Categories
SELANGOR

Lebih 3,000 sertai Larian Menjunjung Kasih Sultan Selangor

Oleh : NORHAYATI UMOR

KLANG, 5 DIS: Larian Menjunjung Kasih Gen-S sempena Hari Keputeraan DYMM Sultan Selangor berlangung meriah dengan penyertaan lebih 3,000 peserta mengambil bahagian.

Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari, berkata pihaknya akan menjadikan acara itu sebagai program tahunan ekoran sambutan hebat dalam kalangan masyarakat.

AMIRUDIN“Program ini julung kali diadakan Kerajaan Negeri menganjur acara sempena hari keputeraan tuanku yang membabitkan rakyat.

“Respon yang kita terima sangat baik. Lihat saja untuk acara larian lebih 3,000 penyertaan. Sedangkan kita hanya menyasarkan sebanyak 2,000 peserta sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas perlepasan larian itu, di Padang Stadium Sultan Suleiman, di sini.

Amiruddin berkata, penganjuran acara itu selari dengan visi Dasar Belia Selangor bagi membangunkan sepenuhnya pembabitan dan potensi aktif anak muda.

Katanya, acara itu juga bertujuan menonjolkan bakat disamping menghidupkan rasa kasih dan peduli anak muda kepada Institusi Kesultanan Selangor.

“Ia juga inisiatif Kerajaan Negeri mendidik anak muda Selangor melakukan aktivit sihat dan tidak membuang masa dengan perkara tidak berfaedah yang boleh merosakan moral,” katanya.

LARIAN SULTANTerdahulu, DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj berkenaan menyempurnakan perasmian program terbabit.

Hadir sama Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali, Yang DiPertua Majlis Perbandaran Klang (MPK), Datuk Mohd Yasid Bidin dan Pengarah Majlis Sukan Negeri (MSN), Zubir Idrus.

Acara larian itu terbahagi kepada dua kategori iaitu 5km dan 10km membabitkan kategori lelaki dan wanita.

Sebanyak 13 acara berlangsung serentak antaranya Battle Chess Selangorku, pertandingan kereta remote control, Tamiya, seni mempertahankan diri dan Mr Gen S.

Selain itu, pameran autoshow, himpunan artis grafiti, bengkel karikatur, sukan ekstrem dan pesta muzik serta jualan buku.

Program terbabit bermula 6.30 pagi dan berakhir 11 malam.

Leave a Reply

Your email address will not be published.