Categories
SELANGOR

MBPJ terima anugerah bandar rendah karbon

Oleh: NAZLI IBRAHIM

PETALING JAYA, 9 DIS: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) diberikan anugerah Rangka Kerja Bandar Rendah Karbon dan Sistem Penilaian (LCCF) pada September lalu ekoran pelbagai inisiatif diambil bagi menjadikan bandar raya itu sebagai peneraju pembangunan teknologi hijau.

Timbalan Datuk Bandar Petaling Jaya, Johary Anuar, berkata kejayaan itu juga dinilai berdasarkan pencapaian MBPJ sejak LCCF diterima pakai, pada tahun 2000.

johary“Antara inisiatif yang menjadikan bandar raya Petaling Jaya sebagai peneraju teknologi hijau adalah skim rebat cukai taksiran bagi pemilik rumah mesra alam, skim letak kereta percuma bagi pemilik kenderaan hybrid dan elektrik serta syarat mandatori pemasangan indek bangunan hijau bagi projek pembangunan,” katanya.

Johary berkata demikian ketika merasmikan Majlis Anugerah Bangunan Ceria anjuran Jabatan Kawalan Bangunan MBPJ, di Dewan Sivik MBPJ, di sini, semalam.

Katanya, Kerajaan Negeri juga komited membangunkan kota seni dengan mengangkat bandar raya Petaling Jaya sebagai salah satu wilayah pelaksana di Selangor bagi meningkatkan penglibatan sektor ekonomi kreatif tempatan ke peringkat lebih tinggi.

“Pusat Bandar Seksyen 52 dan Jalan Yong Shook Lin dipilih sebagai lokasi pengisian program kota seni iaitu ‘one stop centre’ kepada golongan seni.

“MBPJ juga mengadakan pelbagai aktiviti seni seperti Santai Budaya, PJ Street Art, Festival Band dan MBPJ turut mengadakan Festival PJ atau PJ Fair di lokasi sama,” katanya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.