Categories
SELANGOR

Gagal selenggara kolam takungan punca SS4D banjir

Oleh : AFIX REDZUAN

KELANA JAYA, 7 JAN: Kegagalan penyelenggaraan kolam takungan air di SS4C/4 dan saiz terowong saliran kecil sepanjang jalan SS4D/10 menyebabkan penduduk SS4D berhadapan banjir kilat.

Kebimbangan menghantui penduduk setempat sejak beberapa tahun lalu terutama hujan lebat hingga mengakibatkan rumah mereka dinaiki air dalam tempoh singkat.

Wakil penduduk dan mangsa, Kanisan Karuppiah, berkata mereka tidak boleh meninggalkan kediaman untuk tempoh lama ekoran khuatir dengan limpahan air hujan.

YB Yeo Bee Yin isu kolam takungan banjir (5)“Kebiasaannya hujan petang akan turun sekitar jam 2 hingga 6 petang, kami tiada di rumah kerana ada yang berkerja.

“Apabila hujan lebat, kami akan segera pulang ke rumah dan dalam tempoh setengah jam hujan sudah cukup membuatkan rumah kami dinaiki air

“Saya pernah bercuti di luar negara ketika rumah dinaiki air selepas dimaklumkan jiran hingga menyebabkan kami bimbang,” katanya kepada media.

Katanya, kawasan kediaman mereka akan dinaiki air tidak kurang daripada empat kali setahun ekoran terowong air kecil sepanjang SS4D/10 menyeberangi Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) tidak mampu menampung kapisiti air setiap kali hujan lebat.

Difahamkan kolam takungan air itu sudah dibina lebih dua tahun dan tinjauan bersama Adun Damansara Utama, Yeo Bee Yin mendapati ia ditutupi rumput serta timbunan pasir.

YB Yeo Bee Yin isu kolam takungan banjir (7)Projek pembinaan bangunan berdekatan kolam takungan itu didakwa antara punca timbunan pasir ke longkang berhampiran yang dibawa menerusi limpahan air hujan.

Mengulas perkembangan berkenaan, Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Lee Lih Shyan, berkata jadual penyelenggaraan kolam itu hanya dilakukan sekali sebulan.

Katanya, kontraktor pembersihan semasa akan tamat tempoh pada 31 Mac 2016 dan penyelenggaraan kolam takungan sebanyak dua kali sebulan akan dimasukan dalam tugas kontraktor akan datang.

“Untuk tempoh jangka pendek, kita akan keluarkan tender pembersihan untuk mengorek sisa takungan dengan kos RM37,000 sementara jangka panjang pula kita akan minta kontraktor baru yang dijangka memulakan kerja pada April untuk menyelenggara kolam takungan itu dua kali sebulan,” katanya.

-AA-

Leave a Reply

Your email address will not be published.