Categories
NASIONAL

15 NGO serah memorandum mohon siasatan diraja

Oleh: NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 29 JAN: 15 organisasi bukan kerajaan (NGO) hari ini menyerahkan memorandum memohon perkenan Yang Dipertuan Agong dan Majlis Raja-raja mengarahkan kabinet menubuhkan Suruhanjaya Penyiasatan Diraja menangani isu 1MDB.

NGO terbabit adalah Otai Reformis 1998, Jingga 13, Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Malaysian Indian Voice, Seniman Paksi Rakyat (PAKSI), Persatuan Kesedaran Selangor dan #Bebas Anwar, March2Freedom dan AIC.

Selain itu, ia turut melibatkan Pertubuhan Prihatin Bekas Anggota Keselamatan Malaysia (PAHLAWAN), Road4Peace, Pertubuhan Solidariti Madani Malaysia (MaSSSA), Suara Anak Muda Batu, Tamilar Today dan Tamilar Kural.

20160129_150240Selepas mengadakan perbincangan dengan pihak keselamatan, wakil NGO yang berkumpul di Pintu 3 Istana Negara sejak jam 3.00 petang dibenarkan menghantar lima wakilnya ke Pejabat Istana Negara.

Bekas Exco Kerajaan Selangor, Ronnie Liu, berkata memorandum itu diterima Pegawai Perhubungan Awam Istana Negara yang dikenali sebagai Zainol.

“Memorandum berjaya diserahkan dan diterima Zainol.

“Saya yakin dan percaya beliau akan membawa ke pengetahuan Duli Yang Maha Mulia Yang Dipertuan Agong,” katanya pada sidang media selepas menyerahkan memorandum itu.

Katanya, memorandum itu diserahkan kepada Yang Dipertuan Agong ekoran skandal melibatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memberi kesan buruk kepada ekonomi negara.

“Patik-patik sekalian melahirkan kebimbangan atas isu derma RM2.6 bilion yang menjadi perbincangan hangat dalam kalangan rakyat Malaysia dewasa ini.

“Terutama apabila Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengemukakan kertas siasatan lengkap kepada Peguam Negara, tetapi beliau mengumumkan Najib tidak bersalah tanpa dihadapkan ke mahkamah,” katanya memetik isi kandungan memorandum terbabit.

1MDBSelain memohon siasatan terhadap isu 1MDB, turut dimuatkan dalam memorandum itu adalah isu penggunaan Wang Tabung Haji dengan jumlah begitu besar untuk membeli aset milik 1MDB.

“Patik sekalian merayu ke bawah Duli Tuanku dan Majlis Raja-raja untuk campurtangan dalam menyelesaikan kemelut ini.

“Dengan penyerahan memorandum ini, patik sekalian berharap ia dapat mengakhiri episod tragedi malang yang sedang membelenggu Malaysia ketika ini,” katanya.

-AA-

Leave a Reply

Your email address will not be published.