Categories
SELANGOR

Selangor mahu lahirkan Ibnu Sina, Al-Biruni

Oleh : NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 13 JAN: Selangor mampu melahirkan generasi muda yang bukan sahaja hafaz dan mempraktikan isi kandungan Al-Quran, malah turut mahir dalam ilmu sains dan teknologi seperti Ibnu Sina dan Abu Raihan Al-Biruni.

Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, berkata kedua tokoh yang hidup pada zaman kegemilangan tamadun Islam itu selain terkenal dengan disiplin ilmu, mereka juga penghafaz Al-Quran.

“Sejarah membuktikan bahawa para ulama dan ilmuan muktabar seperti Ibnu Sina memulakan proses pendidikan dengan menghafaz Al-Quran semasa berumur tujuh tahun dan mengakhiri kehidupannya dengan ilmu sains perubatan dan psikologi.

IMG_8170“Begitu juga kewibawaan Abu Raihan Al-Biruni, seorang ahli astronomi, algebra dan ahli perbandingan agama.

“Justeru kita yakin hafazan Al-Quran mampu melahirkan ulama dan ilmuan dalam pelbagai disiplin ilmu melalui pembinaan baru dua Maahad Integrasi Sains dan Teknologi (MITS),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Menghafaz Al-Quran peringkat Selangor di Dewan Jubli Perak, di sini, malam tadi.

Pada masa sama, Mohamed Azmin berkata, Kerajaan Negeri juga mahu rakyat Selangor kembali menghayati Al-Quran dengan kesedaran Islam adalah agama yang mendorong kepada persaudaraan dan dakwah.

Katanya, ia bertepatan dengan tema majlis, ‘Umat Bermuafakat, Negeri Berkat.’

“Masyarakat Islam yang hidup dengan penghayatan Al-Quran dan disertai penguasaan ilmu sains dan teknologi mampu mengikis tanggapan negatif terhadap imej Islam yang semakin tercemar sejak kebelakangan ini,” katanya.

-AA-

Leave a Reply

Your email address will not be published.