Categories
SELANGOR

Program komuniti polis dan masyarakat perlu dipertingkat

SHAH ALAM 15 DIS: Program komuniti polis bersama masyarakat perlu dipertingkatkan dari semasa ke semasa dalam usaha membendung kegiatan jenayah masa kini, kata Ketua Polis Selangor Datuk Abdul Samah Mat.

Beliau berkata masyarakat jelas mempunyai peranan penting dalam membantu pihak polis menyelesaikan isu-isu berkaitan jenayah.

“Susun strategi untuk bendung kegiatan jenayah, kerjasama antara polis dan masyarakat melalui konsep komuniti polis telah terlaksana dengan baik.

POLIS“Teruskan perhubungan di semua peringkat masyarakat dan beri kesedaran untuk masyarakat turut sama main peranan membendung jenayah,” katanya dipetik BERNAMA.

Abdul Samah bercakap kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Ampang Jaya dan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) IPD Ampang Jaya di sini.

Sementara itu, beliau berkata daerah Ampang mencatatkan penurunan indeks jenayah sebanyak 14.25 peratus dengan 2,949 kes dilaporkan dalam tempoh Januari lepas hingga Nov tahun ini, berbanding 3,439 kes dalam tempoh sama tahun lepas.

“Penurunan ini merupakan hasil dari kerjasama baik antara polis dengan masyarakat,” katanya.

Terdahulu, pada majlis itu bekas Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, SAC Khairuldin Saad menyerahkan tugas kepada penggantinya, ACP Hamzah Alias yang sebelum ini merupakan Ketua Polis Daerah Jempol, Negeri Sembilan.

Khairuldin pula dilantik sebagai Ketua Penolong Pengarah (D4) Risikan/ Operasi/ Rekod Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

Isteri kepada Hamzah, Farah Liza Abdullah kini menjadi Pengerusi Perkep Ampang Jaya yang baharu menggantikan Sharifah Zuraidah Syed Mustafa Al-Qudri.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.