Categories
SELANGOR

MB kongsi rahsia Selangor catat surplus RM577 juta

Oleh: NAZLI IBRAHIM

HULU SELANGOR, 22 JAN: Tatkala Kerajaan Persekutuan bergelut dengan kejatuhan nilai ringgit dan harga pasaran minyak antarbangsa, Kerajaan Selangor berjaya memperolehi surplus RM577 juta apabila akaun 2015 ditutup.

Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali ketika berkongsi ‘rahsia’ kejayaan itu, berkata selain faktor kecekapan menguruskan kewangan negeri, ia didorong kemampuan menerapkan amanah kepada anggota pentadbirannya.

Azmin Ali“Saya gembira kerana dalam keadaan Putrajaya sedang gawat, negeri lain bergelumang dengan masalah ekonomi, sekali lagi hasil Kerajaan Negeri mencatatkan lebihan RM577 juta.

“Tidak mungkin Kerajaan Negeri dapat mencatat prestasi kewangan baik dalam keadaan ekonomi gawat tanpa pemerintahan dan pentadbiran telus, amanah, bertanggungjawab dan mengamalkan prinsip tatakelola baik. Tak mungkin,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Hak Milik Tanah kepada 139 peneroka Felda Sungai Tengi Selatan di sini, hari ini.

Pada masa sama, Mohamed Azmin turut mengulangi pendirian untuk tidak menyemak semula Belanjawan Selangor 2016 seperti dilaksanakan Kerajaan Persekutuan.

“Ia ekoran Kerajaan Negeri turut mengambil kira sebarang risiko ekonomi yang mungkin dihadapi pada tahun ini dalam belanjawan,” katanya.

-AA-

Leave a Reply

Your email address will not be published.