Categories
SELANGOR

Ops Pecah Tanjakan kesan 56 premis salah guna pakir

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 10 DIS: Sebanyak enam premis di Seksyen 25 dan tujuh premis di Seksyen 31 dikenakan tindakan kerana membina tanjakan (ramp) tanpa kebenaran baru-baru ini.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shahrin Ahmad, berkata sebuah jentera ‘excavater’ digunakan untuk menanggalkan tanjakan yang didirikan di petak pakir.

Katanya, tindakan mendirikan tanjakan untuk tujuan perniagaan merupakan kesalahan di bawah peruntukan Akta Jalan, Parit dan Bangunan (Akta 133).

MBSA-Shahrin Ahmad“MBSA menggesa pemilik premis yang ingin menggunakan tempat letak kereta bagi tujuan perniagaan untuk membuat permohonan sewaan petak khas terlebih dahulu.

“Tindakan tegas termasuk memecahkan tanjakan akan dikenakan kepada pemilik premis ingkar,” katanya dalam kenyataan.

Operasi Bersepadu Memecah Tanjakan itu melibatkan 15 kakitangan daripada Seksyen Pengurusan Hasil, Jabatan Kejuruteraan, Jabatan Penguatkuasaan dan Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam.

Shahrin berkata, terdapat 20 kategori perniagaan yang layak memohon sewaan tempat letak kereta khas untuk tujuan perniagaan antaranya bengkel, aksesori mahupun ruang pameran kereta atau motosikal.

Selain itu, kedai menjual perabot, klinik serta pasaraya atau kedai runcit yang memerlukan ruang pemunggahan barang dan sebagainya.

Untuk sebarang pertanyaan berkenaan sewaan petak pakir khas, orang ramai boleh hubungi Seksyen Pengurusan Hasil, Jabatan Kewangan MBSA di talian 03-5522 2882.

Leave a Reply

Your email address will not be published.