Categories
SELANGOR

Subsidi dan IPH tertunggak, petani mungkin demo di Putrajaya

Oleh: HAFIZAN TAIB

SEKINCHAN, 10 DIS: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani diminta menyelesaikan masalah pembayaran subsidi dan Insentif Peningkatan Hasil (IPH) kepada petani di sini yang didakwa tertangguh sejak sekian lama.

Adun Sekinchan, Ng Suee Lim, berkata penyelesaian segera perlu dilakukan dalam isu terbabit kerana petani bergantung harap kepada bayaran subsidi dan IPH bagi meraih keuntungan.

Katanya, segala usaha kerajaan bagi membela nasib petani dialu-alukan namun berharap perkara itu tidak tertangguh supaya manfaat diperoleh golongan berkenaan.

SUE LIM“Kebiasaannya subsidi ini dibayar dalam tempoh tiga ke seminggu tetapi sekarang ini sudah lebih sebulan tanpa sebarang bayaran.

“Ini mendatangkan masalah dan kesukaran kepada petani kerana mereka bukan daripada golongan berpendapatan tinggi dan hanya mengharapkan hasil padi,’ katanya kepada media di sini, hari ini.

Suee Lim bersama kira-kira 100 petani dari kawasan itu mengadakan himpunan di hadapan kilang Padiberas Nasional Berhad (Bernas) di sini.

Beliau berkata, hampir 40 peratus daripada lebih 1,000 petani di situ dan Sungai Burong menghadapi masalah berkenaan.

Katanya, ia membabitkan sejumlah bayaran besar kemungkinan lebih RM2 juta di mana kadar subsidi bagi satu tan adalah RM248.10.

DEMO PETANI“Saya berharap kementerian mengambil maklum akan perkara ini dan menyelesaikannya dengan kadar segera.

“Saya juga akan menulis surat kepada kementerian bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenainya,” katanya.

Suee Lim berkata, isu IPH yang sudah tertangguh sejak tiga tahun lalu perlu diperjelaskan sama ada ia masih diteruskan atau dimansuhkan.

Katanya, setakat ini tiada maklumat diperoleh dalam perkara itu dan berharap kementerian mampu merungkai perkara itu dengan segera.

“Perkara ini pernah berlaku satu masa dahulu. Petani demonstrasi, kerajaan terus membuat bayaran dan petani memperoleh bayaran ribuan ringgit tetapi kini berulang kembali.

“Mungkin menteri sendiri tidak mengetahui perkara ini dan saya harap ia mendapat perhatian untuk segera diatasi,” katanya.

Suee Lim tidak menolak kemungkinan petani akan mengadakan himpunan beramai-ramai di Putrajaya sekiranya perkara itu tidak diselesaikan segera.

“Kita nak selesaikan masalah tetapi sekiranya tidak selesai dalam seminggu ini maka mungkin ia berlaku,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.