Categories
SELANGOR

Zainal: “Terima kasih Kuala Lumpur beri tentangan hebat”

SHAH ALAM 27 JAN: Jurulatih Selangor, Zainal Abidin Hassan berterima kasih kepada pasukan Liga Premier, Kuala Lumpur kerana memberi tentangan hebat kepada juara Piala Malaysia 2015 itu pada perlawanan pramusim 2016 di Stadium Selayang, malam tadi.

Biarpun beraksi 10 pemain sepanjang babak kedua, Kuala Lumpur kendalian Ismail Zakaria berjaya mendahului menerusi Anselmo Arruda Da Silva pada minit ke-49.

ZainalMujur Selangor berjaya bangkit membalas dua gol menerusi Mauro Olivi pada minit ke-52 dan Patrick Ronaldinho Wleh, minit ke-72 untuk kemenangan 2-1.

“Terima kasih kepada Kuala Lumpur. Saya rasa inilah tahap permainan yang harus kami perolehi sebagai persiapan menjelang saingan Liga Super musim ini.

“Dengan tahap permainan yang begitu tinggi pada malam ini, alhamdulillah pemain-pemain Selangor berjaya dapat menyesuaikan diri dengan keadaan.

“Jadi di sini kita dapat melihat sebenarnya apa yang kita berlatih. Tapi masih ada sedikit sebanyak yang perlu diperbaiki sebelum saingan Liga Super bermula,” kata Zainal di laman sesawang FA Selangor.

Biarpun Olivi dan Ronaldinho menjaringkan gol pada aksi malam tadi, Zainal ternyata masih belum berpuas hati dengan keserasian gandingan dua pemain import baharu Selangor itu.

“Seperti yang saya pernah katakan, Olivi dan Ronaldinho ini memiliki keistimewaan masing-masing tetapi belum lagi mendapat keserasian dan persefahaman bersama.

Azif Red Giants'“Tapi perlahan-lahan kita dapat lihat kedua-duanya telah menjalankan tugas dengan baik sebagai satu pasukan dan kedua-duanya menjaringkan gol pada malam ini. Itu yang kita mahukan kerana jaringan gol adalah amat penting,” jelas Zainal.

Tatkala persiapan awal musim Selangor dihimpit pelbagai kontroversi sejak Zainal hadir menggantikan Mehmet Durakovic, bekas pengendali Pahang itu bagaimanapun kini semakin lega apabila perkembangan pasukannya tampak semakin positif.

“Saya mendapat sokongan dan dorongan yang baik terutama daripada para pemain. Mereka telah memberikan segalanya dan menunjukkan fikiran serta persembahan yang positif setakat ini.

“Selain itu, nampak perkembangan dan peningkatan yang sedikit sebanyak memberikan impak positif terhadap pasukan,” tambah Zainal.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.