Categories
SELANGOR

Piala Malaysia: Pasukan mana pilihan pemimpin politik ke final?

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 5 DIS: Ketika kejuaraan bola sepak Piala Malaysia menghampiri ke penghujungnya, peminat bola sepak negara ini sudah semestinya tertunggu-tunggu pasukan manakah yang berjaya melayakkan diri ke final piala paling berprestij itu.

Perlawanan separuh akhir kedua membabitkan pertembungan antara Selangor dan Pahang di Stadium Shah Alam dan Felda United bertandang ke Stadium Darul Aman untuk bertemu Kedah pada malam ini bagi menentukan dua pasukan layak ke final turut menarik perhatian pemimpin politik negara ini.

RED GIANTSTinjauan Selangorkini mendapati pasukan juara 32 kali, Selangor yang juga terkenal dengan jolokkan ‘Gergasi Merah’ menjadi pasukan paling mendapat banyak pilihan untuk mara ke final bersama pasukan Kedah.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu dan Warisan, Pembangunan Desa Dan Kampung Tradisi, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi meramalkan Selangor akan menumpaskan Pahang sekurang-kurangnya dengan jaringan 2-1 malam ini.

“Kita sangat mengidamkan kejuaraan dalam semua kategori yang kita pertandingkan tetapi kita tidak boleh menang semua perlawanan. Bermain di laman sendiri Selangor boleh menang. Kalau dapat mungkin 3-1 atau 2-1 pun dah cukup baik.

Yunus-Hairi“Kita harap penyokong Selangor turun beramai-ramai. Kerajaan Negeri dengan peruntukan cukup besar berusaha meletakkan bola sepak Selangor kembali ke martabatnya,” katanya.

Ketika ditanya pasukan pilihan yang bakal bertemu Selangor pada final nanti, Dr Ahmad Yunus menjangkakan Felda United akan mencipta kejutan kerana mempunyai kekuatannya yang tersendiri.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Datuk Iskandar Abdul Samad pula meramalkan Selangor akan menundukkan Pahang 2-0 sekaligus layak ke final.

“Saya yakin bermain di gelanggang sendiri dengan semangat memburu kejuaraan Piala Malaysia buat kali ke-33, Selangor pasti mara ke final setelah sekian lama tidak menjulang Piala Malaysia. Saya yakin ‘misi 33’ akan berjaya tahun ini.

“Kedah pula nampaknya pasukan ‘favourite’ kerana menjaringkan dua gol di tempat lawan. Kedah perlu seri 0-0 atau 1-1 sahaja malam esok tetapi saya jangka kedah menang 1-0 dan layak ke final,” kata Iskandar.

nurul izzahAhli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar pula memilih Selangor akan bertemu Kedah pada final nanti apabila meramalkan kedua-dua pasukan itu mampu menumbangkan lawan masing-masing di separuh akhir kedua.

“Saya pilih Selangor dan Kedah. Selangor dihatiku, Kedah pilihanku,” kata Nurul Izzah tetapi enggan meramalkan keputusan jaringan yang bakal diperolehi kedua-dua pasukan pilihannya itu.

Ahli Parlimen Bukit Gantang, Idris Ahmad berkongsi pandangan sama meramalkan Selangor dan Kedah akan bertemu di final Piala Malaysia ekoran masing-masing mempunyai kelebihan bermain di gelanggang sendiri.

“Semua pasukan ada kelebihan masing-masing tetapi saya pilih Selangor dan Kedah untuk bermain di final nanti. Selamat berjaya kepada semua pasukan,” katanya.

Ahli Parlimen Kota Bahru, Datuk Takiyuddin Hasan pula berpendapat Selangor perlu berhati-hati dengan sistem kelebihan jaringan gol di tempat lawan walaupun memiliki kelebihan bermain di tempat sendiri.

“Perlu berhati dengan sistem kelebihan jaringan di tempat lawan sekiranya keputusan seri. Saya pilih Selangor ke final bersama Kedah. ‘Go Selangor Go’,” kata Takiyuddin.

tianAhli Parlimen Batu, Tian Chua turut memilih Selangor sebagai pasukan paling layak ke final dan dijangka bertemu Felda United.

“Sudah semestinya Selangor layak dengan mengalahkan Pahang 2-1 nanti dan saya rasa Selangor akan bertemu Felda United pada perlawanan akhir,” katanya.

Ahli Parlimen Bukit Katil, Shamsul Iskandar Md Akin pula meramalkan Felda United akan mengiringi Selangor ke final ekoran mendapat semangat baru selepas menewaskan Johor Darul Takzim (JDT) pada peringkat suku akhir sebelum ini.

“Tentulah Selangor dan Felda United akan ke final. Saya jangka Selangor menang 1-0 dan Felda United pula 2-1 menewaskan Kedah,” katanya.

Pada separuh akhir pertama Selasa lalu, Selangor berjaya mengikat penyandang juara, Pahang dengan agregat 0-0 di Stadium Darul Makmur dan satu lagi pasukan tuan rumah, Felda United turut terikat 2-2 dengan Kedah di Stadium Selayang.

-nR-

Leave a Reply

Your email address will not be published.