutif SRC) bahawa Nik Faisal menjadi penghubung antaranya (Najib) dan SRC.

“Dalam perjumpaan yang terhad di antara saya dan Nik Faisal, beliau telah memaklumkan bahawa Lembaga Pengarah telah memutuskan berkaitan dengan pelaburan-pelaburan selepas perbincangan yang mendalam dan ‘due diligence’ (kajian terperinci) dijalankan melalui perunding-perunding dan penasihat-penasihat luar.

“Saya tidak pernah mengarahkan Lembaga Pengarah dalam apa-apa cara berkenaan dengan hal yang sama. Saya tidak berada di dalam mana-mana kedudukan untuk pengurusan mikro mana-mana syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) termasuklah SRC. SRC hanyalah satu daripada syarikat-syarikat MKD yang terlibat dalam projek berkaitan kepentingan nasional pada masa itu.

“Tiada sebab bagi saya untuk mengarahkan Lembaga Pengarah SRC melalui Nik Faisal. Sekarang jelas kelihatan Nik Faisal telah mempermainkan kedua belah pihak. Kepada saya, beliau mengatakan perkara-perkara tersebut telahpun diputuskan oleh Lembaga Pengarah dan kepada Lembaga Pengarah beliau menyatakan saya telah mengarahkan perkara-perkara tersebut,” katanya.

Najib berkata apa yang menghairankan adalah mengapa pengarah-pengarah SRC yang lain termasuk Ismee tidak mengesahkan perkara itu dengannya dan hanya menerima sahaja kata-kata Nik Faisal secara bulat-bulat khususnya berkaitan dengan dana syarikat.

“Tan Sri Ismee, sebagaimana yang saya sebutkan, adalah seorang ahli korporat yang mempunyai pengalaman yang luas dalam menguruskan syarikat berkaitan kerajaan (GLC). Beliau mempunyai nombor (telefon bimbit) peribadi saya untuk dihubungi dan kami telah berjumpa beberapa kali. Tidak pernah sesekali pun saya ditanya tentang perkara itu,” katanya.

Pada 11 November, mahkamah memerintahkan Najib membela diri terhadap tiga tuduhan pecah amanah (CBT), tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan salah guna kedudukan berkaitan dengan dana itu setelah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap bekas perdana menteri itu.

Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Bekas pegawai khas Najib tertekan diarah selamatkan hutang 1MDB

KUALA LUMPUR, 4 SEPT: Bekas pegawai khas kepada Datuk Seri Najib Tun Razak memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa beliau amat tertekan ketika diarahkan untuk pergi ke China bagi menjalankan tugas sulit ‘menyelamatkan’ hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB), pada Jun 2016.

Datuk Amhari Efendi Nazarudin, 43, berkata beliau mula diarahkan sendiri oleh Najib setelah ketua setiausaha sulit Najib, Datuk Azlin Alias meninggal dunia dan ia bermula dengan arahan untuk pergi ke China bertujuan mengesahkan terdapat persefahaman untuk meningkatkan hubungan dan pelaburan Malaysia-China.

“Datuk Seri Najib sendiri telah meminta saya untuk datang ke kediamannya di Jalan Langgak Duta bagi membincangkan perkara ini dan memberitahu lawatan itu akan diuruskan ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low.

“Saya terpaksa akur walau pada masa itu saya cukup tertekan dan ada terlintas untuk berhenti kerja kerana arahan ini sangat membebankan saya, lebih-lebih lagi semenjak Datuk Azlin tiada. Namun saya terpaksa menurutinya kerana beliau adalah bos saya, apatah lagi beliau adalah Perdana Menteri Malaysia,” katanya dalam keadaan sebak.

Saksi penting pendakwaan itu yang membacakan penyataan saksinya berkata Jho Low dalam masa sama turut menghubunginya bagi menyampaikan arahan mengenai agenda dan program lawatannya ke China.

Saksi pendakwaan kelapan itu berkata demikian pada pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib pada hari keempat perbicaraan Ahli Parlimen Pekan itu yang didakwa atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang sama.

Beliau berkata, walaupun menghormati Ahli Parlimen Pekan itu, beliau bimbang sekiranya akan dilibatkan sama dalam percaturan antara Najib dan Jho Low sekiranya tujuan lawatan itu adalah bagi menutup isu kehilangan dana 1MDB, pembayaran hutang International Petroleum Investment Company (IPIC) atau penyediaan dana politik.

Beliau juga yang bimbang akan ancaman dan kesusahan yang akan dihadapinya sekiranya arahan Najib tidak dipatuhi ketika itu.

Membawa kapasiti sebagai wakil diplomatik Najib dalam lawatan sulit ke China pada 27 Jun 2016, saksi itu berkata beliau hanya mengetahui Jho Low akan turut hadir menyertai lawatan perbincangan sama setibanya beliau di negara itu.

“Terma-terma yang hendak dibincangkan juga saya terima daripada Jho Low pada saat-saat akhir dan ia kelihatan seperti sudah ada seseorang yang membincangkan terma-terma berhubung perkara ini (pelaburan Malaysia-China) lebih awal.

“Namun begitu, berdasarkan ‘talking points’ dan ‘action plan’ (nota maklumat dan pelan tindakan) Jho Low kepada saya, perjanjian dan usahasama ini merupakan satu pelaburan yang akan membantu membayar balik hutang 1MDB seperti bayaran hutang 1MDB ke IPIC,” katanya sambil menambah kesemuanya sudah dirancang oleh Najib dan Jho Low untuk menggunakan perjanjian dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) China bagi tujuan ini.

Saksi itu turut mengesahkan lawatannya ke China itu hanya diketahui oleh Najib dan Jho Low sahaja berdasarkan kesimpulan melalui perbincangan bersama syarikat dari China tersebut adalah bagi mendapatkan bantuan untuk membeli syer bagi menebus hutang 1MDB.

“Semasa di sana, saya telah menggunakan input daripada Jho Low untuk courtesy call (kunjungan hormat) bagi mengukuhkan lagi hubungan dua hala ini.

“Dia telah membawa saya untuk berjumpa pegawai kanan dari State-owned Assets Supervision and Administration Commission of the State Council (SASAC) yang merupakan badan pengelola semua GLC bagi China.

“Jho Low memainkan peranan aktif dengan hujahannya bagi membincangkan cadangan projek yang dikenal pasti tetapi saya tidak faham sesetengah perkara kerana dia bercakap dalam bahasa Mandarin, hanya sesekali butiran perbincangan itu diterjemahkan kepada saya,” katanya sambil menambah arahan-arahan sulit dari Najib hanya diterima beliau selepas isu penyelewengan dana 1MDB tersebar luas.

Bagaimanapun, berdasarkan isi kandungan ‘talking points’ yang disediakan Jho Low, saksi itu berkata jelas bahawa antara agenda yang dibawa dalam lawatan ke China itu adalah kehendak Najib untuk membawa pelabur GLC China ke Malaysia dengan cara pengambilalihan hutang-hutang 1MDB dan SRC International Sdn Bhd.

“Antara ‘talking points’ dalam perbincangan pada 28 Jun 2016 yang membawa mesej daripada Datuk Seri Najib adalah penawaran syarikat State owned Enterprise (SOE) untuk terlibat sama dalam projek infrastruktur dan sekali gus menyelesaikan masalah hutang yang dihadapi 1MDB dan SRC, selain akan menyokong dan mempromosikan kerjasama ekonomi yang lebih rapat dengan China.

“Ayat ‘while simultaneously completely resolving 1MDB and SRC debts’ jelas membawa maksud Datuk Seri Najib ingin menyampaikan mesej bahawa hubungan ini akan turut membantu 1MDB dan SRC melalui ‘bailout’ hutang-hutang 1MDB.

“Selain itu, ia turut menyatakan bahawa Malaysia berhajat untuk berbincang dengan SOE dalam tiga projek yang sedang dikaji kerajaan iaitu pembangunan Pulau Labuan sebagai pusat perbankan luar pesisir dan pusat pelancongan, pembangunan saluran paip petroleum dari Port Klang ke Kuala Kedah serta kajian dan pembangunan kereta api laju dari Kuala Lumpur ke Bangkok,” katanya.

Tambahnya lagi, ‘talking points’ yang disediakan Jho Low ini bagi mengesahkan bahawa Najib sendiri meluluskan kerjasama ini dan akan diterjemahkan ke dalam bahasa Mandarin oleh Jho Low kepada pihak China.

“Nota yang diberikan Jho Low turut mengandungi satu ayat yang berbunyi “I will now handover to Mr Liu to provide a detailed explanation of the economic program” (Saya kini akan menyerahkan kepada Encik Liu untuk memberikan butiran penjelasan mengenai program ekonomi itu) yang perlu dibaca oleh saya. “Mr Liu” itu merujuk kepada Jho Low yang mana sebutan “Liu” adalah sebutan dalam bahasa Mandarin,” kata saksi itu.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

PM perlu selesai isu air di negeri Umno-BN

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 8 MAC: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, harus menyelesaikan masalah air di negeri di bawah pentadbiran Umno-Barisan Nasional (BN) terlebih dahulu sebelum menuding jari kepada Selangor.

Ahli Dewan Negeri (ADUN) Balakong, Ng Tien Chee, berkata janji Najib untuk menyelesaikan isu air di Selangor jika berjaya menawannya tidak menepati fakta kerana isu bekalan air berlaku adalah gangguan berjadual berikutan usaha pengusaha loji rawatan air menukar pam.

Sebaliknya, beliau menjelaskan, Perdana Menteri perlu memberi tumpuan kepada Johor dan Pahang yang dikesan menghadapi masalah bekalan air berterusan.

“Mersing yang berada di dalam kubu kuat Umno-BN Johor, mengalami catuan air selama beberapa bulan setiap tahun sejak 2014 dan tempoh paling panjang pernah dicatatkan pada 2016 apabila berlaku selama lebih kurang tujuh bulan.

“Malah Johor turut mengalami 122 kali gangguan bekalan air berpunca daripada pencemaran air mentah sejak 2013 sehingga kini.

“Di Felcra Sri Makmur Peringkat Satu, Pekan juga pernah berlaku gangguan bekalan air dan ia adalah kawasan parlimen Perdana Menteri sendiri. Mengapa semua ini tidak diwar-warkan dalam media arus perdana?,” soalnya.

Beliau berkata, pendedahan Najib mengenai lima kelemahan Kerajaan Negeri adalah bertujuan memutar belitkan fakta kerana mengetahui kenyataan dibuatnya akan ditularkan media perdana sempena lawatannya ke Selangor.

Sebaliknya, Tien Chee menambah, Kerajaan Negeri berjaya menyelesaikan masalah air di Selangor dan keadaan bertambah baik sejak pengambilalihan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas), Puncak Niaga Holdings Bhd (Puncak Niaga) dan Konsortium Abbas Sdn Bhd (Abbas) pada November 2015.

“Masalah harga perumahan tinggi di Selangor juga bukan isu boleh diselesaikan di peringkat negeri. Apabila menuduh harganya tinggi di Selangor, tidakkah situasi sama juga dihadapi di Wilayah Persekutuan?

“Antara faktor harga perumahan melambung tinggi adalah inflasi tidak terkawal dan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST),” katanya.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri menerusi pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak pernah menaikkan kadar cukai berbanding GST yang membebankan pengguna termasuk pemaju yang perlu berbelanja untuk mendapatkan bahan binaan.

“Dakwaan Kerajaan Negeri meletakkan politik di tempat pertama berbanding masalah rakyat adalah tidak benar sebaliknya ia sepatutnya ditujukan kepada Umno-BN sendiri,” katanya.

=EZY=

Categories
KENYATAAN MEDIA

Biarlah Najib jadi diktator terakhir buat Malaysia

OLEH: NURUL IZZAH ANWAR

Seperti yang saya tegaskan sebelumnya, kita merupakan pakatan yang terbina atas dasar prinsip reformasi dan keadilan, bukan atas dasar harta, kebendaan, ataupun kepentingan mahupun kesengsaraan peribadi.

Sebahagian daripada prinsip menuntut keadilan memerlukan pengakuan kesilapan lampau, penerimaan agenda reformasi demi merubah sistem bobrok yang melahirkan diktator demi diktator.

Kita perlu mengorak langkah yakin ke depan, demi memacu harapan untuk membina masa depan Malaysia yang lebih baik.

Tindakan Tun Mahathir membantu melahirkan kepercayaan secara progresif dan mengambil kira kebimbangan dan kepentingan ramai.

Hanya Allah jualah yang mengetahui apa yang terbuku di sudut hati setiap manusia, dan kepadaNya jualah kita harus serahkan sebarang penghakiman.

Reformasi sistem wajib dilaksanakan kerana sistem yang sama telah melahirkan diktator demi diktator.

Kita mulakan langkah ke depan berbekalkan semangat 1998, demi menuai kemenangan 2018 dengan memastikan PM Najib Razak menjadi diktator terakhir buat Malaysia.

Saya terima permohonan maaf dan keterlibatan Tun Mahathir dalam usaha menyelamatkan masa depan Malaysia.

Biarlah Najib menjadi diktator terakhir buat Malaysia.

Jadikan masa depan, milik kita.

* Nurul Izzah Anwar adalah Naib Presiden KEADILAN

Penahanan dua wartawan Australia : Apa motif Najib?

Tindakan polis menahan pengamal media untuk melakukan tugas jelas tidak wajar dan hanya menjejaskan imej negara- Lim Guan Eng

Categories
NASIONAL

BN ‘ringankan’ beban rakyat, Najib disindir ‘hidup di awang-awangan’

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 21 DIS: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak disindir ‘hidup di awang-awangan’ ekoran kenyataan di blognya, ‘kerajaan sedaya upaya meringankan beban rakyat ekoran kenaikan kos sara hidup’.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar, berkata kenyataan Najib itu hanya retorik apabila tindakan Umno-Barisan Nasional (BN) sebelum ini jelas tidak menggambarkan apa yang dinyatakan Najib.

Nurul-Izzah“Beliau sendiri penyebab kos sara hidup menerusi dasar potongan subsidi dan pengenalan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

“Adakah rakyat sedang disaji propaganda murahan tajaan mana-mana syarikat? Maka penting untuk kita menilai sedalam-dalamnya sebab utama kemelut ekonomi yang sedang dihadapi,” kata Nurul Izzah kepada Selangor Kini, hari ini.

Katanya, keputusan kerajaan menaikan kadar tol dan tambang pengangkutan awam menambah kesengsaraan rakyat khususnya bagi berpendapatan rendah dan sederhana.

Jelasnya, keperitan yang ditanggung rakyat ditambahkan lagi dengan jawapan kurang bijak dan menyakitkan hati daripada beberapa menteri kabinet Najib.

Untuk rekod, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ahmad Maslan; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Seri Abdul Wahid Omar; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim dan bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hassan Malek pernah mengeluarkan tidak sensitif berhubung isu kenaikan kos sara hidup yang mengundang kecaman rakyat.

Selain beberapa menteri, Najib sendiri turut tidak terlepas mengeluarkan beberapa kenyataan tidak sensitif yang akhirnya menjadi bahan cemuhan rakyat terhadap beliau.

Baju KangkungAntaranya, Najib sambil mengesyorkan rakyat memakan sayur kangkung ekoran harganya yang murah, turut mempersoalkan keengganan rakyat memuji kerajaan kerana kemampuan kerajaan memastikan harga kangkung kekal murah.

“Hari ini saya baca dalam surat khabar ada yang dah turun. Kangkung dulu naik sekarang dah turun, bila dah turun kenapa tak puji kerajaan, masa naik dipersalahkan kerajaan. Ini tidak adil,” kata Najib.

Najib sebelum itu ketika mempertahankan keputusan pemotongan subsidi gula turut berkata, pemotongan subsidi bahan itu baik untuk kehidupan seks masyarakat, manakala dalam isu 1MDB pula Najib menjelaskan RM2.6 bilion yang dimasukkan ke akaun beliau diperolehi dari derma hartawan Arab dan banyak lagi.

-nR-

Derma RM2.6 bilion : PKR saman Najib

PKR fail saman terhadap SPR dan Najib Razak kerana melanggar akta Pilihan Raya 1954 dengan kemasukan ‘derma’ RM2.6 bilion ke akaun peribadi.

Categories
NASIONAL

Najib silap langkah, gagal selesai tiga isu penting

Oleh : AFIX REDZUAN

SHAH ALAM 20 DIS: Isu ekonomi, keselamatan dan pendidikan adalah tiga faktor penting yang gagal diselesaikan kerajaan sehingga kini dilihat menjadi punca kemerosotan populariti, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Hal itu termasuk faktor keluarga terutama membabitkan pembabitan isteri beliau, Datik Seri Rosmah Mansur dalam beberapa perkara berkenaan kerajaan menambahkan lagi tekanan kepada keadaan terbabit.

johari abdul parlimen 01Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul berkata, kelemahan yang gagal diperbetulkan seperti dilaporkan dalam laporan Ketua Audit Negara sehingga mengakibatkan ketirisan wang rakyat mengundang keraguan ditambah dengan tindakan tidak popular menaikkan harga barang secara berturut-turut.

“Saya fikir ini bukan tindakan yang bijak kerana beliau mempunyai peluang yang jelas memperkasakan Suruhjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), selain memberikan kuasa secukupnya kepada Ketua Setiausaha Negara (KSN) untuk mengambil tindakan.

“Namun, ia sudah terlewat. Akhirnya kerajaan mengeluarkan polisi tidak popular seperti menaikkan harga barangan seperti tarif elektrik, tol, penarikan subsidi gula dan minyak,” katanya kepada Selangor Kini, di sini, semalam.

Kajian Merdeka Center mendapati populariti Najib di kalangan pengundi menjunam 10 mata kepada 52 peratus pada bulan ini berbanding Ogos lalu.

najib razakTinjauan itu dibuat di kalangan 1,005 orang responden terdiri daripada pengundi Melayu, Cina dan India di semenanjung Malaysia antara 4 hingga 12 Disember lalu.

Johari berkata, sistem keselamatan dan tindakan yang lemah dalam membendung indeks jenayah sehingga mencetuskan kebimbangan rakyat membawa kepada kehilangan populariti Najib.

Katanya, kesan daripada kelemahan sistem keselamatan juga mengakibatkan rakyat terpaksa bersaing dengan pendatang asing dan menjejaskan mata pencarian mereka.

“Selain itu, kejatuhan mutu pendidikan negara pada kedudukan kedua tercorot di Asia Tenggara pada Program Penilaian Antarabangsa Pelajar (PISA) mendedahkan lagi kelemahan pentadbiran Najib dalam memartabatkan pendidikan kepada rakyat Malaysia,” katanya.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Najib jaguh di kampung sendiri, ‘kecut perut’ luar gelanggang UMNO

Oleh : Lizawati Madfa

SHAH ALAM 5 DIS : Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak sebagai jaguh kampung yang kuat bersorak dalam gelanggang sendiri tetapi ‘kecut perut’ ketika berada di luar gelanggang Umno.

Setiausaha DAP Selangor, Ng Suee Lim berkata, sehingga kini Najib masih gagal untuk berdebat secara terbuka dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim walaupun pelbagai pihak mencabar beliau.

ng suee lim2“Sehingga kini, tidak ada rekod untuk Najib selaku ketua tertinggi kerajaan berdebat dengan Anwar berhubung isu rakyat walaupun sudah berkali dicabar Anwar sama ada sebelum atau selepas PRU-13 lalu.

“Inilah contoh pemimpin yang hipokrit dan paling penakut apabila tidak berani berhadapan dengan Anwar. Jadi, apa lagi untuk berhadapan dengan pemimpin dan kuasa luar,” katanya ketika dihubungi Selangor Kini, di sini, hari ini.

Suee Lim berkata demikian ketika diminta mengulas ucapan dasar Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak pada Perhimpunan Agung Umno 2013 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, hari ini.

Najb dalam ucapannya mengibaratkan beliau menang set bermain badminton menentang Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada PRU-13 lalu.

Kenyataan yang dibuat Najib itu ekoran kejayaan BN membentuk Kerajaan Persekutuan dengan memenangi 112 daripada 222 kerusi walaupun hakikatnya PR memenangi undi popular 52 peratus, berbanding BN yang hanya memenangi undi 48 peratus rakyat Malaysia, pada PRU-13 lalu.

Sementara itu, Pakatan Rakyat (PR) turut mempertikaikan pengadil Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) yang secara nyata adalah pro-Barisan Nasional (BN).

SPRM Siasat UmnoSuee Lim berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang mengendalikan PRU-13 dipimpin ahli Umno, maka hampir semua tindakan badan itu menjurus kepada kemenangan BN.

Katanya, helah berkenaan jelas melalui proses persempadanan semula yang tidak adil serta bertujuan mengekalkan kuasa BN untuk terus ‘songlap’ wang pembayar cukai.

“Ini diakui bekas Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman bahawa kerja SPR kekalkan kuasa Melayu dalam satu kenyataan baru-baru ini.

“PR bukan tidak menerima kenyataan, tetapi kita dikejutkan dengan pendedahan orang tertinggi SPR itu ahli Umno dan mereka juga tidak nafikan perkara yang didedahkan sejak sebelum PRU-13 lalu. Jadi, kalau sudah pengadil orang Umno, bagaimana kita sebagai pemain boleh terima keputusan mereka,” katanya.

-NFN-

 

Categories
NASIONAL

Pindaan PCA, Suaram gesa PBB bertindak

suaram PCA 1

SHAH ALAM 5 OKT :  Suara Rakyat Malaysia (Suaram) mendesak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) agar memberikan perhatian bisu hak asasi manusia di Malaysia ekoran pindaan Undang-Undang Pencegahan Jenayah (Pindaan dan Pemerluasan) 2013 (PCA) yang membenarkan tahanan tanpa bicara.

Pengarah Eksekutif Suaram, Nalini Elumalai, berkata beliau menggesa Setiausaha Agung PBB, Ban Ki Moon dan Pesuruhjaya Tertinggi Hak Asasi Manusia PBB, Madam Navanethem  Pillay untuk menilai isu pindaan PCA itu dalam laporan PBB berkenaan Malaysia.

Kata Nalini, Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak memungkiri janji pilihan rayanya untuk menghapuskan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dengan memperkenalkan semula tahanan dalam bicara melalui pindaan PCA baru-baru ini.

“SUARAM prihatin terhadap isu hak asasi manusia di Malaysia yang kini dalam ancaman serius kerana kerajaan menghadkan kebebasan bersuara, berhimpun secara aman dan menubuhkan persatuan sementara membenarkan penahanan tanpa bicara, mengabaikan kekejaman polis dan menjejaskan hak orang asli dan kumpulan minoriti,” kata Nalini.

Nalini berkata demikian dalam surat terbuka Suaram yang dihantar kepada Ban Ki Moon dan Madam Navanethem Pillay, dan disiarkan di laman Facebook Suaram.

Katanya, Suaram mengecam tindakan pelanggaran hak asasi manusia yang berlaku di Malaysia dan mendesak dunia antarabangsa agar memberikan tekanan kepada pentadbiran Najib Razak agar menghentikan sebarang tindakan pelanggaran hak asasi manusia.

“Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mempunyai kewajipan untuk memastikan demokrasi dan hak asasi manusia ditegakkan dan tidak menutup mata ketika menyokong retorik kosong pembaharuan kerajaan Najib Razak.

“Kerajaan Malaysia tidak boleh melepaskan diri dengan bermain di bibir dengan hak asasi manusia dan demokrasi dalam usaha untuk mengekalkan kedudukannya dalam Majlis Hak Asasi Manusia PBB,” kata Nalini.

Categories
SELANGOR

Merdeka Center : Rating Najib Razak Jatuh Lagi Kepada 61 Peratus

Persepsi-PM

SHAH ALAM 26 FEB :  Sokongan pengundi di Semenanjung Malaysia kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak mencatatkan penurunan daripada 65 peratus pada Oktober 2012 kepada 61 peratus pada bulan Januari 2013.

Pada Oktober 2012 lepas, sokongan terhadap Najib Razak pada kedudukan 63 peratus.

“Kajian juga menemui penurunan sokongan dikalangan responden kaum Melayu terhadap kerajaan dan Barisan Nasional,” kata Merdeka Center dalam satu kenyataan media.

Penyelidik Bebas itu dalam laporan terkini mendapati masyarakat Melayu mencatat peningkatan kemarahan ke atas kerajaan pimpinan Umno-BN itu apabila naik daripada 24 peratus pada Mei 2012 kepada 32 peratus pada Januari 2013.

Manakala kemarahan masyarakat India juga naik daripada 41 kepada 43 peratus dalam tempoh sama.

Dalam kajian yang melibatkan 1,021 pengundi berdaftar tersebut juga mendapati kemarahan masyarakat Cina terhadap terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN) masih tinggi iaitu pada kadar 68 peratus.

Ia jelas menunjukkan petanda program dan kempen yang dilakukan oleh pimpinan Najib untuk menarik hati kumpulan tersebut masih lagi gagal.

Menurut kajian itu lagi, berlaku penurunan sokongan daripada masyarkat Melayu terhadap Barisan Nasional daripada 66 peratus paPersepsi-BNda Mei 2012 kepada 60 peratus pada Januari 2013.

Justeru, ia dilihat akan memberikan kesan yang besar kepada kerajaan menjelang Pilihanraya Umum ke-13 tidak lama lagi.

Kajian tersebut dijalankan antara 23 Januari – 6 Februari 2013 yang melibatkan 59 peratus kaum Melayu, 32 peratus kaum Cina dan 9 peratus kaum India.

Pilihan Raya Umum ke-13 perlu diadakan selepas mandat kerajaan BN tamat pada 28 April ini.

Categories
SELANGOR

Selesai Segera Isu Kewarganegaraan

SHAH ALAM, 11 DIS : PKR mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menyelesaikan isu kewarganegaraan warga berbangsa India dan bukan menjadikan ia isu perkauman.

Naib Presidennya, Nurul Izzah Anwar berkata, Hishammuddin didakwa gagal menyelesaikan isu kewarganegaraan masyarakat India di mana Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) terletak di bawah bidang kuasa kementeriannya.

Jelas Izzah, beliau merujuk kepada kenyataan yang dikeluarkan Hishammuddin pada 10 Disember lepas yang yang mendakwa isu itu di bawa oleh Pakatan Rakyat untuk mencetuskan rasa tidak puas hati antara kaum menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

“Kenyataan Hishammuddin itu adalah tidak berasas dan bertanggungjawab dalam cubaan untuk memesongkan daripada isu sebenar,” kata Izzah dalam kenyataan medianya.

Tambah Izzah, beliau kecewa terhadap sikap pimpinan BN yang sepatutnya mencari jalan penyelesaian isu itu dan bukan menjadikannnya isu perkauman.

“Walaupun majoritinya yang tanpa pendaftaran itu adalah berbangsa India namun isu ini juga dihadapi oleh masyarakat Melayu, Cina dan kaum bumiputera di Sabah dan Sarawak,” katanya.

Ujar Izzah, PKR yang merupakan parti berbilang bangsa akan terus berjuang demi hak seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira perbezaan bangsa dan agama.

Ia berbeza dengan BN yang hanya bercakap bagi pihak kaum terbabit dan merupakan bahaya besar kepada perpaduan rakyat berbilang bangsa di negara ini.

“Warga tanpa kenegaraan ini yang lahir dan tinggal di negara ini dinafikan hak untuk bekerja, sekolah, kesihatan dan beberapa kemudahan lain termasuk dinafikan hak untuk mengundi,” katanya.