Categories
SELANGOR

Selangor mahu lahirkan Ibnu Sina, Al-Biruni

Oleh : NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 13 JAN: Selangor mampu melahirkan generasi muda yang bukan sahaja hafaz dan mempraktikan isi kandungan Al-Quran, malah turut mahir dalam ilmu sains dan teknologi seperti Ibnu Sina dan Abu Raihan Al-Biruni.

Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, berkata kedua tokoh yang hidup pada zaman kegemilangan tamadun Islam itu selain terkenal dengan disiplin ilmu, mereka juga penghafaz Al-Quran.

“Sejarah membuktikan bahawa para ulama dan ilmuan muktabar seperti Ibnu Sina memulakan proses pendidikan dengan menghafaz Al-Quran semasa berumur tujuh tahun dan mengakhiri kehidupannya dengan ilmu sains perubatan dan psikologi.

IMG_8170“Begitu juga kewibawaan Abu Raihan Al-Biruni, seorang ahli astronomi, algebra dan ahli perbandingan agama.

“Justeru kita yakin hafazan Al-Quran mampu melahirkan ulama dan ilmuan dalam pelbagai disiplin ilmu melalui pembinaan baru dua Maahad Integrasi Sains dan Teknologi (MITS),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Menghafaz Al-Quran peringkat Selangor di Dewan Jubli Perak, di sini, malam tadi.

Pada masa sama, Mohamed Azmin berkata, Kerajaan Negeri juga mahu rakyat Selangor kembali menghayati Al-Quran dengan kesedaran Islam adalah agama yang mendorong kepada persaudaraan dan dakwah.

Katanya, ia bertepatan dengan tema majlis, ‘Umat Bermuafakat, Negeri Berkat.’

“Masyarakat Islam yang hidup dengan penghayatan Al-Quran dan disertai penguasaan ilmu sains dan teknologi mampu mengikis tanggapan negatif terhadap imej Islam yang semakin tercemar sejak kebelakangan ini,” katanya.

-AA-

Categories
SELANGOR

RM73 juta komitmen Selangor bangunkan ilmu al-Quran

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 13 JAN: Selangor komited menjadi peneraju bagi melahirkan lebih ramai pentafsir muda Al-Quran berwibawa, klasik dan kotemporari sekaligus menjadikannya pegangan hidup.

Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, berkata bagi menjayakannya, Kerajaan Negeri akan membelanjakan RM18 juta untuk membina tiga Maahad Tahfiz, RM52 juta untuk dua Maahad Integrasi Sains dan Teknologi serta RM3 juta lagi menaiktaraf Maahad Tahfiz Darul Qura di Sabak Bernam.

IMG_8228Al-Quran perlu menjadi teras dalam dasar pentadbiran dan pembangunan dan alhamdullilah Selangor melaksanakannya berdasarkan tuntutan Al-Quran.

“Menyedari hakikat falsafah pembangunan Selangor berlandaskan tuntutan Al-Quran, keadilan dan ehsan, maka Kerajaan Negeri mengambil inisiatif memperkukuh perkembangan ilmu Al-Quran melalui institusi pendidikan seperti pembangunan Maahad Tahfiz,” katanya.

Mohamed Azmin berkata demikian ketika merasmikan Majlis Menghafaz Al-Quran Peringkat Selangor di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Abdul Aziz Shah, di sini, malam tadi.

Pada masa sama, katanya, pembangunan itu dilaksanakan ekoran peningkatan permintaan ibu bapa untuk menghantar anak mereka mengikuti pendidikan Islam di negeri itu.

“Trend menghantar anak ke Maahad Tahfiz adalah perkembangan sihat dan menjadi cabaran kepada Kerajaan Negeri menyediakan peluang lebih besar kepada masyarakat mengikuti pendidikan Islam dengan sempurna,” katanya.

-AA-

Categories
SELANGOR

Tiada tender terbuka punca tarif air meningkat

Oleh: NAZLI IBRAHIM

AMPANG, 9 NOV: Pihak pengurusan lama Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) didapati tidak mengamalkan tender terbuka bagi sesuatu projek atau perolehan baru, sebaliknya menganugerahkan tender secara terus kepada pihak tertentu.

Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali, berkata tindakan itu menyebabkan syarikat konsesi itu terpaksa menaikkan kadar tarif air terhadap pengguna bagi menampung kos operasinya yang meningkat tinggi.

azmin-pc-DNS-01“Maklumat daripada pengurusan baru SYABAS amat mengejutkan kerana banyak proses perolehan dibuat pengurusan lama tidak melalui tender terbuka seperti ganti paip dan meter.

“Semuanya diberi di kalangan orang tertentu sekaligus menyebabkan kos memulih dan menambahbaik sistem industri bertambah tinggi dan akhirnya kembali kepada rakyat dengan kadar tarif begitu tinggi. Diharap ia tidak lagi berulang,” kata Mohamed Azmin.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penyerahan Pembekalan Tong Sampah Percuma Kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Selangor di Menara Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) di sini, hari ini.

Mohamed Azmin turut melahirkan keyakinan beliau, pengurusan baru SYABAS dapat memulihkan ‘kerosakan’ organisasi yang berlaku dalam pengurusan dengan memasukkan urus tadbir yang baik.

Pada 2011, SYABAS memfailkan saman terhadap Kerajaan Negeri berikutan keengganan membenarkan kenaikkan tarif air seperti yang dipersetujui dalam perjanjian dimeterai di era pentadbiran Barisan Nasional (BN) pada 2004.

Bagaimanapun pada 15 Oktober lalu, Kerajaan Negeri secara rasminya mengambilalih SYABAS dan Puncak Niaga melalui Syarikat Air Selangor.

Pagi tadi, Mohamed Azmin dan beberapa Exco Kerajaan Negeri mengadakan lawatan rasmi pertama ke Ibu Pejabat SYABAS selepas Kerajaan Negeri mengambilalih sepenuhnya Industri Air Selangor (Air Selangor) pada 15 Oktober lalu.

-nR-