Categories
SELANGOR

UNISEL nafi jalankan kajian calon MB Kedah

Oleh : AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 22 JAN: Universiti Selangor (UNISEL) hari ini menafikan pihaknya membuat sebarang kajian ke atas mana-mana individu yang layak menjadi Menteri Besar Kedah.

Pengarah Komunikasi Korporat UNISEL, Hasril Abu Hassan, berkata sebaran gambar di laman sosial itu dipercayai dilakukan pihak tertentu dengan agenda tersendiri.

IMG_0230“UNISEL tidak pernah menjalankan kajian bagi menentukan mana-mana individu yang layak diangkat menjadi Menteri Besar Kedah buat masa ini.

“Sebarang usaha menggunapakai nama universiti bagi tujuan itu dikhuatiri mempunyai agenda tertentu dan diharap penjelasan ini mampu menjernihkan keadaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, sekeping gambar dimuat naik menerusi akaun Facebook ‘perlisnews’ menggunakan nama UNISEL bagi menunjukkan perbezaan sokongan antara dua pimpinan Umno.

‘Kajian’ itu menunjukkan Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah mendapat 76 peratus sokongan untuk menjadi Menteri Besar Kedah manakala Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir sekadar mendapat 24 peratus.

Krisis kerusi Menteri Besar Kedah mula hangat sejak dua hari lalu apabila pimpinan Umno dan Adun negeri itu menyatakan ‘hilang keyakinan’ terhadap kepimpinan Mukhriz.

Mereka mendakwa, Mukhriz gagal menyatukan ahli parti serta tidak mempunyai perancangan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14).

-AA-

Leave a Reply

Your email address will not be published.