Categories
BERITA UTAMA

Shaharudin wira sukan basikal negara

Oleh: NORHAYATI UMOR

AKTIVITI berbasikal di negara ini sudah bermula ketika tentera bersekutu berpangkalan di Tanah Melayu, sejak 1938 apabila pegawai tentera New Zealand, Kapten C O Jennings dan Mendiang Gurchan Singh Gill adalah penggerak utama dalam penubuhan Persekutuan Lumba Basikal Malaya (PLBM), pada Mac 1953.

Ia dianggotai empat negeri iaitu Selangor, Perak, Pulau Pinang dan Melaka, namun ketika itu lumba basikal bukanlah sukan yang menjadi pilihan ramai, bahkan boleh dikatakan ‘nazak’.

Pelumba muda ramai ketika itu tetapi malangnya tiada persatuan untuk membantu mengetengahkan bakat mereka secara lebih meluas.

Shaharudin JaffarKini, 62 tahun sudah berlalu dan sukan lumba basikal mula dilihat membangun, dikenali selain digemari bukan sahaja belia, bahkan pelbagai golongan.

Seperti biasa, ‘patah tumbuh hilang berganti’. Namun, ‘orang lama’ tidak wajar dilupakan kerana segala jasa dan pengorbanan mereka kepada negara wajar dikenang.

Generasi hari ini mungkin lebih mengenali nama-nama seperti Azizulhasni Awang, Josiah Ng atau Rizal Tisin dan beberapa pelumba terdahulu iaitu Rosman Alwi dan M Kumaresan.

Namun, adakah antara kita masih mengingati nama Shaharudin Jaffar iaitu pelumba kebangsaan era 60an dan pelumba negara pertama yang memenangi pingat emas pada Sukan Semenanjung Asia Tenggara (SEAP) di Stadium Merdeka, pada tahun 1965?

Pencapaian dan pembabitan beliau dalam sukan lumba basikal sangat membanggakan terutama berjaya mengharumkan nama negara.

Minat dan cintanya dalam dunia sukan masih segar walaupun sudah mencecah usia 75 tahun. Ketika penulis menemui Shaharudin, mulut dan fikirannya hanya berbicara berkenaan pembangunan sukan sahaja.

Shaharudin, 75, dilahirkan di Perak dan dibesarkan di Sungai Pinang, Klang serta mempunyai Sarjana Pengurusan Sukan di Cardiff, pada tahun 1973.

Melahirkan rasa hibanya ketika menerima anugerah Tokoh Warga Emas peringkat Selangor, Shaharuddin berkata beliau sangat terharu kerana ia satu penghargaan yang tidak dijangka.

Malah, dia berasa lebih hiba kerana tiada sesiapa yang menyanjung pengorbanannya dalam bidang sukan selama ini.

“Seronok dan juga hiba. Ia adalah penghargaan yang mahal bagi saya kerana setakat ini tidak rasa ada orang boleh menyanjungi pengorbanan saya selama ini.

“Saya berkecimpung dengan dunia sukan sejak berumur 16 tahun sehingga kini. Walaupun tidak aktif tetapi saya masih berkecimpung menjadi perunding kepada beberapa persatuan dan kelab dalam memajukan aktiviti sukan,” katanya.

Sambutan hari Wanita Peringkat Negeri Selangor 2015 - YB Daroyah Alwi (7)Bagaimanapun, beliau tidak dapat begitu aktif dengan sukan itu kerana faktor usia dan menjaga isterinya yang kini menghidap kanser peringkat keempat.

“Saya berjanji atas cinta saya dalam bidang ini iaitu akan mencari peluang untuk berbakti dalam sukan berbasikal tidak kira apa juga rintangan,” katanya.

Mengulas pencapaian sukan lumba basikal ketika ini, Shaharudin hanya tersenyum dan mengeluh. Katanya, berat untuk diluahkan.

“Sekarang, banyak pertandingan antarabangsa dipertandingkan berbanding dulu. Walaupun ada satu dua pelumba yang diketengahkan tetapi saya rasa masih belum cukup.

“Apa yang penting minat. Bukan main-main. Sukan harus menjadi sebahagian agenda kehidupan dan perlu menjadi aktiviti seharian bukan sekadar suka-suka dan melepaskan batuk di tangga,” katanya.

Bagi dirinya, sukan perlu dijadikan kewajipan dalam hidup sebagaimana kita melaksanakan amal dan ibadah. Malah, katanya, jangan jadikan peruntukan sebagai alasan untuk tidak berjaya.

Shaharudin sebelum ini lantang mengecam sikap sesetengah atlet yang berbicara berkenaan wang. Hal itu kerana, beliau pernah mengubah nasib Malaysia dalam sukan berbasikal apabila hanya tinggal RM44.60 dalam akaun Persatuan Lumba Basikal Malaysia (kini Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia).

“Itu yang berlaku apabila saya mengambil alih persatuan itu sebagai Setiausaha Agung,” katanya.

Shaharudin juga pernah mencabar pimpinan atasan untuk meletak jawatan bagi mengambil tanggungjawab di atas kegagalan yang berlaku pada Sukan Seap di Ranggoon apabila mereka pulang dengan tangan kosong pada 1969 hingga menyebabkan lima pegawai berhenti secara beramai-ramai.

Walaupun berbaki sebanyak itu di dalam akaun, beliau berani menyahut cabaran iaitu ‘Tour D’Java’ untuk merebut Piala Suharto yang berprestij.

“Kita berjaya mendapatkan RM10,000 daripada Perdana Menteri untuk menghantar pasukan ke Indonesia hasil pujukan Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM). Separuh daripadanya dibelanjakan untuk tiket kapal terbang.

basikal“Untuk menjimatkan kos, kami jalani latihan dalam negeri sahaja. Saya balik negeri asal, isteri saya sediakan makanan kepada pasukan tiga kali sehari. Walaupun bajet terhad, Malaysia muncul juara keseluruhan bagi acara berpasukan,” katanya.

Wang selalunya dikaitkan dengan sesebuah kejayaan. Beliau tidak menafikannya terutama di zaman ini apabila setiap pergerakan perlu ada wang. Tetapi adakah wang yang menjadi penentuan bagi setiap kejayaan?

Jika pasukan itu boleh merangkul kemenangan keseluruhan pada Piala Suharto, bahkan Jelajah Jawa dan Sukan Asia di Bangkok 1970, jadi apakah hanya dengan wang sahaja kita boleh berjaya?

Pada Mac 1966, Shaharudin menubuhkan Persatuan Lumba Basikal Kedah dan seterusnya menjadi setiausaha sehingga 1968 dengan melahirkan beberapa orang jaguh basikal yang lahir di Kedah antaranya AS Fazil, AB Rahim, Zainon Osman, Jamil Ishak dan Omar Saad. Mereka pernah mewakili negara ke Sukan SEA, Asia dan Olimpik.

Manakala pada 1968, beliau terus menerajui Persatuan Lumba Basikal Melaka yang ketika itu dalam keadaan ‘nazak’.

Ketika bertugas di Melaka, beliau membantu Johor menubuhkan Persatuan Lumba Basikal Johor yang ketika itu mempunyai ramai pelumba muda tetapi tiada persatuan.

Pada zaman itu muncul ramai pelumba handalan seperti Daud Ibrahim, Kamarden Ali, Fazil Ibrahim, Sulaiman Anang dan Jasmi Baba.

Pada Mac 1969, beliau menubuhkan Persatuan Lumba Basikal Negeri Sembilan yang diterajui mendiang MT Lingam iaitu ketua biro akhbar The Star di Seremban.

Manakala pada akhir 1969, Shaharudin menubuhkan Persatuan Lumba Basikal Pahang yang dipimpin Datuk Lim Ah Lek dan pasukan basikal Pahang serta pasukan basikal Polis Diraja Malaysia pada awal 70an.

Katanya, pelapis bagi sukan lumba basikal sangat diperlukan ketika ini, bahkan perlu digilap bermula daripada peringkat sekolah supaya dapat melahirkan bakat muda dalam sukan terbabit.

“Sukan berbasikal tidak memerlukan kemudahan yang begitu eksklusif untuk atlet atau bakat muda berlatih.

“Kita ada padang rumput, jalan raya dan kawasan lapang. Jadi tiada masalah untuk bakat muda ini dilatih,” katanya.

Beliau turut mencadangkan kepada Kerajaan Negeri supaya menganjurkan satu majlis ‘Jasamu di Kenang’ bagi menghargai atlet lama di Selangor.

Shaharudin juga antara sepuluh bekas pegawai sukan dan atlet diabadikan pada Hall of Fame Majlis Olimpik Malaysia. Selain beliau, Tan Sri Elyas Omar (badminton, lumba basikal, bola sepak), Datuk T. Paul Murugesu (bola sepak), Tunku Datuk Seri Adnan Tunku Besar Burhanuddin (hoki, judo), Tan Sri P. Alagendra (hoki) dan Datuk Tan Chin Nam (catur). Bekas atlet pula ialah Datuk Malek Noor (bina badan), Datuk Yew Cheng Hoe (badmintan) dan Datuk Ng Seow Meng (badminton).

Leave a Reply

Your email address will not be published.