Categories
SELANGOR

Empat kali diarah henti kerja, kontraktor ‘cincai’ turap jalan

Oleh: NAZLI IBRAHIM

PETALING JAYA, 22 DIS: Permit kerja dikeluarkan kepada kontraktor kerja menaik taraf sistem pembentungan di Petaling Jaya boleh ditamatkan sekiranya kontraktor terlibat masih gagal menurap semula jalan dikorek dengan sempurna.

Adun Bukit Gasing, Rajiv Rishyakaran, berkata, ini berikutan kontraktor kepada Jabatan Perkhidmatan Pembentungan (JPP) itu sudah empat kali dikenakan notis arahan berhenti kerja bagi memastikan kontraktor terlibat mematuhi piawaian kerja menurap jalan.

Rajiv“Sudah empat kali Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) beri arahan berhenti kerja kepada kontraktor terbabit dan selepas mereka turap semula jalan dengan sempurna baru mereka dibenarkan sambung kerja menaik taraf sistem pembentungan.

“Malangnya kontraktor ini nampaknya berdegil kerana apabila mereka sambung kerja, masalah sama berlaku lagi. Jalan diturap semula selepas selesai kerja pembentungan tidak sempurna, tidak rata seperti sediakala dan malangnya JPP sebagai pembayar dan Indah Water Konsortium (IWK) tidak memantau dengan baik.

“MBPJ berkuasa jika mahu mengeluarkan arahan pemberhentian kerja menaiktaraf tetapi kita sedar kita memerlukan sistem pembentungan yang lebih baik,” kata Rajiv pada sidang medianya di Jalan 17/21 dan Jalan 17/1A di sini hari ini.

Jelas Rajiv, isu ini perlu ditangani segera kerana kerja menaiktaraf pembentungan ini melibatkan seluruh kawasan di Petaling Jaya sekaligus membabitkan semua jalan utama seperti Jalan Templer, Jalan Universiti, Jalan Gasing dan lain-lain.

“Kerja menaiktaraf ini memakan masa selama empat tahun dengan kerja berperingkat. Ini bermakna jika isu ini tidak diselesaikan, semua jalan terlibat akan rosak kerana tidak ditampal dengan betul,” kata Rajiv lagi.

Katanya, beliau juga menyeru supaya JPP menggantung bayaran kepada kontraktor terlibat sehingga kerja menurap semula jalan dibuat dengan sempurna.

“Kerja ini dibuat secara berperingkat, maka bayarannya juga berperingkat. Kalau JPP menahan bayaran, boleh jadi pengajaran kepada kontraktor,” kata Rajiv lagi.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.