Categories
SELANGOR

BN tiada idea tiru gagasan Pakatan pendidikan percuma

Oleh: HAFIZAN TAIB

KUALA SELANGOR, 7 DIS: Pendidikan sekolah agama percuma ditawarkan Barisan Nasional (BN) kepada rakyat jika kembali mentadbir Selangor membuktikan formula dipraktikkan Pakatan Rakyat (Pakatan) berhasil.

Exco Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari, berkata ternyata kini BN menjadikan Pakatan sebagai panduan untuk kembali memenangi hati rakyat.

suk“Dahulu ketika kita beri air percuma, mereka kata kita akan bangkrap. Bila kita buat banyak program dalam bentuk kebajikan kepada rakyat, mereka kata Selangor akan bangkrap.

“Ini menunjukkan formula ditawarkan Pakatan sangat berjaya dan boleh diterima,” katanya kepada Selangor Kini di sini, semalam.

Beliau mengulas kenyataan dibuat Pengerusi BN Selangor, Datuk Seri Noh Omar, yang menjanjikan pendidikan sekolah agama percuma kepada rakyat sekiranya parti terbabit berjaya merampas Selangor daripada Pakatan.

Amirudin berkata, bagaimanapun untuk menjayakan formula seperti mana diimpikan, BN perlu menukar corak pentadbiran dipraktikkan selama ini dipenuhi ketirisan dan penyelewengan.

Katanya, ia akan membuahkan hasil seandainya Kerajaan Negeri ditadbir secara berhemah, telus dan amanah serta mengurangkan risiko potensi rasuah.

“Kalau BN mngekalkan cara mereka sekarang tetapi mahu membuat seperti mana Pakatan laksanakan, itu semua adalah formula untuk mereka hancur.

“BN kena tunjukkan mampu menjaga amanah kepimpinan negeri dahulu sebelum nak tawarkan apa mereka mampu.

“Mereka perlu kemukakan barisan kepimpinan dan formula bagaimana nak menjaga khazanah negeri seperti mana ditunjukkan Pakatan dalam dua penggal ini,” katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.