Categories
SELANGOR

Karya finalis Hadiah Sastera Selangor Kini akan dibukukan

Oleh: AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 9 DIS: Karya cerpen, sajak dan artikel yang diterbitkan dalam keluaran akhbar Selangor Kini akan dibukukan untuk terbitan umum.

Exco Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Keusahawanan, Amirudin Shari, berkata usaha itu disifatkannya kecil untuk karyawan seni penulisan, namun ia langkah awal ke arah yang lebih besar.

IMG_5458“Lima karya finalis yang tercalon untuk anugerah ini akan kita bukukan. Ia cuma sumbangan kecil namun kita akan cuba teruskan,” katanya ketika menyampaikan ucapan aluan pada Anugerah Hadiah Sastera Selangor Kini 2015, pada 8 Disember lalu.

Beliau berkata, seni menjadi sebahagian daripada kehidupan manusia bagi mengisi kekosongan jiwa walaupun perkembangan kehidupan berkisar kepada kepesatan teknologi.

Katanya, terma ‘pembangunan berkualiti’ yang disebut dalam tema Belanjawan Selangor 2015 turut diisi dengan pemasyhuran Shah Alam dan Petaling Jaya selaku Kota Seni Selangor.

Anugerah Hadiah Sastera Selangor Kini yang berlangsung di RUANG Space Event turut menyaksikan Sasterawan Negara, Datuk Dr Mohd Anwar Ridhwan dinobatkan sebagai penerima sulung Dana Sastera Selangor 2015.

IMG_5588Beliau menerima dana khas RM120,000 daripada Kerajaan Negeri dan berpeluang menerbitkan karya serta mengadakan program pembangunan bakat dalam bidang sastera.

Sementara itu, kategori cerpen dimenangi Roslan Jomel dengan tajuk Telefile, manakala Arafat Hambali melalui karya Hujan untuk kategori Sajak dan Karl Agan mengungguli kategori artikel dengan karya Beban Puisi dan Tanggapannya.

Masing-masing membawa pulang wang tunai berjumlah RM5,000, trofi dan sijil.

Majlis turut diserikan persembahan kumpulan koir Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, tiupan seruling daripada Rohi dan nyanyian Ana Raffali.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.