Categories
NASIONAL

TPPA: Adakan referendum rakyat demi kedaulatan negara

KUALA LUMPUR 25 JAN: Kerajaan Persekutuan digesa mengadakan referendum rakyat sebelum membuat keputusan menyertai Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) agar tidak mengancam kedaulatan negara.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata beliau tidak mahu sejarah berulang dalam Perjanjian Pangkor 1874 yang membuka pintu kepada penjajahan di negara ini.

“Perjanjian Pangkor macam TPPA akan membenarkan kuasa asing tentukan perundangan seperti ISDS dan hanya tinggalkan urusan agama dan adat resam pada kita,” kata Wan Azizah dalam perbahasannya di Dewan Rakyat, hari ini.

TPPAKatanya beliau tidak mahu ‘Pivot to Asia’ yang menjadi ‘Pivot to Trade and Investment not Democracy’ bertukar menjadi ‘Pivot to Security’ apabila terpaksa membenarkan pengkalan tentera asing dibina di negara ini.

“Janganlah pula perjanjian TTPA ini membuka luas pintu serta terbinanya pengkalan tentera asing di bumi tercinta kerana konon mahu melindungi TPPA.

“Jangan kita terjerat dengan bentuk penjajahan baru akibat penswastaan negara kepada syarikat multi nasional barat seperti mana Syarikat Hindia Timur menjadi alat menjajah dahulu,” kata Wan Azizah.

Katanya, beliau mengajak Ahli Dewan Rakyat menolak usul bagi menyeret negara dalam jebak TPPA yang lebih mementingkan pelabur asing.

“Justeru adalah baik jika satu referendum untuk semua rakyat diadakan agar sejarah Perjanjian Pangkor dan Malayan Union tidak berulang.

“Bayangkan rupa wajah sejarah negara sekarang jika ketika itu rakyat dapat membuat referendum ke atas perjanjian kuasa asing itu,” katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.