Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Satu aplikasi untuk semua perkhidmatan dirancang, mudahkan rakyat

PETALING JAYA, 19 DIS: Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) bercadang mewujudkan aplikasi Super Apps yang menyediakan semua perkhidmatan dalam satu sistem mulai tahun depan.

Pengarahnya Dr Fahmi Ngah berkata aplikasi secara berpusat itu membolehkan orang ramai membayar bil, cukai, parkir dan menerima maklumat berhubung inisiatif Kerajaan Negeri.

“Banyak permintaan daripada rakyat Selangor yang mahu satu sistem menyediakan semua perkhidmatan kerana tidak mahu terlalu banyak memuat turun aplikasi dalam telefon.

“Seperti kita sedia maklum, parkir dan SELangkah (Langkah Masuk Dengan Selamat) ada aplikasi masing-masing serta mungkin satu peringkat nanti Kerajaan Negeri akan meneliti sama ada diwujudkan Super Apps gabungkan semua itu untuk kemudahan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran pemakluman penggunaan eKupon menerusi aplikasi Smart Selangor Parking (SSP) disempurnakan EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya di sini semalam.

Mengulas mengenai aplikasi tanpa tunai ‘Citizen E-Payment Platform’ atau CEPat, Dr Fahmi berkata sebanyak 40,000 pengguna memuat turun sejak dua tahun dilancarkan.

CEPat diperkenal pada Ogos 2019 turut menawarkan kemudahan bayaran cukai taksiran, kompaun, parkir, bil utiliti dan tambah nilai kad prabayar.

CEPat boleh dimuat turun di Google Playstore dan AppStore.

Categories
AGENDA NASIONAL

SSDU capai 60 peratus pembangunan inisiatif pelan tindakan pintar

SHAH ALAM, 11 NOV: Sebanyak 60 peratus daripada 60 inisiatif dicadang dalam Pelan Tindakan Smart Selangor 2025 telah dibangunkan, kata pengarah urusan Smart Selangor Delivery Unit (SSDU).

Dr Fahmi Ngah menerusi temu bual di Utusan Malaysia memaklumkan program direncanakan seawal 2016 kini telah mencapai tahap 35 peratus bagi pelaksanaannya di seluruh negeri.

Katanya, bagaimanapun pelaksanaan itu sedikit terbantut akibat kekangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sepanjang 2020 dan 2021.

“Antara contoh awal inisiatif Smart Selangor dilaksanakan di seluruh Selangor adalah penggunaan aplikasi Smart Selangor Parking (SSP) yang hari ini mempunyai sejumlah 1.8 juta pengguna.

“Penggunaan sistem Intelligent Response Selangor (i-RS) oleh 39 entiti Kerajaan Negeri untuk pengurusan pelaporan dan
penampalan jalan berlubang yang menggunakan kaedah pelaporan awam dari pelbagai saluran seperti panggilan telefon, Waze dan sebagainya,” katanya.

Fahmi berkata inisiatif lain turut dilaksana seluruh Selangor termasuk penggunaan aplikasi Selangor Intelligent Transport System (SITS) yang memaklumkan waktu ketibaan bas Smart Selangor di perhentian bas.

“Setakat ini orang ramai menyambut baik dan menggunakan aplikasi serta kemudahan ini. Sebagai contoh, aplikasi SSP sahaja mempunyai 1.8 juta pengguna di kawasan bandar dan luar bandar.

“Perhentian bas Smart Selangor juga mencatatkan jumlah pengunjung seramai 600 orang sehari sebelum tercetusnya pandemik Covid-19,” katanya.

SSDU adalah anak syarikat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI yang diberi mandat menerajui pembangunan program Smart Selangor, sekali gus menjadikan negeri itu sebagai “The Premier Regional Smart State” di rantau ASEAN menjelang 2025.

Program Smart Selangor bermatlamat menjadikan Selangor sebagai negeri serantau yang lebih produktif dan berdayahuni selain memastikan kemampanan serta pemuliharaan alam sekitar seiring dengan pembangunan dicapai.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Portal kitaselangor.my mudahkan mohon 24 inisiatif negeri

SHAH ALAM, 19 OGOS: Memohon inisiatif di bawah Pakej Kita Selangor 2.0 kini semakin mudah dan hanya di hujung jari dengan pelancaran portal kitaselangor.my.

Pengarah Urusan Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) berkata orang ramai hanya perlu menekan butang “mohon di sini” dan memilih bantuan di halaman menampilkan 24 inisiatif bawah pakej berkenaan.

Menurut Dr Fahmi Ngah pemohon kemudiannya perlu memasukkan butiran peribadi atau syarikat, menekan “butang hantar” dan akan menerima pemberitahuan penerimaan permohonan melalui e-mel.

“Setiap permohonan bantuan atau inisiatif akan sampai terus kepada bahagian yang menguruskannya.

“Orang ramai juga boleh merujuk perkembangan pelaksanaan setiap inisiatif bagi mengetahui sama ada kuota bantuan masih ada atau telah penuh,” katanya kepada Selangorkini hari ini.

Fahmi berkata portal dibangunkan SSDU dan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Selangor itu menerima 5,800 permohonan hanya selepas dua hari dilancarkan.

“Ini satu perkembangan baik dan memudahkan warga negeri ini memohon bantuan tanpa perlu merujuk  ke satu-satu agensi seperti sebelum ini.

“Ini selaras hasrat Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari yang mahu memudahkan rakyat memohon setiap inisiatif disediakan Kerajaan Negeri,” katanya.

Pada 9 Jun, Amirudin mengumumkan Pakej Bantuan Kita Selangor 2.0 bernilai RM551.56 juta yang menyasarkan golongan berpendapatan rendah, usahawan, pelajar dan penggiat pelancongan.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

SSDU bangun sistem pintar pantau pencemaran air

SHAH ALAM, 23 JUN: Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) sedang membangunkan sistem pemantauan pencemaran bekalan air yang dijangka diperkenalkan tahun ini.

Pengarah urusannya berkata sistem itu dibangunkan dengan kerjasama swasta bersama tujuh lagi inisiatif terdiri pemantauan penularan Covid-19, penyelenggaraan serta kawalan jalan raya dan lampu jalan pintar.

Ekosistem perusahaan kecil dan sederhana, sistem pemprosesan serta kelulusan kerajaan, platform pembayaran digital kerajaan dan pemantauan indeks kualiti udara.

“Perkara ini sedang diperincikan SSDU bersama Kerajaan Negeri yang akan diumumkan dalam waktu terdekat.

“Pada bulan ini kita telah memulakan proses menyatakan hasrat untuk mendapatkan penyertaan swasta dalam inisiatif terbabit,” kata Dr Fahmi Ngah ketika dihubungi di sini.

Pada masa ini, terdapat beberapa aplikasi Smart Selangor digunakan dalam perkhidmatan harian antaranya Smart Selangor Parking, Citizen E-Payment Platform dan Scan To Ride.

Inisiatif itu membantu meningkatkan perkhidmatan awam dan memudahkan urusan orang ramai yang selaras misi Selangor sebagai Negeri Pintar 2025.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Pusat kawalan pintar tingkat kecekapan kutip sampah, urus bencana

SHAH ALAM, 19 JUN: Kecekapan beberapa perkhidmatan harian termasuk pengurusan sampah domestik semakin bertambah melalui pemantauan Pusat Operasi C5i Smart Selangor (SSOC).

Pengarah Urusan Smart Selangor Delivery Unit berkata pusat kawalan pintar yang beroperasi awal tahun ini membantu meningkatkan kutipan sampah sebanyak 30 peratus.

Menurut Dr Fahmi Ngah, kecekapan perkhidmatan lain seperti Bas Smart Selangor naik 80 peratus selain tempoh pengurusan 59 kejadian bencana turun 75 peratus.

“Contohnya bagi pemantauan lori sampah dan Bas Smart Selangor, kita memantau aduan pengguna selain pergerakan data masa sebenar berdasarkan alat pengesanan lokasi (GPS) yang wajib dipasang.

“Kalau lori atau bas tidak bergerak mengikut jadual, pusat kawalan akan memberi peringatan,” katanya ketika dihubungi.

Beliau menambah panggilan telefon berkaitan Covid-19 diuruskan Bahagian Korporat Setiausaha Kerajaan Negeri juga lebih teratur dengan purata 60 panggilan sehari.

SSOC yang beroperasi di Dewan Jubli Perak, bersebelahan Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini dibangunkan seiring sasaran Selangor sebagai Negeri Pintar menjelang 2025.

Pusat itu menempatkan beberapa agensi penting melibatkan operasi harian seperti bas, kutipan sisa pepejal, pengurusan bencana dan keselamatan.

Selain itu, SSOC berupaya memberi maklum balas serta maklumat terkini berhubung usaha Kerajaan Negeri menangani Covid-19.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Kelajuan internet PBT, anak syarikat negeri dinaik taraf

SHAH ALAM, 19 JUN: Sambungan internet berkelajuan tinggi akan diperluas di 12 agensi Kerajaan Selangor tahun ini bagi menyokong hasrat mencapai Negeri Pintar menjelang 2025.

Pengarah urusan Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) berkata agensi itu termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT), pejabat daerah dan tanah (PDT) serta anak syarikat Kerajaan Negeri.

“Kami menerima maklum balas baik daripada pengguna sedia ada. Tahun ini SSDU bercadang menambah 12 entiti baharu melibatkan beberapa PBT dan PDT,” kata Dr Fahmi Ngah ketika dihubungi.

Beliau berkata rangkaian berkelajuan tiga Gigabit sesaat boleh mengupayakan proses penghantaran dan penerimaan data lebih tinggi berbanding kemudahan sama yang lain di pasaran.

“Aplikasi Smart Selangor seperti Smart Selangor Parking, Citizen E-Payment Platform, ‘Scan To Ride’, Selangor Intelligent Transport System dan Smart CCTV dapat berjalan lancar.

“Kemudahan ini menjimatkan masa orang ramai membuat pembayaran perkhidmatan Kerajaan Negeri dan mengurangkan keperluan berurusan secara fizikal di kaunter,” kata Dr Fahmi.

Selangor diiktiraf sebagai negeri pertama di negara ini menawarkan sambungan internet berkelajuan tinggi untuk sektor awam menerusi SeGNet.

Ketika ini jaringan itu digunakan di Majlis Bandaraya Subang Jaya, Majlis Daerah Kuala Selangor, Majlis Daerah Hulu Selangor, Pusat Operasi Smart Selangor C5i, Selangor Hybrid Data Centre dan Centre of Excellence di Wisma Ehsan.

 

Categories
AGENSI SELANGOR

Langsai bil utiliti, tambah nilai kad prabayar guna CEPaT 2.0

SHAH ALAM, 2 DIS: Pengguna boleh memuat turun aplikasi tanpa tunai ‘Citizen E-Payment Platform’ (CEPaT) versi 2.0 yang menyediakan pelbagai pekhidmatan mulai bulan ini.

Pengarah urusan Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) berkata versi baharu meliputi permohonan lesen, bayaran bil utiliti serta tambah nilai kad prabayar.

Dr Fahmi Ngah menjelaskan perkhidmatan tersebut turut dilengkapi ‘Scan to Ride’ untuk memudahkan warga asing membuat bayaran ketika menaiki Bas Smart Selangor.

“Usaha menambah baik aplikasi seiring sasaran memastikan perkhidmatan berbayar Kerajaan Negeri dibuat dalam platform ini menjelang 2022,” katanya memaklumkan aplikasi itu digunakan lapan pihak berkuasa tempatan (PBT).

CEpat yang diperkenal pada 21 Ogos 2019 menggunakan teknologi awanan berasaskan ‘cloud’ bagi memastikan ia selamat diakses pengguna.

Aplikasi yang boleh dimuat turun melalui Google Playstore dan App Store bermula 1 Oktober 2019 turut menawarkan kemudahan bayaran cukai taksiran, kompaun, dan parkir.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Pusat kawalan pintar tingkat kelancaran operasi ketika kecemasan

SHAH ALAM, 31 OKT: Pusat Kawalan Smart Selangor (C5i) yang kini di peringkat akhir pembinaan bakal meningkatkan kecekapan operasi pelbagai agensi sekiranya berlaku kecemasan.

Pengarah urusan Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) berkata teknologi pintar membolehkan pengumpulan data dilakukan dengan pantas sekali gus memudahkan proses atur dan gerak pihak berkuasa.

“Pusat C5i memastikan operasi kawal dan perintah dijalankan bersama melibatkan Unit Pengurusan Bencana Negeri, polis, Jabatan Alam Sekitar, pihak berkuasa tempatan serta pelbagai agensi lain.

“Kecekapan operasi pusat C5i turut disokong jaringan kamera litar tertutup (CCTV), papan pemuka utama pintar dan komputer,” kata Dr Fahmi Ngah kepada SelangorKini hari ini.

Semalam ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2021, Dato’ Menteri Besar mengumumkan pembinaan pusat tersebut di Dewan Jubli Perak, Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri seiring sasaran Negeri Pintar menjelang 2025.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pusat C5i menjadi infrastruktur utama berasaskan jaringan internet Gigabit dan Tier-4 ready Cloud Data Centre.

Jelasnya dianggar 2,000 unit CCTV akan dipasang di seluruh negeri dengan projek rintis 100 unit di pusat bandar Shah Alam untuk mewujudkan konsep Smart Selangor Safe City.

Pembangunan Pelan Tindakan Smart Selangor 2025 bakal melengkapkan Blueprint Smart Selangor 2016 yang menetapkan empat pelaksanaan iaitu kerajaan pintar, ekonomi pintar, komuniti pintar dan infrastruktur digital pintar.

Categories
SELANGOR

SSDU-KTMB kongsi kepakaran CCTV analitik

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 17 JUN: Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) menerima kunjungan 20 warga kerja Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), di sini baru-baru ini.

Delegasi diketuai Pengurus Besar Keselamatan KTMB, Meyor Hamdan itu bertujuan mengetahui dengan lebih lanjut berkenaan inisiatif Smart Selangor, khususnya inisiatif CCTV analitik selain berkongsi kepakaran sesuai untuk diaplikasikan pada pengurusan perkhidmatan KTMB.

Pengarah Urusan SSDU, Dr Fahmi Ngah berkata, lawatan itu menjadi medan mewujudkan kerjasama antara pihaknya dan KTMB dalam usaha mengintegrasi data Aplikasi MyRailTime Journey Planner bersama aplikasi Selangor Intelligent Transport System (SITS).

“Mod pengangkutan yang berbeza dalam satu aplikasi ini dapat memangkin kadar penggunaan pengangkutan awam oleh rakyat Selangor.

“Lawatan ini diharap sedikit sebanyak dapat memberi input yang mencukupi kepada pihak KTMB untuk digunapakai pada masa hadapan kelak,” katanya.

Warga kerja KTMB turut dibawa ke Smart Selangor Command Centre untuk melihat sendiri demo ujian CCTV analitik yang mampu membuat pengecaman wajah individu, mengesan haba badan melalui kamera thermo, pengesahan pencerobohan termasuk fungsi mengira bilangan orang secara automatik.

Categories
SELANGOR

SSDU pelawa swasta jalin kolaborasi bangun Smart Selangor

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 21 MAC: Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) mempelawa syarikat pembekal teknologi tempatan dan luar negara untuk turut serta dalam membangunkan inisiatif Smart Selangor.

Pengarah Urusannya, Dr Fahmi Ngah berkata, kolaborasi dengan pihak swasta, akademik dan pereka cipta penting bagi memastikan agenda Smart Selangor dapat dibangunkan selain memenuhi keperluan rakyat pada kos bersesuaian.

“Bermula hari ini, SSDU mengumumkan suatu proses ‘Expression of Interest’ (EoI) untuk pihak ini mengusulkan cadangan mereka berdasarkan beberapa keutamaan Smart Selangor tahun ini.

“Tahun ini adalah tahun ketiga pembangunan Smart Selangor dilaksanakan oleh SSDU, pihak kami amat berterima kasih dan menghargai segala sokongan yang ditunjukkan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari dan Kerajaan Negeri dari pelbagai peringkat,” katanya di sidang media di Bangunan Annex, di sini.

Dr Fahmi berkata, dokumen berkaitan proses EoI itu boleh dibeli daripada Pejabat SSDU di tingkat 15, Plaza Perangsang, Shah Alam bermula 26 Mac hingga 5 April pada jam 9.30 pagi hingga 5 petang.

“Cadangan itu perlu dikembalikan semula ke pejabat SSDU sebelum jam 12 tengah hari pada 12 April,” katanya.

Sementara itu, Amirudin menyambut baik usahasama pihak luar untuk membantu merealisasikan agenda berkenaan.

“Ia adalah satu lagi contoh polisi dan pendedahan ‘business friendly’ oleh Kerajaan Negeri yang menjadi teras pentadbiran ini.

“Saya berharap supaya agenda Smart Selangor ini akan dapat dilaksanakan dengan jayanya menerusi pembabitan lebih banyak syarikat swasta di Malaysia,” katanya.

SSDU adalah anak syarikat milik penuh Kerajaan Negeri yang diberikan mandat untuk menerajui pembangunan program Smart Selangor sekali gus, menjadikan Selangor sebagai ‘The Premier Regional Smart State’ di rantau ASEAN menjelang 2015.

Program Smart Selangor bermatlamat menjadikan Selangor sebagai negeri serantau yang lebih produktif dan berdaya huni selain memastikan kemampanan dan pemuliharaan alam sekitar seiring dengan pembangunan dicapai.

Sejumlah 60 inisiatif dibangunkan di bawah 12 domain iaitu ‘Smart Governance, Smart Waste Management, Smart Traffic and Mobility, Smart Digital Infrastructure dan Smart Healthcare’.

Selain itu, ‘Smart Education, Smart Disaster Management, Smart Food and Agriculture, Smart Building and Energy, Smart Water Management, Smart Safety and Security dan Smart Social Support’.

Categories
SELANGOR

Empat inisiatif baharu Smart Selangor diperkenal sebelum Oktober ini

OLEH NORHAYATI UMOR

SABAK BERNAM, 18 MAC: Empat inisiatif baharu di bawah agenda Smart Selangor bakal diperkenalkan sebelum Oktober depan.

Pengarah Urusan Smart Selangor Delivery Unit (SSDU), Dr Fahmi Ngah berkata, kajian pelaksanaan projek perintis bagi ke-empat-empat inisiatif itu kini sedang giat dibangunkan.

Katanya, ia membabitkan Smart Recycling , Smart Streetlamp, big data analitik dan Selangor Wide Area Network (SWAN).

“Bagi Smart Recycling, SSDU bekerjasama dengan KDEB Waste Management (KDEBWM) untuk menjalankan aktiviti ini supaya sampah sedia ada tidak terus dilupuskan.

“Kita juga mahu mengubah presepsi rakyat mengenai sampah yang mempunyai nilai tidak hanya melupuskannya,” katanya kepada SelangorKini ketika ditemui di Program Jelajah 360 Smart Selangor, di Stadium Sungai Besar, semalam.

Selain itu, Dr Fahmi berkata, SWAN pula merupakan projek Jaringan Jalur Lebar (Broadband) Berkelajuan Tinggi Gigabit untuk menghubungkan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) dengan semua agensi, jabatan, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan anak Syarikat Kerajaan Negeri.

Katanya, SWAN membolehkan satu jaringan bersepadu bagi memenuhi keperluan rangkaian dan integrasi antara SUK dan agensi berkenaan bagi mendukung keperluan Data Raya.

“Jaringan ini dijangka mempunyai kelajuan dan kapasiti tinggi untuk memenuhi keperluan semua Inisiatif Smart Selangor seperti ‘Open Government ‘untuk jangka masa lima hingga tujuh tahun ke hadapan.

“Manakala, Smart Streetlamp merupakan inisiatif baharu yang bakal dilaksanakan di semua kawasan PBT bagi mewujudkan zon selamat menerusi pelaksanaannya itu nanti,” katanya.

Terdahulu, menerusi Belanjawan 2019, Kerajaan Negeri memperuntukkan sejumlah RM10 juta kepada SSDU bagi melaksanakan beberapa inisiatif baharu tahun ini.

SSDU sebelum ini ditubuhkan untuk merangka dan melaksana inisiatif yang menyumbang kepada pembangunan regional ‘Smart State’.

Categories
SELANGOR

Sabak Bernam sambut baik inisiatif masyarakat tanpa tunai

OLEH NORHAYATI UMOR

SABAK BERNAM, 18 MAC: Lebih 100 akaun baharu dibuka menerusi aplikasi e-wallet, Boost pada Karnival Jelajah 360 Smart Selangor yang diadakan di Stadium Sungai Besar, di sini, semalam.

Pengarah Urusan Smart Selangor Delivery Unit (SSDU), Dr Fahmi Ngah berkata, sambutan menggalakkan penduduk kawasan itu membuktikan rakyat Selangor bersedia ke arah masyarakat tanpa tunai.

Katanya, penerimaan rakyat di kawasan luar bandar membuktikan mereka peka inisiatif yang diusahakan kerajaan.

“Pembayaran E-Wallet ini sebagai contoh, kita ingat agak sukar dilaksanakan di sini namun, jangkaan itu meleset dan saya sendiri terkejut dengan penerimaan yang ditunjukkan.

“Walaupun moden tetapi ia digunakan secara menyeluruh dan diterima oleh penduduk di sini,” katanya kepada SelangorKini ketika ditemui pada karnival itu.

Terdahulu, Kerajaan Negeri berusaha menjadikan rakyat Selangor sebagai masyarakat pintar meliputi semua aspek kehidupan termasuk membabitkan kemudahan berbelanja.

E-walet, Boost boleh dimuat naik di ‘Play Store’ dengan menawarkan kemudahan e-wallet bersama deposit maksimum RM250 dan RM1,500.

Bagaimanapun tiada hak minima dikenakan untuk pengguna memasukkan nilai wang di dalam e-wallet ini.