Categories
BERITA UTAMA

Rumah Selangorku lebih murah daripada PR1MA

Oleh: SYASYA SUFIAN

DASAR dan penjenamaan semula Rumah Selangorku bermula dari harga RM42,000 sehingga RM250,000 seunit memberi lebih keselesaan sama ada daripada segi saiz, reka bentuk atau komunitinya berdasarkan kemampuan isi rumah.

Ia dibina bersekali dalam skim pembangunan/blok (STRATA) bagi jenis pembangunan berbilang tingkat.

Rumah Selangorku adalah rumah mampu milik yang dibangunkan untuk golongan isi rumah berpendapatan rendah, sederhana rendah dan sederhana yang menggantikan dasar Rumah Kos Rendah (RKR).

Pelancaran Rumah Selangorku di Setia City Convention Centre MB (7)Ia berkait dengan kemampuan bulanan pelbagai golongan isi rumah untuk membayar sekurang-kurangnya 1/3 daripada jumlah pendapatan untuk tujuan bayaran tanpa membebankan mereka untuk kos kehidupan lain.

Terdapat empat jenis kediaman yang dibina Kerajaan Negeri yang membezakan keluasan harga maksimum dan keutaaman kepada pembeli.

Antaranya Rumah Selangorku jenis A, B dan C adalah berkeluasaan dari 700 kaki persegi hingga 18′ x 60′ kaki persegi dengan harga bermula dari RM42,000 hingga RM200,000 yang dilengkapi kemudahan seperti berpagar, bersekuriti, taman permainan kanak-kanak, surau, dewan dan ruang pusat komuniti.

Manakala rumah jenis D berharga antara RM220,000 hingga RM250,000 yang berkeluasan dari 1,000 dan 20′ x 60′ kaki persegi.

Bagi penambahbaikan dasar pemilikan rumah jenis A, jumlah pendapatan isi rumah bulanan permohonan dinaikkan dari RM2,500 kepada RM3,000, manakala rumah jenis B, C dan D memperuntukkan gaji bulanan pemohon perlu bermula dari RM5,000 kepada RM8,000.

Pembeli juga harus menjadi pemegang selama lima tahun sebelum rumah terbabit boleh dijual.

Pelancaran Rumah Selangorku di Setia City Convention Centre MB (3)Lembaga Perumahan Hartanah Selangor (LPHS) adalah badan yang dipertanggungjawabkan dalam pembinaan dengan kerjasama pemaju, pihak berkuasa tempatan (PBT), institusi kewangan hingga pembeli.

LPHS mengambil langkah inisiatif memantau pelaksanaan pembinaan rumah oleh pemaju sehingga siap dibangunkan dengan melakukan lawatan tapak secara berkala terhadap projek-projek yang sudah mendapat kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

Pemaju wajib mendaftarkan projek di dalam Sistem Pendaftaran Pemaju (SPEM) sebelum pelan bangunan dikemukakan di PBT.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Datuk Iskandar Abdul Samad, berkata Kerajaan Negeri mensasarkan 15,000 unit rumah yang dilancar bakal disiapkan menjelang 2018.

“Kerajaan Negeri menubuhkan jawatankuasa khas bersama LPHS untuk memantau bukan sahaja proses pembinaan, bahkan daripada mula mendapat kelulusan, perancangan sehingga siap bagi memastikan sasaran kita dicapai.

“Kita tidak mahu ada masalah perumahan yang tidak dapat disiapkan pemaju seperti yang disyaratkan,” katanya ketika Seminar Rumah Selangorku dan Akta Pengurusan Strata (Akta 757) 2015.

Iskandar SamadIskandar berkata, pembinaan Rumah Selangorku melibatkan tanah swasta yang Kerajaan Negeri tetapkan polisinya kepada pemaju yang ingin membangunkan perumahan terbabit.

“Kita menetapkan pemaju perlu mempunyai tanah melebihi 10 ekar untuk bina Rumah Selangorku yang nilai harganya bawah RM250,000.

“Jadi, saya menyangkal dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan rumah di negeri ini mahal kerana kita sememangnya mengawalnya. Kita juga mewajibkan 40 peratus tanah milik pemaju dibina dengan harga sederhana dan sederhana rendah,” katanya.

Difahamkan, skim perumahan Rumah Selangorku lebih murah berbanding Skim Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) yang dilaksanakan Kerajaan Persekutuan.

Menurut laman sesawang PR1MA, harga yang ditawarkan bermula dari RM100,000 hingga RM400,000 berbanding Rumah Selangorku iaitu maksima tidak melebihi RM250,000.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif LPHS, Puan Norzaton Aini Mohd Kassim, berkata orang ramai boleh mendapatkan borang Rumah Selangorku di pejabat daerah selain permohonan secara dalam talian.

“Kita mengambil inisiatif menggalakkan mereka berpendapatan rendah yang duduk di luar bandar untuk memohon, di samping membuat sebarang pertanyaan di pejabat daerah.

“Ia bagi memudahkan mereka jika mengalami sebarang kesukaran untuk memohon secara dalam talian,” katanya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.