Categories
SELANGOR

KSU Negeri baru angkat sumpah

OLEH : NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 11 JAN: Setiausaha Kerajaan Negeri yang baru, Datuk Mohamad Amin Ahmad Ahya mengangkat sumpah jawatan dan taat setia di hadapan DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini.

Istiadat angkat sumpah jawatan dan taat setia itu dilaksanakan di Istana Bukit Kayangan yang turut dihadiri Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Baginda turut berkenan menyampaikan pengurniaan watikah pelantikan YDM Engku Penggawa Muda Paduka Maha Bijaya Kuala Langat, Timbalan Mufti Selangor dan Ketua Pendaftar serta Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk Orang-Orang Islam.

SUK BaruAnak kelahiran Selangor itu, sebelum ini merupakan Pengarah Tanah dan Galian Selangor dilantik bagi menggalas jawatan terbabit berkuatkuasa 4 Januari lalu mengantikan Datuk Setia Mohammed Khusrin Munawi yang bersara pilihan selepas berkhidmat selama lima tahun.

Pelantikan itu menepati peruntukan sebagaimana yang dikehendaki di perenggan (a), Fasal 2, Perkara 52 Bahagian Kedua, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959.

Mohamad Amin berumur 54 berasal dari Sungai Lang, Banting berkelulusan Sarjana Muda Sastera dan Sains Sosial (Kepujian) Universiti Malaya dan mula berkhidmat sebagai penjawat awam pada tahun 1989.

Seterusnya, beliau menjadi Ahli Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) mengikut peruntukan Seksyen 11 (1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor 2003.

Sementara itu, Yang Mulia Tengku Mohamed Tengku Harin dilantik menjadi Yang Dihormatkan Engku Penggawa Muda Paduka Maha Bijaya Kuala Langat menggantikan Datuk Uzair Tengku Zainon Rashid Shah yang meletak jawatan kerana masalah kesihatan.

Kerabat Diraja Selangor itu juga merupakan pesara kerajaan. Tugas itu bagi mewakili Sultan Selangor di daerah terbabit serta bertanggungjawab memastikan rakyat jelata hidup dengan aman sejahtera dan harmoni, hal ehwal Agama Islam dijaga dan dipelihara dengan sempurna serta tempat warisan negeri diselenggara dengan baik.

Selain itu, Dr Anhar Opir dilantik menjadi Timbalan Mufti Selangor menggantikan Datuk Abdul Majid Omar yang meletak jawatan atas sebab kesihatan.

Manakala, Salwana Ahmad Dahalan dilantik sebagai Ketua Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk Orang Islam dan Zaki Arshad, Farhan Wijaya, Darul Akmal, Khairul Naim Ramli dan Nordin Bayadi dilantik sebagai Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk Orang Islam.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.