Categories
SELANGOR

Tanpa subsidi, petani umpama kerja enam bulan tanpa gaji

Oleh: HAFIZAN TAIB

SEKINCHAN, 10 DIS: Petani mengalami kerugian kesan penangguhan pemberian subsidi ekoran terpaksa menanggung pelbagai masalah dalam usaha penanaman padi.

Abd Halim Awi, petani dari Sungai Burung, berkata kadar sewa tanah tinggi dikenakan tuan tanah antara masalah yang dihadapi mereka.

Abd Halim“Dalam satu hektar anggaran bayaran subsidi ialah kira-kira RM2,000 tetapi bila bayaran tertangguh maka banyak kos terpaksa ditanggung.

“Kadar sewa sawah kira-kira RM4,000 ke RM4,500 semusim untuk dua tahun dan kita memang mengharapkan bayaran subsidi untuk menampung segala kos pembayaran. Bila tidak diperoleh maka banyak masalah berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Selangor Kini selepas menghadiri himpunan di hadapan kilang Padiberas Nasional Berhad (Bernas) di sini, hari ini.

Katanya, keuntungan diraih petani amat sedikit dan pemberian subsidi itu memang banyak membantu serta memberi untung kepada mereka.

“Isu dihadapi kini boleh diandaikan seperti petani bekerja enam bulan tanpa gaji,” katanya.

SamudinSidang Kampung Parit Lapan, Sungai Lima, Samudin Abdullah, berkata keadaan kini amat mendesak bagi petani yang tidak menerima sebarang bantuan dan insentif daripada kerajaan.

“Saya sangat kecewa kerana isu ini memberi masalah kepada golongan petani. Ini kerana kita terpaksa menanggung banyak kos yang perlu dilunaskan,” katanya.

Kira-kira 100 petani di sini mengadakan himpunan bantahan di hadapan kilang Padiberas Nasional Berhas (Bernas) di sini bagi menyatakan ketidakpuasan hati mereka terhadap perkara berkenaan.

-nR-

Leave a Reply

Your email address will not be published.