Categories
SELANGOR

Sungai Klang boleh jana RM10 bilion jika dipulihkan

Oleh : NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 20 JAN: Dianggarkan minimum RM10 bilion boleh dijana Kerajaan Selangor jika pembangunan Sungai Klang berjaya dipulihkan dalam tempoh ditetapkan.

Ketua Pegawai Eksekutif Pejabat Penasihat Ekonomi Negeri, Dr Fahmi Ngah, berkata usaha memelihara dan memulihara sungai itu sudah bermula sejak 2009, namun hanya satu fasa berjaya dilaksanakan sepenuhnya.

Dr Fahmi Ngah“(Jika berjaya dilaksanakan), sudah tentu kita mampu menarik pengusaha hotel, restoran, butik atau pengusaha sukan air sedunia selain pusat penempatan untuk dimajukan,” katanya kepada SelangorKini.

Pada masa sama, Fahmi berkata, Perbadanan Sungai Klang akan diwujudkan dalam tempoh terdekat bagi memudahkan usaha pemeliharaan dan pemuliharaan sungai itu secara berterusan.

Bagaimanapun, katanya, langkah itu boleh dilaksanakan jika tiada masalah perundangan.

“Kita melihat penubuhan perbadanan akan memastikan keberkesanan pelaksanaan, namun isu perundangan perlu diteliti terlebih dahulu.

“Kita memerlukan pelan tindakan agresif dan berkesan, maka perbadanan itu harus diwujudkan,” katanya.

Projek pemuliharaan Sungai Klang bermula sejak 2009 merangkumi pelbagai fasa, antaranya kebersihan, pembangunan impak, perluasan pembangunan dan pembangunan direalisasi.

-AA-

Leave a Reply

Your email address will not be published.