Categories
NASIONAL

Rafizi desak 1MDB jelaskan penggunaan dana sukuk

Oleh : NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 13 JAN: 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) dicabar mendedahkan perincian perbelanjaan dana sukuk selepas syarikat itu gagal menjawab soalan utama sebelum ini.

Setiausaha Agung KEADILAN, Rafizi Ramli, berkata 1MDB gagal menjelaskan apa yang berlaku terhadap baki RM1.6 bilion daripada keseluruhan RM2.4 bilion sukuk diterbitkan menerusi Bandar Malaysia Sdn Bhd pada 2014.

yb rafizi parlimen“Saya mencabar 1MDB untuk mendedahkan perincian perbelanjaan yang menggunakan dana sukuk itu terutamanya perbelanjaan terperinci 1MDB RE bagi menjelaskan ke mana keseluruhan dana sukuk dibelanjakan.

“Jika dana sukuk itu digunakan untuk membiayai pemindahan dan naik taraf pangkalan udara seperti sepatutnya, 1MDB tidak perlu membawa masuk pelabur asing dari China untuk menanggung hutang itu sehingga mendedahkan negara kepada risiko pertahanan dan kedaulatan negara,” katanya dalam kenyataan.

Rafizi berkata, 1MDB memberikan satu kenyataan umum bertujuan mengelirukan orang ramai dengan menyatakan semua dana terbitan sukuk dibelanjakan seperti ditetapkan perjanjian.

Katanya, 1MDB sepatutnya mempunyai baki RM1.48 bilion selepas mengambil kira syarat rizab simpanan minima sukuk sebanyak RM72 juta dan belanja serta yuran menerbitkan bon sebanyak RM48 juta.

“1MDB perlu menjawab bagi tujuan apakah sebanyak RM1,48 bilion digunakan anak syarikatnya, iaitu 1MDB RE, daripada dana sukuk ini sedangkan ia tidak mempunyai aktiviti perniagaan selain pemaju hartanah di Tun Razak Exchange dan Bandar Malaysia.

Rafizi“Malah, dari 2014 hingga sekarang kedua projek pembangunan hartanah ini belum bermula dan peranan 1MDB RE setakat ini seumpama broker hartanah yang menjual tanah di Jalan Tun Razak dan Sungai Besi.

“Mustahil sebuah syarikat yang fungsi utamanya menjual tanah memerlukan RM1.48 bilion untuk membiayai operasinya,” katanya.

Semalam, 1MDB menafikan dakwaan Rafizi mengatakan dana itu tidak diambil kira dan bertegas sukuk RM2.4 bilion sudah digunakan mengikut perjanjian.

1MDB berkata sukuk itu digunakan sebahagiannya untuk membiayai kos pemindahan pangkalan tentera udara di Sungai Besi, pra dana yuran dan perbelanjaan program sukuk itu, mendanai syarat pembiayaan akaun rizab dan dana syarat modal bekerja 1MDB Real Estate Sdn Bhd (kini dikenali sebagai TRX City Sdn Bhd).

-AA-

Leave a Reply

Your email address will not be published.