Categories
NASIONAL

Jangan korbankan pendidikan akibat kegagalan “Najibnomics”

SHAH ALAM 21 JAN: Peruntukan biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) patut dipertingkatkan dan bukannya digantung sehingga boleh menjejaskan masa depan pelajar cemerlang belajar di universiti terpilih.

Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari, berkata keputusan penggantungan biasiwa itu bakal memberi kesan kepada 700 pelajar dalam dan luar negara.

Katanya, jika benar kekangan kewangan alasan utama bagi keputusan itu, ia membuktikan kegagalan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak menguruskan ekonomi dan kewangan negara.

graduationMenurut laporan berita, tajaan biasiswa JPA untuk pelajar universiti di peringkat sarjana muda dan bursari untuk pelajar program pra-universiti bagi 2016 bakal digantung akibat pengurangan pendapatan negara.

“Justeru, daripada memangsakan mahasiswa dan mahasiswi, kerajaan seharusnya terlebih dahulu mengatasi ketirisan dan salah tadbir merugikan negara,” kata Zairil dalam kenyataan media.

Beliau berkata Belanjawan Alternatif Pakatan Harapan 2016 yang dibentang pada Oktober 2015, kerajaan dapat menjimatkan RM30 bilion melalui pelan penyusunan semula dan langkah pembasmian rasuah.

Katanya, antara langkah disyorkan adalah pemotongan peruntukan Jabatan Perdana Menteri yang melampau serta pemansuhan program tidak diperlukan seperti Jabatan Hal Ehwal Khas, Biro Tatanegara, TalentCorp dan Program Latihan Khidmat Negara.

Tambahan pula, bilangan menteri berjumlah hampir 70 orang juga harus dikurangkan dan dirasionalisasikan.

Pada masa sama, berbilion-bilion ringgit lagi wang kerajaan dapat dijimat melalui pelaksanaan dasar tender terbuka bagi semua perbekalan dan pemerolehan kerajaan.

“Jumlah diperuntukkan bagi biasiswa JPA dalam Belanjawan 2016 tidak banyak – hanya RM1.65 bilion, itu pun setelah dikurangkan daripada RM1.93 bilion bagi tahun 2015,” katanya.

Zairil menggesa agar peruntukan kritikal seperti tajaan pendidikan tidak diusikkerajaan dalam usaha penjimatan.

“Sebaliknya, kerajaan sepatutnya menangani segala ketirisan, rasuah dan salah tadbir terlebih dahulu.

“Jika pengurangan perbelanjaan diperlukan sekalipun, biarlah dipotong program tidak membuahkan hasil daripada mengorbankan masa depan modal insan negara,” katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.