Categories
NASIONAL SELANGOR

Vape : Selangor gesa KKM gubal undang-undang

Oleh : AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 13 JAN: Kerajaan Selangor mendesak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menggubal peruntukan undang-undang berkaitan penggunaan rokok elektronik atau vape untuk dilaksanakan dengan berkesan.

Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi, berkata rumusan bengkel khas berkenaan vape pada 10 hingga 12 Januari lalu sudah dibawa ke Mesyuarat Exco hari ini.

Katanya, hasil mesyuarat meminta ia ditangani dengan penuh tanggungjawab tanpa bertindak tergesa-gesa dan mendapat maklum balas daripada pelbagai pihak.

DAROYAH“Kerajaan Selangor bersetuju sebarang keputusan berkaitan penggunaan vape adalah tertakluk kepada arahan dan dasar semasa KKM.

“Oleh itu, Kerajaan Negeri mendesak KKM untuk menggubal, mengkaji dan menyemak akta serta undang-undang diperuntukkan supaya penguatkuasaan sepenuhnya terhadap akta itu mampu dilaksanakan dengan berkesan,” katanya dalam satu kenyataan.

Daroyah berkata, semua akta terlibat dalam pelaksanaan isu itu seperti Akta Racun 1952, Akta Jualan Dadah 1952, Akta Makanan 1983 dan Peraturan-peraturan Makanan 1985 adalah di bawah bidang kuasa KKM, bukannya Kerajaan Negeri.

Katanya, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Selangor juga tidak akan memberikan sebarang kelulusan atau pembaharuan lesen kepada pengusaha vape selaras dengan surat KKM bertarikh 9 Disember 2015 sehingga satu keputusan dikeluarkan Kerajaan Persekutuan.

Setakat ini, kira-kira 69 lesen sudah dikeluarkan dan 30 daripadanya merupakan lesen sementara.

Kerajaan Negeri juga melalui PBT akan mewartakan semua kawasan larangan merokok di Selangor sebagai kawasan larangan vape, antaranya premis kerajaan, hospital, institusi pendidikan, kawasan ibadat, taman permainan dan rekreasi, kawasan rawat dan rehat (RNR) dan lain-lain.

“Larangan penjualan kepada kanak-kanak dibawah usia 18 tahun ke bawah adalah dikekalkan sepertimana larangan terhadap penjualan tembakau dan rokok.

“Bagi meningkatkan kesedaran dan pendidikan terhadap kesan dan kemudaratan vape, Kerajaan Negeri akan memperbanyakkan kempen dan program kesihatan kepada semua lapisan masyarakat,” katanya.

-AA-

Leave a Reply

Your email address will not be published.