Categories
NASIONAL

Isu TH : KEADILAN gesa Abdul Azeez beri taklimat terbuka

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 29 JAN: KEADILAN menggesa Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim untuk mengadakan taklimat terbuka kepada pendeposit Tabung Haji jika keadaan kewangannya kukuh.

Setiausaha Agungnya, Rafizi Ramli, berkata sehingga kini beliau masih menunggu jawapan daripada Azeez dan Pengarah Urusan Tabung Haji, Tan Sri Ismee Ismail berkenaan dakwaan rizab lembaga itu sebenarnya negatif sejak tahun kewangan berakhir 31 Disember 2014.

“Ini bermakna ia tidak cukup dana dan aset untuk menampung pembayaran balik simpanan rakyat jika dikeluarkan serentak, apatah lagi untuk membayar dividen atau bonus.

rafizi-TI-01“Saya berharap kepimpinan Tabung Haji berhenti mengelirukan rakyat dengan berselindung di belakang terma kewangan yang cuba menyembunyikan perkara sebenar,” katanya dalam kenyataan media.

Beliau turut memberi amaran kepada Lembaga Tabung Haji (LTH) supaya tidak berselindung daripada fakta sebenar berkenaan krisis melanda mereka.

“Mengambil kira prestasi Bursa Kuala Lumpur yang tidak memberangsangkan dalam 2015, sudah tentu kedudukan rizab negatif ini adalah lebih buruk bagi 2015.

“Kenyataan saya (sebelum ini) itu tidak disanggah malah keseluruhan kepimpinan kerajaan dan Tabung Haji mengelak dari menjawabnya,” katanya.

Rafizi turut menyertakan laporan kewangan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2014, aset (bersendirian) adalah RM54.751 bilion, sementara aset kumpulan Tabung Haji (digabungkan dengan anak-anak syarikat) adalah RM107.038 bilion.

“Alasan inilah digunakan kononnya anak syarikat Tabung Haji mempunyai aset besar sebanyak RM52.287 bilion yang mampu menampung rizab Tabung Haji yang negatif.

“80 peratus daripada aset anak syarikat yang digabungkan di dalam kumpulan Tabung Haji (iaitu RM41.683 bilion daripada RM52.287 bilion) adalah terdiri daripada ‘Securities available-for-sale’ dan ‘Financing’ iaitu 2 kategori aset terbesar Bank Islam.

“Ini bermakna 80 peratus daripada aset anak syarikat yang kukuh sebagaimana diuar-uarkan mampu membantu rizab Tabung Haji yang negatif itu datangnya daripada Bank Islam,” katanya.

-AA-

Leave a Reply

Your email address will not be published.