Categories
SELANGOR

Selangor gerak inisiatif tingkat kemudahan awam

Oleh: HAFIZAN TAIB

PETALING JAYA, 29 JAN: Kerajaan Selangor mengambil inisiatif meningkatkan kemudahan perkhidmatan pengangkutan awam bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas terutama di kawasan bandar.

Exco Pelaburan, Perindustrian (IKS) & Perdagangan dan Pengangkutan, Datuk Teng Chang Kim, berkata sehubungan itu input awam diperlukan bagi menambah baik cadangan pelan induk untuk perkhidmatan pengangkutan awam berkenaan.

“Sudah tentu kita mengharapkan idea lebih membina daripada rakyat untuk memperbaiki cadangan dilakukan kumpulan pakar kita.

teng_chang_kim01“Ini kerana mereka yang menggunakannya dan pasti cadangan akan menjadi lebih baik menerusi perkongsian idea,” katanya dalam sidang media di sini, malam tadi.

Pada masa sama, Chang Kim berkata, dialog pelan induk pengangkutan awam Selangor bersama wakil rakyat dan badan bukan kerajaan di Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mencatatkan kehadiran tertinggi setakat ini berbanding Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ).

Katanya, ia susulan kesedaran masyarakat di Petaling Jaya lebih tinggi ekoran bandar raya itu lebih sesak berbanding bandar raya lain di Selangor.

“Bagaimanapun MBPJ sudah meggerakkan sistem pengangkutan awam baik bagi menggalakkan orang ramai menggunakannya dan ia wajar dicontohi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) lain.

“Melalui dialog diadakan juga kita menerima respon baik daripada orang ramai yang menyokong langkah diambil Kerajaan Negeri ini,” katanya.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri memperuntukan RM12.5 juta bagi tujuan itu tahun ini, meningkat berbanding tahun sebelumnya sebanyak RM3.5 juta, manakala MBPJ sendiri membelanjakan RM6.5 juta.

Katanya, biarpun mempunyai peruntukan terhad dan ia adalah tanggungjawab Kerajaan Persekutuan, tetapi Kerajaan Negeri mengambil inisiatif menggerakkannya.

“Ia bertujuan menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam dan tumpuan kita adalah pengangkutan seperti bas, LRT, MRT dan sebagainya.

“KIta tidak menumpukan lebuh raya kerana kita menyakini ia tidak mampu mengatasi masalah kesesakan lalu lintas,” katanya.

-AA-

Leave a Reply

Your email address will not be published.