Categories
SELANGOR

Piala Malaysia: Mehmet yakin menang, Ramon terus mencabar

Oleh: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 11 DIS: Selangor dan Kedah berjanji akan mempamer aksi terbaik dan merebut peluang sebaik mungkin bagi menjuarai Piala Malaysia 2015 di Stadium Shah Alam, esok.

Jurulatih Gergasi Merah, Mehmet Durakovic tidak menyembunyikan hasrat ingin melihat pasukannya merangkul kejuaraan setelah menunggu detik itu 10 tahun.

Mehmet“Kita sudah menunggu sekian lama dan semoga kita mampu melakukannya kali ini. Perlawanan akhir pasti berlangsung hebat dan saya harap pasukan dapat beraksi hebat dengan persembahan baik bagi memenanginya.

“Walau tidak mudah berdepan Kedah tetapi dengan prestasi pemain yang memuncak kini segalanya boleh dilakukan,” katanya dalam sidang media di Stadium Shah Alam, hari ini.

Selangor memenangi Piala Malaysia kali terakhir pada 2005 dan layak ke akhir pada 2008 tetapi dikecewakan Kedah.

Mehmet berkata, pemain sudah membuktikan segala telahan ke atas Gergasi Merah selama ini meleset dengan prestasi mengagumkan hinggsa layak ke akhir dan ia adalah detik berharga untuk mereka terus membuktikan dengan menjuarai piala keagungan tempatan itu.

Bagi pemangku jurulatih Hijau Kuning, Ramon Marcote, kini adalah peluang terbaik untuk Kedah muncul juara setelah mara sejauh itu.

Ramon Marcote“Kita mengharungi musim penuh mencabar hingga berjaya menjuarai Liga Perdana musim ini seterusnya sampai ke akhir Piala Malaysia.

“Pastinya saya mahu pasukan saya menang perlawann ini tetapi ia berbeza dengan aksi akhir tujuh tahun lalu kerana Selangor musim ini mempamerkan aksi cemerlang dan tentu sukar untuk menewaskan mereka,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, Kedah akan turun penuh semangat dan tidak akan mudah mengalah demi memburu impian bergelar juara.

-nR-

Leave a Reply

Your email address will not be published.