Categories
SELANGOR

Pencarian bakat baru Cub Prix bermula

SHAH ALAM 8 JAN: Pendaftaran bagi sesi pemilihan pelumba untuk kategori Perlumbaan Kategori Satu Pengeluar (OMR) Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS bagi musim 2016 kini dibuka.

Sama seperti musim lepas, perlumbaan dianjurkan bersama-sama pengeluar, Boon Siew Honda Sdn Bhd dan Hong Leong Yamaha Motor Malaysia Sdn Bhd ini terus memainkan peranan penting dalam melahirkan pelumba berbakat khususnya di peringkat remaja.

Yamaha PETRONAS Super SeriesAntara bakat yang lahir dari program ini termasuk dua pelumba di bawah Program Pembangunan Bakat Pelumba PETRONAS ketika ini, Hafizh Syahrin Abdullah (Moto2) dan Mohd Ramdan Mohd Rosli (Moto3) yang memulakan karier dalam siri perlumbaan Yamaha.

Manakala Mohd Zulfahmi Khairuddin memulakan karier di dalam siri perlumbaan Junior GP pada 2007.

Turut mengikut jejak langkah serupa ialah pelumba berusia 18 tahun, Khairul Idham Pawi yang bakal beraksi dalam saingan Moto3 Kejuaraan Grand Prix Dunia.

Khairul mempamer aksi cemerlang meraih tiga podium dalam saingan Kejuaraan Moto3 Remaja Dunia CEV Sepanyol musim lepas selepas menjuarai dua kelas perlumbaan, Wira dan Asia Dream Cup (ADC) pada musim 2014.

“Remaja berminat dan berbakat seharusnya tidak melepaskan peluang mendaftarkan nama. Tempat disediakan terhad.

Jadi kepada pelumba yang namanya terpilih oleh Honda dan Yamaha nanti perlu memberi sepenuh tumpuan mengasah dan mempamerkan bakat mereka dalam perlumbaan yang kompetitif ini,” jelas Pengarah Promosi Safe Aim Mutual Sdn Bhd (SAM), Ron Hogg.

Tambahnya, dengan adanya siri perlumbaan satu pengeluar ini, ia sebenarnya dapat meringankan beban bagi pelumba yang kurang berkemampuan apabila pihak pengeluar menyediakan jentera, peralatan perlumbaan dan juga persediaan teknikal.

“Malah, apa yang penting juga di sinilah juga pasukan profesional tempatan mengesan dan menilai pelumba berpotensi untuk mewakili mereka pada masa depan bagi menggantikan pelumba senior pada hari ini,” katanya.

Pendaftaran dibuka kepada pelumba berumur 13 hingga 25 tahun. Mereka yang berminat boleh hubungi pihak SAM di talian 03-87338787 bermula hari ini, 7 Januari dari 10 pagi hingga 5 petang, Isnin hingga Jumaat.

Atau membuat pendaftaran melalui emel ke [email protected]. Maklumat lanjut boleh didapati di laman facebook Malaysian Cub Prix.

Tarikh tutup pendaftaran pada 5 Februari.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.