Categories
SELANGOR

Jawatankuasa bincang isu Vape ditubuh Rabu ini

Oleh : NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 21 DIS: Bengkel khusus bagi membincangkan isu penggunaan rokok elektronik atau vape sebelum memutuskan pendirian untuk mengharamkannya atau tidak akan diadakan pada 11 dan 12 Januari depan.

Exco Kesihatan, Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita, Dr Daroyah Alwi, berkata satu jawatankuasa akan ditubuhkan membabitkan pelbagai agensi pada Rabu ini.

Katanya, bengkel itu akan membincangkan aspek kesihatan sosial yang akan diberi keutamaan dan memberi pendedahan kebaikan dan keburukan Vape.

DAROYAH - TAWAS“Antara agensi yang terbabit ialah Jabatan Kesihatan, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Penasihat Undang-Undang Negeri, Jabatan Agama Islam, Majlis Agama Islam Negeri, pengusaha dan pencipta Vape serta Badan Bukan Kerajaan.

“Apa yang penting kita mahu memberi pendedahan dan pendidikan kepada semua pihak termasuk pengusaha, masyarakat, anak-anak dan ibu bapa,” katanya kepada SelangorKini.

Dr Daroyah berkata, hasil rumusan bengkel itu akan dibentangkan di Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada Rabu (13 Januari) untuk diputuskan.

VAPEBeliau memaklumkan sekiranya diharamkan, Kerajaan Negeri akan memberi tempoh masa supaya mereka bersedia contohnya bagi mereka menghabiskan stok vape untuk dijual.

“Namun, buat masa ini, kita tidak boleh memutuskan sebarang keputusan. Ia bergantung hasil perbincangan dalam bengkel,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali mahu Kerajaan Negeri membuat kajian menyeluruh sebelum sebarang keputusan diambil dan tidak mahu mengambil tindakan tergesa-gesa tanpa mendapat maklum balas daripada semua pihak.

Terdahulu, Kelantan dan Johor mengambil pendirian mengharamkan penggunaan vape dan pengusaha diminta mengosongkan premis atau berdepan tindakan undang-undang.

Leave a Reply

Your email address will not be published.