Categories
NASIONAL

Selepas TPPA dilulus Dewan Rakyat kini berdepan perundangan

SHAH ALAM 28 JAN: Perjuangan menghalang perlaksanaan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) diteruskan sehingga ke saluran seterusnya iaitu melalui sistem perundangan.

Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Mohamad Raimi Ab Rahim, berkata mekanisme Investor State Dispute Settlement (ISDS) bakal
meletakkan negara di kandang penghakiman bagi penggiat korporat luar negara.

TPPAKatanya perlaksanaan mekanisme ISDS ini secara langsung mencemari kedaulatan serta keluhuran perlembagaan negara.

“Apalah makna negara berdaulat sekiranya perlembagaan yang merupakan asas pentingnya boleh dicorat-coret sesuka hati oleh tangan luar.

“Justeru bantahan rakyat terhadap TPPA bukanlah atas dasar untung rugi ekonomi semata-mata,” kata Raimi dalam kenyataan media.

Beliau berkata sebaliknya ia adalah manifestasi jelas mempertahankan kedaulatan negara daripada penjajahan secara zahir mahupun secara halus dalam bentuk politik dan ekonomi.

Semalam TPPA diterima berdasarkan keputusan majoriti 127 Ahli Parlimen menyokong dengan 84 orang lagi memilih untuk menolak.

Katanya, ABIM mewakili rakan pelbagai pertubuhan masyarakat madani dan rakyat berduka cita dengan ketetapan itu.

“Keputusan itu bakal memberikan impak sangat mendalam terhadap masa depan negara,” katanya.

Raimi berkata TPPA menyaksikan pindaan perundangan akan dibuat sebagai sebahagian daripada proses ratifikasinya.

“Pindaan itu merupakan mukadimah awal kepada impak TPPA yang terpaksa dihadapi rakyat negara ini pada masa akan datang,” katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.