Categories
AGENDA SUKANKINI

KL City juara Piala Malaysia, tamat kemarau 32 tahun

KUALA LUMPUR, 30 NOV: Pasukan Kuala Lumpur (KL) City FC menamatkan penantian 32 tahun untuk merangkul Piala Malaysia selepas mengejutkan juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) 2-0 pada aksi final di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini.

Dua jaringan masing-masing daripada Zhafri Yahya dan kapten pasukan Paulo Josue pada separuh masa kedua, turut membantu skuad The City Boys melakar sejarah sebagai juara pada ulang tahun ke-100 kejohanan berprestij yang diperkenalkan pada 1921, selain meraih tiket ke saingan Piala AFC musim depan.

KL City yang dikenali sebagai Kuala Lumpur FA sebelum proses penswastaan Liga Malaysia (Liga-M), pernah mencipta kejuaraan hatrik Piala Malaysia pada 1987, 1988 dan 1989, namun tidak pernah melangkah ke final selepas itu.

Babak pertama menyaksikan skuad Harimau Selatan menguasai perlawanan dengan serangan bertali-arus mencemaskan gawang lawan.

KL City pula mempamerkan disiplin bertahan yang cukup baik untuk mematahkan serangan serta tangkas melakukan beberapa serangan balas.

JDT hampir membuka jaringan pada minit kelapan apabila rembatan Bergson da Silva dari penalty arc  berjaya menewaskan penjaga gawang Kevin Ray Mendoza, namun percubaan itu sekadar singgah di palang kiri gol KL City.

Tandukan Mauricio dos Santos hasil sepakan percuma Arif Aiman Hanapi pada minit ke-36 dan tandukan Safawi Rasid seminit kemudian, juga berjaya diselamatkan oleh penjaga gol import dari Filipina itu.

Skuad kendalian Bojan Hodak yang mula menunjukkan corak menyerang pada separuh masa kedua mendapat peluang untuk memecahkan kebuntuan apabila penyerang import dari Colombia, Romel Morales berjaya meloloskan diri ke dalam kawasan penalti JDT pada minit ke-59, namun tindakan pantas penjaga gol Farizal Marlias menyelamatkan keadaan.

KL City yang turun selaku ‘underdog’ akhirnya berjaya mengejutkan JDT, apabila Zhafri meledak masuk bola hantaran lintang daripada J. Partiban pada minit ke-66.

Ketika skuad kendalian Benjamin Mora sedang memburu gol penyamaan, KL City mencipta satu lagi jaringan untuk melebarkan jurang menerusi kapten pasukan, Paulo Josue pada minit ke-74, yang berjaya mengawal hantaran Hadin Azman dengan baik, sebelum menerjah gawang JDT.

KL City mara ke final mengatasi Melaka United 5-3 menerusi penentuan sepakan penalti selepas keputusan agregat terikat 2-2 pada pusingan separuh akhir, manakala juara 2017 dan 2019, JDT membenam Terengganu FC 4-1 secara agregat untuk melangkah ke final.

Zhafri turut dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan pada majlis penyampaian hadiah yang dihadiri oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia merangkap Presiden KL City FC Tan Sri Annuar Musa serta Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Turut hadir Presiden KLFA, Khalid Abdul Samad.

Pasukan KL City selaku juara menjulang trofi Piala Malaysia dan menerima pingat manakala JDT menerima pingat selaku naib juara.

Untuk rekod, ini adalah pertemuan pertama KL City FC dan JDT di perlawanan akhir Piala Malaysia selepas kedua-dua pasukan melalui penswastaan kelab, namun Johor FA pernah menewaskan Kuala Lumpur FA untuk memenangi Piala Malaysia pada 1985.

Piala Malaysia tidak dapat diadakan bermula 1942 hingga 1947 berikutan perang dunia kedua manakala edisi 2020 pula dibatalkan susulan pandemik Covid-19.

– BERNAMA

 

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA SUKANKINI

Piala Malaysia: Selangor FC ajak penyokong ke stadium esok

SHAH ALAM, 13 NOV: Selangor FC (SFC) menagih sokongan peminat bagi meniupkan semangat pasukan yang berdepan KL City FC dalam aksi suku akhir Piala Malaysia esok.

Pemain import posisi penyerang Alexander Agyarkwa Ameyaw meminta para penyokong membeli tiket menyaksikan perlawanan yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya.

“Saya mahu peminat datang dan menyokong kami. Beli tiket secara dalam talian,” katanya menerusi video dimuat naik Facebook Selangor FC.

Tiket boleh dibeli menerusi pautan https://bit.ly/BuyTicketSELKLC atau laman sesawang SelangorFC.com.

Pasukan Gergasi Merah layak ke pusingan itu selepas menewaskan Kuching City FC 2-1 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin minggu lalu.

 

Categories
AGENDA SUKANKINI

Selangor FC miliki kelebihan, Bojan anggap KL City pasukan bukan pilihan

KUALA LUMPUR, 12 NOV: Status sebagai Juara Kumpulan A selain rekod tanpa kalah dalam saingan Piala Malaysia 2021 setakat ini bukan jaminan bagi Kuala Lumpur (KL) City FC untuk muncul sebagai pasukan pilihan dalam pertembungan suku akhir dengan Selangor FC.

Ketua Jurulatihnya, Bojan Hodak mengakui enggan terus lena dibuai mimpi susulan pencapaian cemerlang dilakar KL City dalam saingan kumpulan pertandingan bola sepak berprestij tempatan itu.

Pengendali dari Croatia itu berpendapat Selangor selaku juara 33 kali Piala Malaysia mempunyai kelebihan dalam aksi suku akhir itu kerana skuadnya masih sebuah pasukan yang baharu bangkit dalam kancah Liga Malaysia dan tidak mahu memberikan tekanan kepada anak buahnya selepas mara ke peringkat lapan terakhir itu.

“Kami bukan pasukan pilihan untuk menang dengan Selangor biarpun ramai melihat prestasi KL City cukup baik setakat ini di saingan Piala Malaysia.

Selangor ada kelebihan dari segi pilihan pemain kerana mempunyai barisan simpanan berbanding dengan KL City yang punyai sebuah skuad yang kecil,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) semalam.

Bagaimanapun, beliau menjangkakan aksi sengit dijangka berlaku dalam perlawanan suku akhir yang dijalankan secara timbal balik itu selepas rekod kesemua pertemuan antara kedua-dua pasukan sepanjang musim ini termasuk satu perlawanan persahabatan, berakhir dengan keputusan seri.

Selangor akan menjadi tuan rumah bagi aksi pertama suku akhir di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada 14 Nov ini manakala KL City pula akan menjadi hos aksi kedua di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur pada 18 Nov.

– BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Piala Malaysia: Selangor FC lepasi halangan saingan kumpulan

KUALA LUMPUR, 4 NOV: Finalis 2018, Terengganu FC (TFC) mara ke pusingan suku akhir Piala Malaysia dengan bergaya selepas membelasah Perak FC 4-0 pada aksi keempat Kumpulan B di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, malam tadi.

Umpama pertembungan ulangan final kejohanan berprestij itu pada edisi 2018, namun perlawanan malam ini membuktikan Perak FC yang mengalami kemerosotan prestasi musim ini jelas bukan tandingan skuad tuan rumah yang mendominasi 90 minit perlawanan.

Skuad bimbingan Mohd Nafuzi Zain berjaya mendahului 3-0 dalam tempoh 30 minit pertama perlawanan apabila hanya memerlukan 13 minit untuk membuka akaun gol menerusi rembatan kencang Makan Konate dari jarak jauh diikuti jaringan kedua pasukan oleh David Da Silva berselang enam minit.

Dechi Marcel menceriakan kira-kira 4,200 penyokong tuan rumah di stadium dengan gol ketiga pasukan pada minit ke-26 sebelum skuad Bos Gaurus terlepas peluang keemasan untuk merapatkan jurang apabila percubaan Royizzat Daud pada minit ke-29 berjaya diselamatkan penjaga gol.

Gol keempat TFC dijaringkan pemain kebangsaan Faisal Abdul Halim pada minit ke-62 yang tenang menyempurnakan sepakan penalti untuk mengesahkan kemenangan pasukan sekali gus menyaksikan TFC berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah setakat ini.

Turut mengikut jejak TFC adalah Selangor FC selepas terpaksa bekerja keras sehingga ke penghujung perlawanan sebelum melakar kemenangan tipis 2-1 ke atas Kuching City FC dalam satu lagi aksi Kumpulan B di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin.

Pemain gantian Nik Muhammad Sharif Haseefy Mohd Lazim muncul wira skuad Gergasi Merah apabila meledak gol kemenangan pasukan pada masa kecederaan separuh masa kedua selepas kedua-dua pasukan buntu dan perlawanan seakan berakhir dengan keputusan seri.

Pada aksi itu, Selangor FC terlebih dahulu di hadapan menerusi Ahmad Danial Asri yang menanduk bola hantaran Alexander Ameyaw untuk gol ketiga peribadinya dalam kempen Piala Malaysia, namun Kuching City FC bangkit mengikat kedudukan hasil jaringan Michael Ijezie pada minit ke-67.

TFC dan Selangor FC mengesahkan kemaraan ke peringkat kalah mati dengan masing-masing mengumpul 12 dan sembilan mata setakat ini manakala peluang tertutup buat Kuching City FC dan Perak FC selepas kedua-dua pasukan itu hanya mengutip satu mata dalam empat aksi.

Dalam pada itu, saingan Kumpulan A menyaksikan perebutan slot ke pusingan suku akhir semakin sengit antara tiga pasukan teratas iaitu pendahulu Kuala Lumpur (KL) City FC, Sarawak United FC dan Sri Pahang FC.

Ia selepas Sarawak United dan KL City FC terikat 2-2 di Stadium UiTM Shah Alam sementara Sri Pahang FC meneruskan “amukan” mereka dengan berpesta gol menewaskan Penang FC 5-0 di Stadium Darul Makmur, Kuantan.

Di Shah Alam, penyerang prolifik Sarawak United FC Uche Agba dan tonggak serangan pasukan pelawat Romel Morales masing-masing meledak dua gol untuk memaksa kedua-dua pasukan sekadar berpuas hati mengutip satu mata.

Sementara itu, Sri Pahang FC tidak menunjukkan belas kasihan kepada pasukan pelawat dengan Kenny Athiu mencipta ‘hatrik’ menerusi gol pada minit ke-10, minit ke-35 dan minit ke-81 manakala dua gol lagi masing-masing disumbangkan Abubakar Yakubu (minit ke-21) dan Abdul Malik Mat Ariff pada minit ke-57.

Walaupun seri, KL City FC kekal sebagai pendahulu mengumpul lapan mata diikuti Sarawak United FC (tujuh mata), Sri Pahang FC di tempat ketiga mengumpul enam mata dan Penang FC tercorot mengutip satu mata.

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Piala Malaysia: Selangor FC belasah Kuching City 5-1

SHAH ALAM, 31 OKT: Pasukan Selangor FC berpesta gol menundukkan Kuching City FC 5-1 pada aksi peringkat Kumpulan B saingan Piala Malaysia malam tadi.

Dalam perlawanan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) Petaling Jaya, Gergasi Merah membuka tirai jaringan seawal minit pertama melalui Hein Htet Aung.

Begitupun pasukan pelawat berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-10 apabila dihadiahkan sepakan penalti yang disudahkan sempurna oleh Michael Ijezie.

Selangor FC bangkit pada separuh masa kedua dan kembali mendahului pada minit ke-56 menerusi Ahmad Danial Asri dan terus mengukuhkan kedudukan sembilan minit selepas itu apabila Safuwan Baharudin menjaringkan gol ketiga hasil sepakan penalti.

Ahmad Danial kembali mengambil giliran untuk gol kedua peribadi serta gol keempat buat tuan rumah pada minit ke-79.

Skuad Gergasi Merah terus mengasak lawan dan melengkapkan kemenangan dengan 5-1 dengan tandukan Sean Selvaraj.

Keputusan itu menyaksikan Selangor FC mengutip enam mata di kedudukan kedua Kumpulan B di belakang Terengganu FC dan mencerahkan peluang ke suku akhir.

Categories
AGENDA SUKANKINI

Piala Malaysia: Petaling Jaya City benam Kelantan FC 3-1

SHAH ALAM, 30 OKT: Petaling Jaya City FC memperoleh kemenangan pertama dalam kempen Piala Malaysia apabila menewaskan Kelantan FC 3 – 1 di Stadium MBPJ malam tadi.

Beraksi di laman sendiri, pasukan dibimbing P Maniam menggunakan segala kelebihan bagi mengatasi pelawat dari Liga Perdana itu seawal minit ke-10 melalui Darren Lok.

Petaling Jaya City FC mengukuhkan kedudukan sembilan minit kemudian menerusi Kogileswaran Raj.

Kelantan FC berjaya memperoleh gol bagi merapatkan jurang dengan percubaan tepat Christos Intzidis pada minit ke-36.

Bagaimanapun sembilan minit sebelum tamat perlawanan, Darren Lok bertindak cemerlang menerusi gol keduanya bagi melengkapkan kemenangan tuan rumah.

Selepas tiga perlawanan, Petaling Jaya City FC kini menduduki tempat kedua Kumpulan D dengan empat mata di belakang Johor Darul Ta’zim (sembilan).

Categories
AGENDA NASIONAL SUKANKINI

KBS rayu Piala Malaysia diterus, langsung zon negeri hijau

KUALA LUMPUR, 11 NOV: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan mengemukakan rayuan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) supaya saingan Piala Malaysia 2020 yang ditangguhkan sebelum ini dapat diteruskan bagi menamatkan baki tujuh perlawanan musim ini.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican bagaimanapun berkata rayuan itu hanya akan dikemukakan jika terdapat penurunan kes Covid-19 dalam negara.

“Secara peribadi selaku Menteri Belia dan Sukan, memang saya amat berharap supaya tujuh perlawanan ini dapat diteruskan di negeri-negeri yang dianggap sebagai (zon) hijau.

“Namun, kita akur dengan (arahan) MKN selain melihat faktor kesihatan dan keselamatan rakyat jauh lebih penting, di samping juga kesediaan dua negeri tersebut (Kelantan dan Pahang) untuk memberi kebenaran,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz (PAS-Bachok) yang meminta penjelasan terhadap tahap keupayaan semasa pasukan bola sepak tempatan dalam mendepani Covid-19 ketika ini.

Saingan Piala Malaysia masih berbaki tujuh perlawanan melibatkan empat aksi suku akhir yang dijadualkan pada 12 dan 13 November, diikuti dua perlawanan separuh akhir (17 November) dan final pada 22 November. Pusingan pertama Piala Malaysia berlangsung dari 6 hingga 8 November lepas.

Perlawanan suku akhir Piala Malaysia 2020 bakal menyaksikan juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) menentang Kuala Lumpur; Pulau Pinang berdepan UiTM FC; Terengganu FC melawan Perak, sementara Kedah berdepan juara 33 kali Selangor.

Pada Isnin, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan MKN memutuskan supaya saingan Piala Malaysia 2020 ditangguhkan ke suatu masa yang akan ditetapkan.

Susulan itu, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) semalam, mengemukakan rayuan kepada MKN agar dapat menimbang semula keputusan menangguhkan saingan Piala Malaysia 2020.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL Datuk Ab Ghani Hassan berkata pihaknya telah menyediakan perancangan untuk meneruskan saingan di negeri berkecuali PKPB dan memohon menggunakan Stadium Sultan Mohamad Ke-IV, Kota Bharu, Kelantan dan Stadium Darul Makmur, Kuantan, Pahang untuk aksi suku akhir, separuh akhir dan final.

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan PKPB dilaksanakan di semua negeri di Semenanjung kecuali Pahang, Perlis dan Kelantan, berkuat kuasa selama empat minggu bermula 9 November hingga 6 Disember depan.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA SUKANKINI

Kerajaan tangguh saingan Piala Malaysia 2020

SHAH ALAM, 9 NOV: Kerajaan memutuskan saingan bola sepak Piala Malaysia 2020 ditangguhkan seketika berikutan pandemik Covid-19.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata sukan itu tetap berisiko walaupun diadakan tanpa penonton kerana melibatkan sentuhan dalam kalangan pemain.

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berasakan pertandingan bola sepak walaupun tiada penonton boleh menyebabkan berlakunya sentuhan dalam kalangan pemain dan agak berbahaya apabila mereka berpeluh yang memberi risiko jangkitan Covid-19.

“Lagipun setiap negeri sudah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) kecuali Pahang, Kelantan dan Perlis. Jadi, sidang khas bersetuju untuk tangguhkan pertandingan Piala Malaysia ke suatu tarikh lain,” katanya pada sidang media hari ini.

Beliau berkata peminat sukan tersebut diminta bersabar dan sentiasa kekal mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) bagi memutuskan rantaian wabak.

“KKM termasuk petugas hadapan sedang melakukan yang terbaik, sekiranya kes menurun dengan cepat kita akan kembali seperti biasa dan pertandingan boleh diadakan,” katanya.

Aksi suku akhir kejohanan bola sepak tertua di Asia dijadual berlangsung pada 12 dan 13 November ini selepas lapan pasukan mengesahkan tiket iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT), Selangor, Kuala Lumpur, Kedah, Pulau Pinang, Terengganu FC, UiTM FC serta Perak.

Categories
AGENDA SUKANKINI

Piala Malaysia: Selangor, UiTM FC lengkapkan slot suku akhir

KUALA LUMPUR, 9 NOV: Pasukan paling cemerlang dalam saingan Piala Malaysia, Selangor melangkah ke suku akhir kejohanan itu selepas mencatatkan kemenangan tipis 2-1 ke atas Melaka United di Stadium Hang Jebat malam tadi.

Juara rekod 33 kali itu membuka jaringan menerusi penyerang import dari Nigeria Ifedayo Olusegun yang meledak masuk hantaran lintang Wan Zack Haikal Wan Noor pada minit ke-22.

Skuad Gergasi Merah kemudian menggandakan jaringan menerusi pemain import dari Brazil Sandro Da Silva pada minit ke-52 namun Melaka menunjukkan kebangkitan menerusi Uche Agba empat minit kemudian.

Walaupun serangan bertali arus dilakukan kedua-dua pasukan, kedudukan kekal sehingga wisel penamat untuk membawa Selangor ke suku akhir selepas disingkirkan pada peringkat separuh akhir oleh juara Johor Darul Ta’zim (JDT).

Sementara itu, UiTM FC pula menyingkirkan juara dua kali, Kelantan menerusi kemenangan 3-2 di Stadium Majlis Perbandaran Manjung untuk mara ke peringkat suku akhir buat kali pertama dalam sejarah.

Skuad kendalian Frank Bernhardt itu berjaya mendahului dengan selesa pada awal perlawanan menerusi tandukan Muhamad Arif Mohamed Anwar pada minit ke-13 dan jaringan Muhamad Rafie Mat Yaacob dua minit kemudian hasil hantaran lintang cantik Gustavo Almeida Dos Santos.

Bersambung babak kedua, skuad ‘The Red Warriors’ yang memperkemas jentera serangan, berjaya bangkit menyamakan kedudukan menerusi dua jaringan Muhammad Danial Ashraf Abdullah pada minit ke-61 dan 63.

UiTM FC yang sekadar menjadi pelengkap dalam saingan peringkat kumpulan bagi edisi 2017 dan 2019, bagaimanapun mengesahkan slot ke peringkat lapan terakhir apabila Muhammad Arif menjaringkan gol cantik menerusi sepakan gunting di depan gawang untuk menewaskan penjaga gol Kelantan Nik Akif Shahiran Nik Mat pada minit ke-67.

Pada pusingan suku akhir, Selangor akan bertemu Kedah yang mengatasi Pahang dengan keputusan 3-2 manakala UiTM FC akan berhadapan juara Liga Premier, Pulau Pinang yang menyingkirkan Felda United 3-1.

Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) belum membuat keputusan mengenai nasib saingan piala tertua di Asia itu selepas kerajaan mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh negeri di Semenanjung kecuali Pahang, Perlis dan Kelantan bermula Isnin ini hingga 6 Disember depan.

MFL pada awalnya menjadualkan pusingan pertama dari 6 hingga 8 November diikuti suku akhir pada 12 hingga 13 November, separuh akhir pada 17 November dan final pada 22 November.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA SUKANKINI

Cabaran Piala Malaysia bermula di sebalik ancaman Covid-19

KUALA LUMPUR, 5 NOV: Saingan Piala Malaysia 2020 yang bakal membuka tirai secara rasmi bermula esok, pastinya akan menjadi antara edisi paling diingati ketika industri bola sepak tempatan turut terkesan susulan pandemik Covid-19.

Sejak pandemik itu melanda negara pada awal tahun ini, pasukan Liga Malaysia (Liga-M) menerima kesan dari sudut kewangan, malah larangan kehadiran penonton ke stadium telah menambahkan derita segelintir pasukan untuk terus bertahan dalam tempoh yang sukar ini.

Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya sehingga 9 Nov, dilihat menjadi cabaran getir kepada persediaan empat pasukan berpangkalan di Lembah Klang – Selangor, Kuala Lumpur, UiTM FC dan PJ City FC.

Finalis tiga kali, Sabah, terpaksa melupakan hasrat bertanding selepas tidak mendapat pelepasan keluar daripada PKPB yang dilaksanakan di negeri itu sehingga 9 November, sekali gus menjadikan ia sebagai pasukan pertama tidak dibenarkan menyertai pertandingan itu susulan Covid-19.

Impak Covid-19 terhadap kelangsungan kejohanan bola sepak tempatan tidak dapat dinafikan selepas saingan Liga Super dan Liga Premier dipendekkan kepada 11 perlawanan keseluruhan manakala saingan Piala FA dan Piala Cabaran dibatalkan, sekali gus memberi laluan kepada penganjuran Piala Malaysia musim ini.

Situasi itu menyaksikan ramai pemerhati berpendapat kejohanan bola sepak tertua di Asia Tenggara itu perlu ditangguhkan, tidak kurang juga yang menggesa Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) membatalkan terus saingan musim ini.

Namun antara individu yang mempertahankan kejohanan itu adalah bekas pengendali skuad kebangsaan Datuk K. Rajagobal yang menyifatkan kejohanan Piala Malaysia yang sebelum ini dikenali sebagai H.M.S Malaya dan Malaya Cup, mempunyai nilai sejarah dan tradisi tersendiri sejak ia diperkenalkan pada 1921.

“Debaran perlawanan akhir Piala Malaysia sentiasa memuncak setiap tahun, dan keghairahan penyokong terhadap pertandingan ini tidak boleh dinafikan,” katanya seperti dipetik dalam laporan Bernama sebelum ini.

Kelainan dalam perebutan kejuaraan berprestij musim ini pasti dapat dilihat menerusi format baharu kejohanan yang menyaksikan saingan berlangsung secara kalah mati satu pusingan seperti yang dipratikkan oleh Liga Juara-Juara Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan Liga Juara-Juara UEFA musim ini.

Sebanyak 15 pasukan yang bakal berentap dalam saingan musim ini terdiri daripada 10 pasukan Liga Super dan lima pasukan Liga Premier dengan juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) mendapat laluan mudah sekali gus berpeluang cerah merangkul kejuaraan buat kali kedua berturut-turut.

Keputusan undian Piala Malaysia yang berlangsung pada Ahad lepas, menyaksikan salah satu laluan ke perlawanan akhir menghimpunkan beberapa pasukan utama Liga Super dengan pertembungan dua bekas juara, Kedah dan Pahang menjadi aksi tumpuan pada pusingan pertama.

Sementara persaingan lebih mudah, dilihat seakan-akan memihak JDT yang akan melayani kunjungan Kuching FA, selain juara Liga Premier 2020 Pulau Pinang, UiTM FC, Kuala Lumpur dan Kelantan menjadi antara pasukan pilihan merebut slot ke final.

Undian itu turut menyaksikan juara terbanyak dengan rekod 33 kali, Selangor akan bertandang ke Melaka, manakala juara lapan kali Perak menerima kunjungan Kelantan United FC sementara Pulau Pinang yang muncul juara empat kali akan menentang Felda United FC, pada pusingan awal.

Edisi Piala Malaysia 2020 mungkin menjadi penampilan terakhir buat skuad ‘The Fighters’ dalam kejohanan itu selepas Felda United FC gagal mendapatkan Lesen Kelab Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi musim 2021.

Pusingan pertama dijadual berlangsung dari 6 hingga 8 November, diikuti suku akhir (12 dan 13 November), separuh akhir (17 November) dan final pada 22 November.

Juara Piala Malaysia 2020 akan mendapat slot beraksi pada Piala AFC 2021.

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Piala Malaysia: Selangor, UiTM FC guna gelanggang luar kawasan PKPB

KUALA LUMPUR, 2 NOV: Pasukan Selangor dan UiTM FC terpaksa melupakan hasrat beraksi di laman sendiri pada pusingan pertama Piala Malaysia 2020 bermula Jumaat ini, susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Lembah Klang sehingga 9 November.

Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, skuad Gergasi Merah yang menjadikan Stadium Shah Alam sebagai gelanggang tuan rumah akan melayani pasukan Melaka di Stadium Hang Jebat di negeri bersejarah itu pada Ahad.

Sementara UiTM FC yang turut berpangkalan di Shah Alam, akan menjadikan Stadium Majlis Perbandaran Manjung, Perak sebagai venue tuan rumah menentang Kelantan, yang juga berlangsung pada Ahad.

MFL turut mengesahkan perlawanan antara Terengganu FC menentang PJ City FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Kuala Terengganu dan perlawanan membabitkan Perak dengan Kelantan United FC di Stadium Perak, Ipoh, akan berlangsung pada Sabtu.

Dalam pada itu, tiga aksi melibatkan perlawanan Pulau Pinang melawan Felda United FC di Stadium Bandaraya; Johor Darul Ta’zim (JDT) menentang Kuching FA di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin dan pertembungan Kedah berdepan Pahang di Stadium Darul Aman, Alor Setar pada Jumaat.

“Penjadualan perlawanan Piala Malaysia sudah dirancang dengan baik dan semua pasukan termasuk yang terpaksa beraksi di venue luar sudah bersedia untuk mengharungi perlawanan pusingan pertama,” jelas Presiden MFL Datuk Ab Ghani Hassan dalam kenyataan itu

Ab Ghani berkata bagi memastikan kelancaran saingan dalam tempoh Covid-19, MFL tidak akan berkompromi berkaitan pematuhan pelaksanaan tatacara operasi piawai (SOP), dengan kesemua aksi mesti berpandukan Garis Panduan Pengelolaan Perlawanan Liga Malaysia 2020 tanpa penonton.

“Diingatkan sebarang kegagalan mematuhi dan pelanggaran SOP oleh pasukan merupakan satu kesalahan serius dan akan dikenakan tindakan yang sewajarnya oleh MFL. Sebarang perubahan atau pindaan kalendar dan jadual adalah tertakluk kepada keputusan Ahli Lembaga Pengarah,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Piala Malaysia: Format kalah mati saji saingan sengit 16 pasukan

KUALA LUMPUR, 29 OKT: Format kalah mati yang digunakan pada saingan bola sepak Piala Malaysia yang bermula pada 6 November ini bakal menjanjikan saingan sengit bagi 16 pasukan yang terlibat.

Saingan tersebut akan melibatkan 11 pasukan Liga Super dan lima pasukan teratas Liga Premier.

Jurulatih veteran Irfan Bakti Abu Salim melihat keputusan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) menggunakan format kalah mati pada saingan kali ini bukan sahaja menjimatkan masa, tetapi turut memastikan semua perlawanan dapat berjalan seperti dirancang.

“Format baharu itu bersesuaian dengan keadaan sekarang kerana maksimum hanya empat perlawanan sahaja akan dilalui mana-mana pasukan yang akan ke perlawanan akhir.

“Harus diingat, pasukan pasti lagi bermotivasi mahu menjuarai Piala Malaysia kerana bakal menawarkan (satu) tempat ke Piala AFC (Konfederasi Bola Sepak Asia) pada tahun depan,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan MFL semalam.

Irfan Bakti, 69, yang pernah melatih beberapa pasukan termasuk Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Perlis dan Terengganu itu mengakui saingan Piala Malaysia tidak boleh ditangguhkan, terutamanya bagi memberi ruang kepada juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) meneruskan saingan Liga Juara-Juara AFC.

JDT akan bermain dalam empat perlawanan Kumpulan G Liga Juara-juara AFC yang bermula dari 19 November ini hingga 4 Disember, dan AFC menetapkan kesemua perlawanan berkenaan akan diadakan di gelanggang berkecuali di Qatar dalam usaha mengelakkan risiko jangkitan Covid-19 dalam kalangan pemain dan pegawai terlibat.

“Jadi kalau bermula lewat, sukar juga kepada JDT berikan tumpuan kepada kedua-dua kejohanan yang dijalankan serentak dan saya rasa tarikh yang dicadangkan oleh MFL sudah cukup sesuai, “ kata Irfan.

MFL mengambil keputusan menggunakan format kalah mati bagi saingan Piala Malaysia pada musim ini ekoran kekangan masa akibat penangguhan hampir lima bulan disebabkan penularan pandemik Covid-19.

Undian Piala Malaysia akan dilangsungkan pada 1 November ini dengan perlawanan pusingan pertama bermula pada 6, 7 dan 8 November, suku akhir ( 12 dan 13 Nov), separuh akhir pada 17 Nov dan aksi final pada 22 November ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL Datuk Ab Ghani Hassan sebelum ini menjelaskan pasukan yang berpangkalan di Lembah Klang seperti Selangor, Kuala Lumpur, UiTM FC dan PJ City perlu bermain di venue luar Lembah Klang berikutan pelanjutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) hingga 9 November ini bagi mengekang penularan Covid-19.

-BERNAMA