Categories
SELANGOR

Exco ‘terjah’ pemaju langgar kontrak kerja tanah

Oleh: ERMIZI MUHAMAD

RAWANG, 24 FEB : Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib mengadakan lawatan mengejut ke sebuah tapak pembinaan dekat Taman Bandar Baru Kundang, di sini.

Beliau berkata, lawatan itu dibuat susulan kekerapan banjir di mukim Rawang akibat perlanggaran kerja-kerja pembinaan tidak mengikut spesifikasi.

IMG_20160224_160936“Melalui pemantauan ini diharapkan pemaju melakukan kesalahan dapat menjalankan langkah kawalan hakisan dan kelodakan segera dengan menghantar laporan kerja kepada JPS Selangor,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan terbabit.

Dalam lawatan itu, beliau turut mengenal pasti dua permasalahan membabitkan sistem perparitan dan hakisan tanah yang membolehkan banjir berlaku di kawasan berkenaan.

“Dalam keadaan tidak hujan pun kita lihat hakisan dan aliran sungai tidak sempurna, bagaimana pula kalau hujan lebat?

“Sebab itu kita agak keras terhadap masalah ini dan kalau tiada sebarang gerak kerja terhadap amaran ini, kompaun akan dikenakan kepada syarikat pemaju,” katanya.

IMG_20160224_154354Beliau turut mengingatkan pemaju supaya mematuhi Pelan Kawalan Hakisan dan Kelodak seperti disyaratkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melalui kelulusan pihak berkuasa tempatan.

Projek perumahan Taman Bandar Baru Kundang diselia di bawah syarikat pemaju, Rawang Lakers Sdn Bhd dan peringkat kerja tanah di tapak itu bermula sejak tahun lalu.

Sementara itu, Pengarah Urusannya, David Soo Hoong Keong yang turut hadir ketika lawatan itu berjanji akan menyelesaikan permasalahan terbabit pada kadar segera.

-AA-

Leave a Reply

Your email address will not be published.