Categories
AGENDA NASIONAL

Kes saman fitnah selesai, Jamal mohon maaf kepada Yeo

KUALA LUMPUR, 2 MAC: Kes saman fitnah Yeo Bee Yin terhadap Datuk Seri Jamal Md Yunos berhubung dana Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) selesai selepas Ketua Umno Bahagian Sungai Besar itu memohon maaf kepada bekas menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim berkenaan di Mahkamah Tinggi hari ini.

Jamal, 50, yang membacakan kenyataan maaf itu di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur berkata beliau memohon maaf kerana memfitnah Yeo sebelum ini.

“Saya sekarang mengakui bahawa YB Yeo Bee Yin seorang yang jujur dan telus dalam pengurusan wang Skim Mesra Usia Emas.

“Saya ingin memohon maaf kepada YB Yeo Bee Yin atas kesilapan saya ini. Saya minta maaf, YB Yeo Bee Yin,” katanya.

Hari ini dan Khamis sepatutnya prosiding perbicaraan kes saman itu di hadapan Hakim Datuk Rozana Ali Yusoff, namun kedua-dua pihak bersetuju untuk menyelesaikannya melalui penghakiman persetujuan.

Terdahulu, Hakim Rozana merekodkan penghakiman persetujuan kes itu dan mengucapkan terima kasih kepada pihak terlibat kerana bersetuju untuk menyelesaikan tuntutan saman tersebut di luar mahkamah.

“Hari ini kita dah capai penyelesaian, jadi mahkamah telah rekodkan persetujuan. Mahkamah juga berterima kasih kepada pihak-pihak kerana kes ini agak lama memandangkan dalam Perintah Kawalan Pergerakan ketika ini, mahkamah perlu dahulukan kes-kes lama,” katanya.

Berdasarkan deraf penghakiman persetujuan, Jamal selaku defendan yang diwakili peguam Mohammed Nasser Yusof, perlu memohon maaf kepada Yeo sebagai plaintif di hadapan semua wartawan dan jurugambar di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini.

Defendan dihalang sama ada menerusi dirinya sendiri, ejen atau pekerjanya daripada selanjutnya mengucapkan, menulis, menerbit atau menyebar ucapan yang dikatakan memfitnah.

Jamal juga dihalang mengucapkan, menulis, menerbit atau menyebar perkataan yang dikatakan memfitnah seperti dalam penyataan tuntutan terpinda pada 16 Jun 2017 atau kata-kata yang mempunyai kesan sama berkenaan plaintif atau penyataan yang boleh dikira sebagai memfitnah.

Penghakiman persetujuan itu tidak boleh mengikat dan diguna pakai ke atas defendan oleh mana-mana pihak lain yang mempunyai tindakan saman serupa terhadap Jamal. Penghakiman persetujuan itu juga tanpa perintah mengenai kos.

Yeo memfailkan saman itu, pada 14 Jun 2017 menuntut ganti rugi sebanyak RM5 juta daripada Jamal atas kenyataannya yang didakwa berbaur fitnah berhubung isu penyelewengan dana Yawas.

Penyataan tuntutan Yeo, yang juga ahli parlimen Bakri, mendakwa Jamal mengeluarkan kenyataan itu pada 21 Mac 2017 dan diterbitkan oleh beberapa akhbar, portal berita serta akaun Facebook defendan.

Yeo mendakwa kenyataan itu, antara lain memberi tanggapan bahawa beliau menyalahgunakan dana awam serta menggambarkan beliau sebagai seorang yang tidak beretika serta tidak boleh dipercayai.

Bercakap kepada pemberita di luar mahkamah, peguam Datuk Sankara N Nair yang mewakili Yeo berkata ada pernyataan umum dalam undang-undang bahawa semua orang mempunyai reputasi yang baik sehingga terbukti sebaliknya dan reputasi adalah komoditi berharga untuk semua.

“Dengan prosiding hari ini dan permohonan maaf secara terbuka oleh Datuk Seri Jamal kepada klien saya berhubung episod serius ini yang telah mencemarkan reputasi klien saya, kini ia telah dihapuskan secara kekal,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan teliti Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974

JOHOR BAHRU, 23 FEB: Kerajaan akan mewujudkan akta baharu berkaitan alam sekitar sekiranya Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang ketika ini sedang diperhalusi memerlukan banyak pindaan.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin berkata pada masa ini kementeriannya sedang meneliti pindaan yang perlu dilakukan terhadap akta tersebut termasuk mengadakan keterlibatan dengan pihak berkepentingan.

“Perkembangan semalam, mereka (pihak berkepentingan) ada bengkel dua hari untuk meneliti Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan sedang (diperhalusi) untuk dipinda. Kalau pindaan itu banyak, kita (kerajaan) akan wujudkan akta baharu.

“(Apa) yang penting, kita boleh mengawal pencemaran dengan lebih sistematik dan memastikan hukuman terhadap penjenayah kelestarian alam sekitar berpatutan,” katanya dalam sidang media di Pejabat Jabatan Alam Sekitar Cawangan Pasir Gudang di sini, hari ini.

Bee Yin turut berharap pindaan terhadap Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dibuat tahun ini, namun menegaskan ia memerlukan masa.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pasir Gudang kini dilengkapi sistem amaran awal pencemaran

JOHOR BAHRU, 23 FEB: Kawasan Pasir Gudang muncul bandar industri pertama di negara ini yang dilengkapi Sistem Amaran Awal Pencemaran Udara untuk mengesan bahan pencemar berbahaya dalam udara.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin berkata sistem pengawasan bernilai RM6.9 juta akan memantau kualiti udara secara nyata bagi memberi amaran awal sekiranya berlaku insiden pencemaran.

“Sistem ini dilengkapi alat penggera untuk mengesan bahan pencemar berbahaya di dalam udara yang mampu memaklumkan pegawai penguat kuasa Jabatan Alam Sekitar (JAS) secara terus sekiranya berlaku pencemaran udara bagi membolehkan tindakan penguatkuasaan segera diambil.

“Ia melibatkan pemasangan 25 Stesen Photoionization Detector di 25 lokasi termasuk sekolah di sekitar Pasir Gudang dan enam unit Fourier Transform Infrared Spectroscopy (FTIR) serta dua unit bergerak Gas Chromatography – Mass Spectrometry dan Gas Chromatography – Flame Ionization Detector ,” katanya pada sidang media di Pejabat JAS Cawangan Pasir Gudang, di sini hari ini.

Terdahulu, beliau yang diiringi Timbalan Ketua Setiausaha (Alam Sekitar dan Perubahan Iklim) kementerian Dr K. Nagulendran; Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar Johor Tan Chen Choon; Ketua Pengarah JAS Norlin Jaafar serta Pengarah JAS Johor Mohd Famey Yusoff turun padang meninjau operasi Stesen PID di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang dan dua unit bergerak berkenaan.

Bee Yin berkata selepas insiden pencemaran Sungai Kim Kim di Pasir Gudang Mac tahun lalu, kerajaan tidak mahu kejadian terbabit berulang lalu memikirkan cara untuk mempertingkatkan pemantauan industri di kawasan berkenaan.

Beliau berkata sehubungan itu, jika berjaya, Sistem Amaran Awal Pencemaran Udara berkenaan boleh diperluaskan ke kawasan perindustrian lain di seluruh negara.

Katanya, orang ramai juga dijangka boleh mendapatkan maklumat (bacaan kualiti udara) di 25 lokasi PID berkenaan, menerusi laman sesawang JAS, mulai suku kedua tahun ini.

Dalam perkembangan sama, Bee Yin berkata JAS melipatgandakan aktiviti penguatkuasaaan terhadap kilang dan premis di sekitar Pasir Gudang supaya semua pihak mematuhi sepenuhnya Akta Kualiti Sekeliling 1974 dan peraturan di bawahnya.

Menurutnya, sebanyak 664 pemeriksaan dijalankan sepanjang tahun lepas terhadap pihak industri berbanding 460 pada tahun sebelumnya manakala 769 tindakan notis, kompaun, sitaan serta mahkamah dikenakan dalam tempoh sama berbanding 97 tindakan pada tahun sebelumnya.

“Kerajaan tidak akan bertolak ansur terhadap penjenayah kelestarian alam sekitar. Suspek yang dikaitkan dengan insiden pencemaran Sungai Kim Kim sudah dihadapkan di mahkamah atas tuduhan gagal mematuhi Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005 dan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014 yang berada dalam peringkat perbicaraan,” katanya.

Menurut Bee Yin, selain penguatkuasaan di lapangan, JAS turut menjalankan pemantauan melalui sistem dalam talian seperti kualiti pelepasan efluen industri menerusi Online Environmental Reporting (OER) dan pergerakan sisa buangan terjadual melalui Electronic Schedule Waste Information System (E-SWIS) dan sistem itu mampu mengesan pergerakan buangan terjadual daripada industri kepada kemudahan pengolahan atau pelupusan yang dilesenkan oleh JAS.

Pemantauan atau intipan dengan menggunakan dron turut dilaksanakan mulai 23 Okt lepas bertujuan mengesan apa jua pencemaran dan punca pencemaran dengan lebih cepat agar tindakan membendung dapat diambil lebih awal, katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA ALAM SEKITAR & CUACA NASIONAL

Malaysia bukan tempat pembuangan sisa plastik dunia

KUALA LUMPUR, 12 FEB: Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) Yeo Bee Yin mengulangi pendirian kerajaan bahawa Malaysia tidak akan menjadi tempat pembuangan sisa plastik dunia.

“Itu adalah pendirian kami, kami tidak mahu sisa plastik dan sisa plastik yang tercemar dibawa masuk secara haram ke negara ini,” katanya sebagai respon dakwaan kumpulan perlindungan alam sekitar terkemuka di dunia, Greenpeace bahawa Itali mengeksport sisa plastik berbahaya ke Malaysia.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar semalam selepas melancarkan Inisiatif MESTECC 2020 iaitu 130 inisiatif kementerian di bawah lima sektor bagi meningkatkan pencapaian kementerian.

Berdasarkan siasatan Greenpeace, bagi sembilan bulan pertama 2019, kira-kira 2,880 tan sisa plastik dieksport ke Malaysia dan hampir separuh diterima syarikat beroperasi secara haram.

Yeo berkata walaupun beliau tidak pasti jumlah sisa plastik haram dari Itali ke Malaysia, beliau berkata Itali bukan pengeksport terbesar sisa plastik itu ke negara ini.

“Pengeksport terbesar bukan Itali tetapi United Kingdom, Perancis, Amerika Syarikat dan Jepun,” katanya.

Sementara itu, Yeo berkata kementeriannya meneruskan usahanya mengenal pasti sisa plastik diimport secara haram dan setakat ini mendapat kerjasama positif daripada negara asal.

“Di bawah Konvensyen Basel kita boleh memaklumkan pihak berkuasa di sana (negara asal) bahawa kita akan mengembalikan sisa plastik kepada mereka.

“Kebiasaannnya kebanyakan negara ini akan menerimanya… dan setakat ini mereka tidak pernah mengatakan bahawa mereka tidak mahu menerimanya,” katanya.

Yeo, sebelum ini dilaporkan berkata Malaysia menghantar semula 110 kontena mengandungi sisa plastik dibawa masuk ke negara ini secara haram, ke negara asal menjelang pertengahan tahun ini.

Beliau berkata 60 daripada 110 kontena berkenaan dari Amerika Syarikat, Kanada (15), Jepun (14), United Kingdom (sembilan), Belgium (lapan) dan masing-masing satu dari Mexico, Hungary, Perancis dan Jamaica.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

150 kontena sisa pepejal plastik dihantar ke negara asal pengeksport

SHAH ALAM, 21 JAN: Malaysia menghantar pulang 150 kontena sisa pepejal plastik dengan anggaran 3,737 matrik tan ke negara asal pengeksport sejak suku ketiga tahun lalu, lapor Harian Metro.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin berkata penghantaran balik kontena terbabit tidak membabitkan implikasi kewangan pada kerajaan.

Semua kontena terbabit katanya dihantar melalui tiga pelabuhan utama negara iaitu Pelabuhan Barat dan Utara Klang, Pulau Pinang serta Sarawak.

“Kos penghantaran balik kontena sisa pepejal plastik ini ditanggung pihak pengimport atau syarikat perkapalan dan ini pertama kali dalam sejarah negara ia dihantar secara skala besar,” katanya semalam.

Categories
AGENDA NASIONAL

Penghantaran balik kontena sisa plastik memberangsangkan

KUALA LUMPUR, 13 JAN: Penghantaran semula kontena mengandungi sisa plastik yang dicemari bahan buangan terjadual ke negara pengeksport mencatatkan jumlah amat memberangsangkan, kata Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (Mestecc), Yeo Bee Yin.

Bagaimanapun, beliau berkata statistik dan maklumat penuh mengenai perkara itu hanya akan diumumkan beliau pada sidang media di Pulau Pinang, 20 Januari ini.

“Apa yang kita buat ialah dalam sejarah dunia ini adalah kali pertama secara besar-besaran satu negara memulangkan balik kontena sisa plastik ini kepada negara asal.

“Walaupun kita telah mengambil masa yang panjang tapi kita telah mencapai apa yang tidak dicapai negara lain,” katanya selepas melawat Wisma Bernama sempena sambutan Tahun Baharu Cina di sini, hari ini.

Isu pengimportan bahan sisa plastik tercemar menjadi bualan hangat tahun lepas sehingga Yeo mengisytihar ´perang plastik´ bagi memerangi lambakan sampah yang tidak boleh dikitar dibawa masuk ke negara ini.

Kementerian menerusi Jabatan Alam Sekitar sebagai ‘Competent Authority to Basel Convention’ telah mengambil tindakan tegas mengarahkan penghantaran semula ratusan kontena yang mengandungi sisa plastik disyaki dicemari dengan buangan terjadual ke negara asal.

Bagaimanapun, kerajaan Malaysia sebelum ini menegaskan tidak akan membayar walau satu sen pun kos menghantar kontena berisi sisa plastik kembali ke negara asalnya.

Sebanyak 187 negara termasuk Malaysia menerima pakai pindaan Konvensyen Basel – perjanjian yang dimeterai pada 1989 bagi mengurangkan pergerakan sisa plastik dan berbahaya merentasi sempadan negara.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tumpuan MESTECC penstrukturan semula JAS

KUALA LUMPUR, 4 JAN: Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) akan memberi tumpuan kepada penstukturan semula Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi memastikan struktur organisasi, penguatkuasaan dan intergriti pegawai diperkemaskan.

Menteri berkenaan Yeo Bee Yin berkata penstrukturan semula itu akan dibuat melalui Pelan Hala Tuju JAS pada suku pertama tahun ini.

“Ini adalah kerja-kerja yang sudah kita buat sejak 2019 lagi dan kita akan teruskan lagi pada tahun ini, malah ia adalah antara fokus utama yang akan diambil perhatian,” katanya dalam rancangan Bicara Naratif Berkenaan Pencapaian MESTECC Sepanjang Tahun 2019 terbitan RTM semalam.

Pada masa sama, beliau akan meneruskan usaha untuk mengisi 1,400 perjawatan JAS sedia ada di semua cawangan di seluruh negara bagi memastikan jabatan itu dapat berfungsi dengan lebih baik.

“Saya terkejut apabila mendapati hanya 1,200 perjawatan yang telah diisi. Jadi, tahun lepas kita telah mengisi lebih 100 kekosongan dan kita akan teruskannya pada tahun ini di semua cawangan JAS,” katanya.

Dalam pada itu, Yeo berkata pegawai kementerian adalah penggerak utama yang membawa kepada kejayaan dalam kementerian.

Kerja keras yang dilaksanakan pegawai JAS juga antara penyebab kepada kejayaan kerajaan menghantar balik 100 kontena yang mengandungi sisa plastik haram ke negara asal pada 2019 yang terdiri daripada negara maju seperti Perancis, Kanada, Belanda dan Jepun.

Usaha komited MESTECC yang menekankan mesej tegasnya kepada dunia itu turut dibantu anggota agensi terlibat seperti Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN).

“Saya cukup bangga dengan pegawai JAS kita, (kejayaan ini) bukan (sebab) saya, kalau kita tidak ada para pegawai yang bekerja keras untuk periksa setiap kontena mana kita boleh capai ini.

“Tidak lupa juga agensi lain JKDM, JPSPN dan semua yang bekerjasama, sekiranya mereka tidak ada, maka kita tak boleh capai dan saya bangga dengan pegawai kita yang telah pun mencipta satu imej yang membanggakan untuk arena antarabangsa,” katanya.

MESTECC sebelum ini pernah mengutarakan keperluan masyarakat Malaysia dan menyuarakan hak mengenakan kawalan ketat terhadap import sisa plastik pada Konvensyen Basel yang diadakan dari 29 April hingga 10 Mei, 2019 di Geneva, Switzerland.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kadar semasa tarif elektrik pengguna domestik kekal

KUALA LUMPUR, 3 DIS: Kadar efektif tarif elektrik di Semenanjung Malaysia bagi pengguna domestik akan dikekalkan manakala kadar surcaj pengguna komersial dan industri diturunkan bagi tempoh 1 Januari hingga 30 Jun 2020.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin berkata Kabinet bersetuju untuk menetapkan kadar efektif tarif elektrik tersebut berdasarkan mekanisme ‘Incentive Based Regulations’ (IBR) (Kawal Selia Berasaskan Insentif).

“Sebanyak RM62.95 juta daripada Kumpulan Wang Industri Elektrik (KWIE) akan digunakan untuk menampung surcaj ketidakseimbangan pelepasan kos bahan api (ICPT) supaya tidak ada surcaj akan dikenakan kepada pengguna domestik.

“Oleh itu, kadar efektif tarif elektrik akan dikekalkan, tidak akan meningkat pada kadar efektif asas iaitu 39.45 sen per kilowatt jam (kWj), ini adalah 18 bulan berterusan tiada peningkatan melalui surcaj dikenakan kepada pengguna elektrik domestik,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri, di Dewan Rakyat, hari ini

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) yang bertanyakan status perlaksanaan mekanisme IBR dalam menentukan tarif elektrik di Semenanjung Malaysia setiap enam bulan serta sama ada tarif akan meningkat pada Januari 2020.

Menurut Yeo, sebanyak 7.4 juta pengguna domestik akan diberikan pengecualian surcaj tarif elektrik manakala pengguna bukan domestik akan menikmati pengurangan surcaj sebanyak 0.55 sen per kilowatt jam (kWj) daripada RM2.55 per kilowatt jam (kWj).

Bagi pengguna komersial dan industri, katanya, penurunan kadar surcaj ini adalah disebabkan penurunan kos bahan api untuk tempoh enam bulan ini.

Kerajaan sejak 2015 telah melaksanakan penentuan tarif elektrik berdasarkan IBR dan tarif asas elektrik disemak setiap tiga tahun di mana tempoh regulatori pertama (RP1) IBR bermula 2015 hingga 2017, manakala tempoh regulatori kedua (RP2) IBR bermula 2018 hingga 2020.

“Melalui mekanisme ini, tarif asas adalah ditentukan dengan andaian harga purata bahan api arang batu dan gas dalam tempoh regulatori tersebut.

“Sebarang perbezaan kos sebenar dengan harga andaian dalam penetapan tarif asas akan diselaraskan setiap enam bulan di bawah mekanisme ICPT, sama ada dalam bentuk surcaj atau rebat, bergantung kepada kos bahan api dan kos penjanaan lain dalam tempoh tersebut,” katanya.

Yeo menjelaskan, kadar efektif tarif elektrik adalah kadar asas tambah surcaj ataupun kadar asas tolak rebat dan penyelarasan kos bahan api ICPT untuk tempoh enam bulan melalui surcaj atau rebat akan dilakukan pada enam bulan seterusnya.

Bagi kadar surcaj atau rebat ICPT untuk tempoh Januari hingga Jun 2020 adalah ditentukan oleh harga bahan api Julai hingga Disember 2019.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Jerebu: Malaysia-Singapura kerjasama kaji penyelesaian

SINGAPURA, 21 NOV: Malaysia dan Singapura bersetuju bekerjasama dalam melaksanakan kajian dan pembangunan (R&D) dalam bidang pencegahan kebakaran di tanah gambut bagi mencari penyelesaian menangani isu jerebu di rantau ini.

Persetujuan itu dicapai Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Malaysia (MESTECC) Yeo Bee Yin dan rakan sejawatannya dari Singapura Masagos Zulkifli, sewaktu program Pertukaran Lawatan Tahunan (AEV) yang berlangsung dua hari berakhir 15 Nov lalu.

Singapura menjadi tuan rumah kepada AEV tahun ini, yang merupakan satu saluran bagi Kementerian Alam Sekitar kedua-dua negara membincangkan dan menangani isu alam sekitar.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan MESTECC, Yeo dan Masagos melahirkan kebimbangan mengenai jerebu rentas sempadan daripada kebakaran tanah dan hutan di rantau ini, yang menjejaskan rakyat Malaysia dan Singapura.

Kedua-dua menteri mengambil maklum mengenai perkembangan dilakukan Negara Anggota ASEAN dalam menangani pencemaran jerubu rentas sempadan, dan mengesa semua pihak untuk memperbaharui komitmen mereka dalam melaksanakan Perjanjian ASEAN berhubung Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan (AATHP).

Selain Yeo, delegasi Malaysia disertai Timbalan Ketua Setiausaha (Alam Sekitar dan Perubahan Iklim) MESTECC, Dr Nagulendran Kangayatkarasu, pegawai kanan MESTECC, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan agensi kerajaan yang lain.

Singapura disertai Setiausaha Tetap Albert Chua dan pegawai kanan dari Kementerian Alam Sekitar dan Sumber Air, Agensi Alam Sekitar Kebangsaan Singapura dan agensi kerajaan lain.

Sejak 1979, AEV memudahkan perhubungan dan kerjasama antara kedua Kementerian berkaitan isu alam sekitar, melalui komitmen jangka panjang dan penyelarasan tindakan.

Kedua-dua menteri juga berbincang mengenai bidang kerjasama baharu seperti perubahan iklim, pengurusan sisa termasuk plastik dan pembungkusan, ekonomi sekitar semula, pencemaran industri dan keselamatan radiasi serta bidang kerjasama lain yang bersesuaian.

Ketika AEV itu, menteri terbabit turut melihat semula kemajuan dicapai Jawatankuasa Bersama Alam Sekitar Malaysia-Singapura (MSJCE) yang bermesyuarat pada 14 November 2019.
 
Antara lain, mereka juga bertukar pandangan berkaitan kawalan pelepasan emisi kenderaan.

Menteri terbabit maklum mengenai kerjasama bilateral bagi mengurangkan pelepasan emisi merbahaya kenderaan, bagi mencapai tahap kualiti udara lebih baik di kedua-dua negara.

Mereka mengalakkan kedua-dua negara untuk terus bertukar informasi berkaitan polisi dan mengenalpasti amalan terbaik dalam mengawalnya.

Yeo turut melawat Pusat Penyelidikan Iklim Singapura yang menjalankan kajian kepelbagaian iklim tropika dan perubahannya dan sistem cuaca yang berkaitan di Singapura dan rantau ASEAN.
AEV tahun 2020 akan diadakan di Malaysia.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan rangka draf tangani lambakan sisa elektrik, elektronik

KUALA LUMPUR, 19 OKT: Kerajaan sedang merangka draf peraturan bahan buangan elektrik dan elektronik (e-waste) susulan peningkatan peralatan itu saban hari.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) Yeo Bee Yin berkata draf yang berada di peringkat akhir itu akan disampaikan kepada Jabatan Peguam Negara.

“Bagaimanapun, butiran berhubung peraturan itu akan dijelaskan kemudian, kita akan umumkan secepat mungkin bagi memberi peluang kepada orang ramai menyemak dan memahaminya

“Sekarang ramai tidak tahu peti sejuk, bateri, telefon bimbit nak dibuang di mana dan kita buang sekali dengan sisa lain kerana tiada pusat pembuangan yang khas.

“Jadi ia mencemarkan alam sekitar, sebab itu kita mahu adakan peraturan e-waste ini yang mana ia penyelesaian jangka panjang dan lebih teratur termasuk kutipan, cara kitar semula dan membantu dari segi ekonomi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika menghadiri sambutan Hari Alam Sekitar Negara (HASN) 2019 Peringkat Kebangsaan di sini hari ini.

Sambutan HASN 2019 bertemakan ‘Alam Sekitar, Tanggungjawab Bersama’ itu dirasmikan Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad.

Bee Yin berkata penumpuan dalam peraturan pembuangan e-waste dikategorikan kepada enam jenis elektronik terjadual iaitu pendingin hawa, mesin basuh, televisyen, telefon bimbit, peti ais dan komputer.

Katanya, kajian menunjukkan rakyat Malaysia menggunakan 75 kilogram(kg) plastik seorang setahun, tiga kali ganda melebihi purata serantau 20kg plastik seorang setahun.

“Oleh itu, menjadi hasrat kerajaan supaya kita boleh mengurangkan penggunaan plastik, jadi dengan adanya kempen kesedaran alam sekitar kita boleh mengurangkan sekurang-kurangnya kepada purata dan kalau boleh lebih baik lagi,” katanya.

Terdahulu, Khalid dalam ucapannya mencadangkan nama taman rekreasi ‘Taman Pudu Ulu’ dijenamakan semula supaya lebih menarik dan melambangkan unsur alam, sekali gus menarik lebih ramai warga kota mengunjungi taman untuk aktiviti riadah.

“Jika mahu kekalkan nama ini pun tidak menjadi masalah tetapi usaha untuk menghidupkan taman ini sebagai pusat tumpuan orang ramai dan pelancong wajar diberi perhatian dan masukkan lokasi menarik seperti ini dalam senarai boleh dikunjungi pelancong,” katanya.

Beliau berkata dalam mencorak masa depan Kuala Lumpur, elemen pengurusan alam sekitar secara lestari turut menjadi dasar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dalam menggubal pelan struktur Kuala Lumpur dan pada masa kini usaha mempersiapkan pelan Pembangunan Kuala Lumpur 2040 sedang dilaksanakan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tiga negara sedia terima kembali 89 kontena sampah, sisa pepejal

PETALING JAYA, 3 OKT: Tiga negara sudah mengesahkan bersedia menerima kembali 89 kontena mengandungi sisa plastik dan sampah milik mereka yang masih tersadai di beberapa pelabuhan negara ketika ini.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC), Yeo Bee Yin berkata, ketiga-tiga negara berkenaan juga bersetuju Malaysia tidak akan menanggung kos penghantaran semula kontena tersebut.

Beliau, bagaimanapun tidak mendedahkan nama tiga negara itu pada masa ini.

“Kami dah tahu di mana negara asal dan kami telah menghubungi duta-duta negara berkenaan dan tiga negara ini secara lisan setuju untuk dapatkan balik (kontena) tanpa kos daripada kita.

“Kami menjangkakan proses dokumentasi selesai akhir tahun ini kerana ia dijangka mengambil masa sehingga enam minggu, dan prosedur adalah rumit dan sangat kompleks kerana kami mengikuti (mematuhi) Konvensyen Basel,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan MCIS Insurans di sini, hari ini.

Menurut Yeo, selain di Pelabuhan Klang, pihaknya mendapati terdapat juga kontena yang berisi sisa plastik dan sampah itu di pelabuhan di Pulau Pinang dan Sarawak.

Beliau berkata, kerajaan perlu bersikap tegas dalam menangani perkara itu bagi memastikan ia tidak berulang walaupun prosedur menghantar semula kontena berkenaan dijangka mengambil masa yang lama dan kompleks.

“Kami dapati ada pihak industri berkenaan nak gesa kerajaan supaya kami jual dan dia dapat murah atau percuma daripada kerajaan, tetapi saya tegaskan jangan harap kerana sesukar mana pun, kami akan pulangkan (sisa plastik dan sampah ini).

“Kami lakukan ini kerana kami mahu hentikan pusingan ini. Kalau kami benarkan lain kali akan terjadi lagi dan mereka akan terus masuk (bahan-bahan itu) secara haram,” katanya.

Bagi langkah terkini untuk membendung perkara itu, Yeo berkata, kerajaan akan menyekat kemasukan kontena berkenaan di pelabuhan negara dan memastikan pihak terbabit membayar kos penghantaran pulang bahan buangan tersebut.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Sedia draf Akta Jerebu Rentas Sempadan – Bee Yin

SUBANG, 19 SEPT: Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (Mestecc) hanya menunggu ‘lampu hijau’ daripada Kabinet bagi mendraf Akta Jerebu Rentas Sempadan.

Menterinya, Yeo Bee Yin berkata, perkara tersebut telah dibincangkan pada mesyuarat Kabinet semalam dan sekiranya Kabinet bersetuju, kementeriannya akan segera bertindak bagi mewujudkan akta tersebut sebagai langkah jangka panjang menyelesaikan masalah jerebu di negara ini.

“Kementerian bersedia mendraf akta ini jika Kabinet putuskan terdapat keperluan menggubal akta itu.

“Akta ini adalah untuk mengambil tindakan terhadap syarikat-syarikat Malaysia yang telah mengakibatkan jerebu di luar negara bukan sahaja di Indonesia tetapi di luar negara,” katanya kepada pemberita ketika melawat Operasi Pembenihan Awan (OPA) di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Subang hari ini.

Bee Yin berkata, antara undang-undang yang akan diperuntukkan dalam akta ini ialah kuasa untuk menghukum pihak-pihak dari Malaysia yang mempunyai ladang di luar negara yang menyebabkan jerebu supaya diadili di mahkamah Malaysia.

“Saya akan mendapatkan nasihat daripada peguam negara bagaimanakah kita boleh mendraf akta ini dan apakah yang kita boleh masukkan bagi menjadikan ia efektif untuk menangani isu jerebu,” katanya.

Bagaimanapun, Bee Yin berkata, walaupun akta tersebut diwujudkan, kerjasama serantau dan antarabangsa masih amat diperlukan bagi menyelesaikan masalah jerebu rentas sempadan.

Katanya sehubungan itu, komunikasi antara negara ASEAN adalah penting dan beliau menjelaskan akan terdapat satu telesidang antara beliau dan Setiausaha Agung ASEAN bagi mengutarakan pandangan supaya mekanisme efektif di peringkat ASEAN dapat dicapai untuk menangani jerebu dalam jangka masa panjang.

Sementara itu, katanya operasi pembenihan awan pagi ini merupakan kali ketiga dilakukan setelah terdapat awan yang sesuai hari ini.

Operasi kali ini, katanya dijangka untuk mengurangkan kesan jerebu dan menurunkan indeks pencemaran udara di negeri-negeri bahagian utara.

Bee Yin berkata, jika keadaan awan sesuai, esok akan diadakan satu lagi operasi pembenihan awan bagi membantu menurunkan indeks pencemaran udara di negeri Sarawak.

“TUDM dan Jabatan Meteorologi sentiasa bersedia melakukan pembenihan awan bergantung pada keadaan awan, jika awan sesuai, pihak terlibat sentiasa bersedia untuk melakukan pembenihan berkenaan,” katanya.

Tambahnya, operasi pembenihan awan merupakan antara penyelesaian sementara yang mampu dilakukan di samping komitmen kerajaan mencari penyelesaian jangka panjang terhadap masalah jerebu.

Operasi pembenihan awan diadakan di Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka kelmarin.

Hasil pembenihan tersebut, hujan dilaporkan di Cheras, Bangsar, Petaling, Kuala Selangor, Hulu Langat, Klang, Gombak, Seremban, Tampin, Jelebu, Alor Gajah dan Jasin.

Sehingga 12 tengah hari tadi, enam kawasan di Sarawak terus menyaksikan peningkatan dalam bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) dengan Mukah menjadi lokasi terbaharu mencatatkan IPU sangat tidak sihat.

Berdasarkan portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), bacaan IPU di Mukah meningkat kepada 208 berbanding 197 pada 8 pagi tadi.

Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya.

Untuk berita terkini berkaitan jerebu boleh layari www.bernama.com.

-BERNAMA