Categories
SELANGOR

Rasullullah contoh terbaik pelindung wanita

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 25 DIS: Wanita harus berdaya saing bagi mengangkat diri ke tahap yang dikehendaki bagi memastikan kehidupan bebas dari sebarang bentuk diskriminasi, ketidakadilan, korupsi, birokrasi yang sengaja membebankan.

Pengasas Pertubuhan Inisiatif Pemberdayaan Wanita, Rodziah Ismail, berkata hal itu kerana ia akan mewujudkan kesejahteraan di kalangan rakyat.

MAULIDUR RASUL 2015Katanya, bagi merealisasikannya, reformasi dalam sistem mahkamah syariah dan sivil, bidang keusahawanan, politik dan proses pembuatan keputusan di semua peringkat dan bidang pentadbiran menjadi suatu kewajaran.

“Wanita perlu memahami bahawa untuk kesemua harapan dan idealisme mereka menjadi kenyataan, mereka semestinya bertindak bijak dalam semua pilihan raya umum dan negeri dengan mengenali bakal pemimpin dan membuat pilihan mereka dengan tepat.

“Amat malang sekali jika pemimpin yang dipilih itu tidak bersungguh dan tidak memahami tentang isu-isu berkaitan wanita dan meningkatkan kehidupan wanita,” katanya dalam kenyataan media sempena sambutan Maulidur Rasul.

Rodziah berkata hasil daripada sistem kehidupan sedia ada masih berlaku keganasan terhadap wanita, diskriminasi dalam bidang pekerjaan, proses yang birokratik dan menyusahkan wanita untuk menuntut hak asasi.

“Juga penanggungan kos saraan hidup yang tinggi, berlarutan status yang tidak pasti iaitu berkahwin tetapi ditinggalkan oleh suami tanpa nafkah atau perceraian rasmi dan penanggungan sendirian perbelanjaan keperluan keluarga.

“Tanpa mengira agama, latar belakang, etnik dan golongan, ia mencelikkan imbasan kepada sejarah Rasulullah SAW yang penuh dengan pengisian dasar, perancangan dan perincian terhadap agenda dan pelan tindakan untuk melindungi wanita,” katanya.

Beliau berkata ucapan, jawapan di Dewan Negeri dan Dewan Rakyat oleh pemimpin ketika ini serta dokumentasi yang berjela-jela sudah tidak lagi mempunyai nilai dan makna sebagai respon kepada persoalan-persoalan itu.

“Oleh itu, wanita pilihlah pemimpin yang membuktikan segala ucapan dan janji-janji mereka.

“Rasullah SAW adalah contoh terbaik dalam melindungi wanita sama ada dalam ucapan mahupun tindakan baginda,” katanya.

Tahun 2015M menyaksikan Maulidur Rasul disambut dua kali, 3 Januari[1436H] dan 24 Disember[1437H] dengan tema yang sama – “Perpaduan Nadi Transformasi Negara”.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.