Categories
KENYATAAN MEDIA SELANGOR

Isu pembalakan : Tuduhan Chegu Bard tidak berasas

Susulan daripada kenyataan Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Selangor yang bertarikh 23hb Februari 2016, saya ingin menekankan beberapa perkara:-

Kenyataan awal Dato’ Menteri Besar Selangor tentang pengamalan tender terbuka untuk pengurniaan konsesi pembalakan adalah betul. Ini adalah amalan yang dipraktikan oleh Kerajaan Negeri Selangor sejak 2008.

Walaubagaimanapun, Kerajaan Negeri Selangor tidak lagi memberi konsensi pembalakan di Negeri Selangor sejak dasar moratorium 25 tahun memberhentikan pembalakan komersial diumumkan di dalam Dewan Negeri Selangor dan dilaksanakan pada tahun 2010.

Selangor merupakan negeri pertama di Malaysia yang tegas dan berani membekukan semua aktiviti pembalakan komersial.

Fokus Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) sejak 2008 adalah kepada aktiviti pemeliharaan dan pemuliharaan hutan simpan serta penambahan keluasan hutan di Negeri Selangor. Dasar Kerajaan Negeri Selangor ialah untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 30% keluasan hutan simpan di dalam negeri, dan pada hari ini, peratusan keluasan hutan simpan telah bertambah kepada lebih daripada 31.5%.

Harus ditekankan dan diambil perhatian bahawa kedua-dua kontrak yang kononnya diberi secara “salah” yang dituduh oleh Badrul Hisham (Chegubard) adalah tidak berasas; ia termasuk dalam kategori penebangan pokok bagi tujuan pembersihan dan bukan pembalakan komersil.

Prosedur di bawah Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negara 1984 sentiasa digunapakai dalam membuat penilaian permohonan. Aktiviti penebangan yang dibenarkan adalah hanya untuk pembersihan dan pindahan kayu-kayan yang tidak boleh dielakkan untuk projek-projek berkepentingan awam seperti projek-projek infrastruktur. Prosedur yang mengikuti aktiviti pembersihan termasuk penilaian kawasan, penilaian syarikat, “tagging”, penandaan pokok-pokok dan lain-lain, adalah dibawah bidangkuasa Jawatankuasa Pengurusan Perhutanan Negeri Selangor (JPPNS) yang dianggotai oleh pegawai-pegawai agensi teknikal berkenaan yang memberi pandangan nasihat dari segi kepakaran mereka. Dato’ Menteri Besar, Ahli MMKN atau ahli-ahli politik bukan anggota JPPNS.

Untuk makluman, bagi setiap pokok yang ditebang bagi tujuan pembersihan atau pindahan, pihak Kerajaan Negeri telah menetapkan kadar bayaran gantirugi dan Negeri Selangor mempunyai kadar yang tertinggi di Malaysia bagi tujuan pencegahan (deterrent) dan juga bagi pemuliharaan pokok dan hutan.

Syor-syor dan syarat-syarat kemudian akan dikemukakan oleh JPNS kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) untuk pertimbangan.

Seterusnya, kedua-dua kes yang didakwa oleh Badrul Hisham yang kononnya mempunyai unsur “rasuah” atau “salahguna kuasa” adalah tidak berasas kerana keputusan yang dibuat oleh Pihak Berkuasa Negeri adalah secara kolektif dan berdasarkan syor-syor yang dibuat oleh JPNS.

Saya berharap penjelasan diatas serta kenyataan dari pihak Jabatan Perhutanan Negeri Selangor telah menjawab segala tomahan yang ditimbulkan Badrul Hisham (Chegubard). Oleh itu, Badrul Hisham bertanggungjawab menghentikan segala fitnah dan tohmahan terhadap Kerajaan Negeri dengan serta merta. Pada masa yang sama, pihak kami telah merujuk kepada pihak peguam untuk proses perundangan.

YB Elizabeth Wong
Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor
Pengerusi Tetap Pelancongan, Alam Sekitar,
Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna

Leave a Reply

Your email address will not be published.