Categories
NASIONAL

Parlimen digesa lantik Pendakwa Bebas buka siasatan skandal Najib

OLEH : RAFIZI RAMLI

SHAH ALAM 27 JAN: Parlimen disarankan melantik Pendakwa Bebas Khas daripada pengamal undang-undang bebas dan berintegriti untuk membuka semula siasatan terhadap Datuk Seri Mohd Najib Razak dan meneliti kertas siasatan SPRM dan Bank Negara.

Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli, berkata beliau berbincang dengan ahli parlimen berlatar belakangkan undang-undang untuk merangka usul dan usaha membawa perkara itu ke sidang parlimen pada Mac ini.

1MDB Rafizi Najib“Saya yakin rakyat yang cintakan keadilan tidak boleh putus asa dan terus mencari jalan sehingga kebenaran mengenai skandal ini dibentangkan dan dibawa ke muka keadilan,” kata Rafizi dalam kenyataan media

Katanya, penjelasan Peguam Negara, Tan Sri Apandi Ali berkenaan keputusan beliau menutup kertas siasatan skandal dana RM2.6 bilion dan dana RM42 juta SRC International Sdn Bhd tidak dapat diterima umum.

“Bukan sahaja alasan Najib memulangkan kembali “derma” diterimanya itu tidak masuk akal, malah beberapa perkara asas tidak dijawab beliau,” katanya.

Katanya Najib sepatutnya didakwa atas tuduhan pecah amanah kerana dana dari syarikat awam di bawah kawalan beliau dipindahkan ke akaun peribadinya.

“Najib juga patut didakwa atas tuduhan cuai dan lalai menjalankan tanggungjawab sehingga menyebabkan kerugian dana awam.

“Dalam kedua-dua keadaan, ada kes kukuh untuk mendakwa Najib,” katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.