Categories
BERITA UTAMA

Ada apa dengan Kuala Lumpur?

OLEH : FAHMI FADZIL

Hari ini merupakan hari memperingati 42 tahun sejak penubuhan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, di mana pentadbiran ibu negara Malaysia ditukar dari kerajaan negeri Selangor ke Kerajaan Persekutuan.

42 tahun bukanlah satu jangkamasa yang lama, bila dilihat dari sudut sejarah pentadbiran bandaraya-bandaraya dan ibu kota-ibu kota di dunia seperti London dan Paris, mahupun Bangkok dan Jakarta.

Sebagai warga kota Kuala Lumpur hari ini yang terus membangun pesat dengan jumlah penduduk yang sudah mencecah 1.5 juta (dan lebih 7 juta, jika dimasukkan sekali mereka yang tinggal di seluruh Lembah Klang), dan dengan adanya dokumen rasmi seperti Pelan Struktur Kuala Lumpur 2020, memang sesuai jika kita gunakan hari ini untuk merenung dan memikirkan kembali erti bandaraya Kuala Lumpur dalam konteks pembangunan insan dan negara.

KUALA LUMPURDewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebagai kerajaan tempatan yang diamanahkan mentadbir dan mengurus Kuala Lumpur diperuntukkan RM2.72 bilion (lebih RM0.12 bilion sahaja dari isu yang satu lagi tu) bagi tahun 2016.

Dengan jumlah yang begitu besar ini, kita perlu bertanya adakah realiti kehidupan di Kuala Lumpur hari ini sudah memadai, atau masih kah ada isu-isu yang perlu ditangani dengan lebih menyeluruh?

Walaupun saya dibesarkan di Kuala Lumpur, saya mula banyak berfikir tentang isu dan masalah yang dihadapi warga kota setelah menjadi lebih aktif dalam politik sekitar 2010, terutama sebagai Ketua Penerangan KEADILAN Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Kini, selepas memulakan kerja dengan membuka Pusat Khidmat Masyarakat KEADILAN Setiawangsa pada 4 Disember yang lalu dan bertemu dengan warga sekitar Setiawangsa sama ada di pasar-pasar mahupun program setempat, saya telah mengenalpasti beberapa isu penting yang dihadapi warga kota, termasuk cadangan-cadangan saya tentang langkah yang boleh diambil:

1) Kesesakan lalulintas yang semakin teruk

Bila bercakap tentang Kuala Lumpur, terutama bagi mereka yang bekerja di sekitar ibu kota, akan timbul isu ‘traffic jam’. Baru-baru ini, seorang kawan yang tinggal di Selayang bercerita bagaimana dia terpaksa menghabiskan hampir sejam setengah setiap pagi untuk ke tempat kerja di Midvalley.

Bagi mereka yang tinggal di Setiawangsa, jalan-jalan yang akan sesak hampir setiap hari kerja temasuklah Jalan Semarak, Jalan Genting Klang, Jalan Setiawangsa malah juga Lebuhraya DUKE.

Yang saya amati, perlu diwujudkan jaringan infrastruktur pengangkutan awam sama ada rasmi ataupun tidak yang mampu menyelesaikan masalah ‘last mile solution’, atau persoalan bagaimana membolehkan seorang itu pergi ke stesen LRT (contohnya) tanpa menggunakan kenderaan sendiri.

Contohnya dengan mewujudkan rangkaian motosikal seperti di Jakarta (ojek) dan Bangkok (motorcycle taxi) yang mampu membawa penumpang dari rumah ke stesen bas/LRT dan sebagainya. Harga bayaran mesti berpatutan, sekitar RM1-3 bergantung kepada jarak.

Dengan langkah ini, bukan sahaja kita dapat mengurangkan jumlah kereta di jalanraya (terutama mereka yang mahu ke stesen LRT dll), kita juga mewujudkan peluang pekerjaan separuh atau sepenuh masa bagi mereka yang mempunyai motorsikal. Isu pengawalan boleh menggunakan sistem serupa seperti Grab atau Uber.

2) Kos barang naik, tetapi mungkin kah kita perlukan lebih banyak.

Setiap kali saya ke pasar pagi untuk bertemu warga tempatan, saya akan bertanya para peniaga tentang perniagaan mereka pasca pengenalan GST dan kejatuhan nilai mata wang ringgit.

Ramai yang berkata pendapatan mereka berkurangan sebab ramai yang tidak berbelanja seperti dulu; ada yang mengeluh kerana harga kos barang sudah meningkat.

(contoh: harga kos kacang dhal putih meningkat dari sekitar RM3.50 sekilo hingga RM11 lebih sekilo sekarang, manakala harga kos petai meningkat hampir 300% jika peniaga membeli petai dari Thailand); dan macam-macam lagi.

Walaupun kerajaan tempatan tidak boleh mengubah dasar fiskal atau dasar makro-ekonomi yang lain, namun sekurang-kurangnya DBKL lebih sensitif kepada keperluan para pembeli dan juga peniaga terutama peniaga pasar tani.

Ini kerana pasar tani membolehkan rakyat membeli sambil berjimat. Oleh itu, kemudahan secukupnya perlu diberi kerana di dalam senario di mana gaji kita tidak naik tetapi harga barang terus meningkat, rakyat mahukan penyelesaian yang cepat tetapi berkesan.

Contoh: Dua minggu lalu, setelah lebih sedekad beroperasi di hadapan Giant di Taman Setiawangsa, Pasar Tani Setiawangsa telah dipindahkan ke kawasan di tepi Aeon AU 2, di sempadan Kuala Lumpur dan Selangor.

Saya difahamkan pemindahan yang berlaku secara tiba-tiba ini telah menimbulkan keresahan di kalangan pembeli malah juga peniaga.

Malah pemindahan ini turut menimbulkan masalah tambahan apabila orang ramai terpaksa meletakkan kereta di Jalan Taman Setiawangsa, mengakibatkan 6 lorong berkurangan menjadi 2 lorong pada pagi Sabtu.
Bagi saya, pasar tani ini patut dipindahkan balik ke lokasi asal. Saya harap pihak DBKL boleh kaji semula pemindahan ini, demi kemaslahatan umum.
Malah apakah mungkin diwujudkan lebih banyak pasar tani seperti Pasar Tani Setiawangsa ini?

3) Pembangunan pesat, tetapi kemudahan perumahan sedia ada masih kurang memuaskan.

Sesiapa yang melalui Seksyen 10 atau Seksyen 5 Wangsa Maju akan dapat lihat betapa rancaknya pembangunan di sekitar kawasan tersebut.

Jangkaan saya, projek-projek yang sudah berjalan ini mungkin menambah 5,000-7,000 orang penduduk di Setiawangsa dalam masa 3-5 tahun yang akan datang.

Pada masa yang sama, beberapa kawasan perumahan yang sudah mencecah 30 tahun nampaknya mahu dibangun semula.

Impak terhadap trafik, kemudahan letak kereta dan banyak lagi adalah cukup besar, terutama dalam masa 5 tahun yang akan datang ini.

Saya percaya pihak berkuasa cukup berhati-hati mengendalikan isu seperti perumahan dan pembangunan. Namun bagi saya, ada dua permasalahan berbeza berkait dengan isu ini:

i. Kemudahan di kawasan perumahan.

Sesiapa yang tinggal di kawasan PPR tahu isu tempat letak kereta adalah satu isu besar yang cukup sukar untuk diatasi.

Mungkin jawapannya ada pada perkara 1 yang disebut di atas – jika kemudahan pengangkutan awam memadai dan menyeluruh, mungkin kita tidak perlu membeli kereta dan cuma perlu menyewa bagi perjalanan-perjalanan tertentu?

Atau mungkin jawapannya ada pada reka cipta kawasan perumahan PPR itu sendiri? Adakah boleh diwujudkan sistem simpanan kereta disusun bertindan (stackable), seperti di negara lain?

Ada pelbagai isu yang lain, tetapi mungkin saya akan bincang dalam artikel yang berbeza.

ii. Pembangunan yang dianggap terlalu rancak, terutama sekitar Bukit Dinding.

Sejak 2014, penduduk di Seksyen 5 dan 6 Wangsa Maju telah kuat bersuara menentang sebarang projek pembangunan di Bukit Dinding. Mereka risau kejadian seumpama Highland Towers dahulu akan berulang lagi.

Pada masa yang sama, ramai menganggap Bukit Dinding itu satu keindahan alam sekitar yang patut disimpan malah berpotensi tinggi untuk aktiviti-aktiviti riadah seperti mendaki dan sebagainya.

Oleh itu, saya berharap pihak berkuasa akan terus bersikap telus dan terbuka di dalam perbincangan mereka dengan para penduduk malah juga pemaju yang mungkin berminat dengan kawasan tersebut.

Kita perlu mencari jalan penyelesaian yang seimbang di antara warisan semula jadi dan pembangunan yang mampu menjana ekonomi.

Dalam rencana ini saya telah sedikit sebanyak melakarkan beberapa masalah serta cadangan saya khusus untuk Setiawangsa.

Tetapi saya percaya, satu dialog atau perbincangan peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur perlu diadakan demi mengenal pasti isu-isu, impian malah harapan rakyat, demi masa depan yang lebih baik.

Selamat menyambut Hari Wilayah yang ke-42!

* Fahmi Fadzil adalah Pengarah Komunikasi KEADILAN
Naib Ketua Angkatan Muda KEADILAN
Penyelaras Pusat Khidmat Masyarakat KEADILAN Setiawangsa

Leave a Reply

Your email address will not be published.