Categories
SELANGOR

Isu puluhan tahun pemilikan tanah Kampung Kuala Pangsun berakhir

OLEH: HAFIZAN TAIB

HULU LANGAT, 13 FEB: Masalah pemilikan kekal dihadapi penduduk di Kampung Kuala Pangsun dalam mukim Hulu Langat di sini sejak puluhan tahun berakhir hari ini apabila memperoleh geran tanah dikeluarkan Pejabat Daerah Hulu Langat.

Adun Dusun Tua, Razaly Hassan, berkata penyelesaian perkara itu dijalankan dalam tempoh beberapa tahun dengan kerjasama pejabat daerah sekali gus mengakhiri masalah membelenggu penduduk di kawasan berkenaan.

Penyerahan geran tanah YB Razaly di Pongsoon Hulu Langat (ASRI) (2)“Kita berjaya menyelesaikan masalah penduduk yang selama ini tidak pasti status dan sempadan tanah diduduki mereka.

“Kita serahkan geran tanah kekal dan inilah tanggungjawab Kerajaan Negeri atas tema “Pembangunan Berkualiti Rakyat Dipeduli” dan diteruskan lagi usaha mengatasi masalah ini,” katanya selepas Majlis Penyerahan Geran Tanah bagi mukim Hulu Langat di Kampung Kuala Pangsun, di sini, hari ini.

Seramai 66 penduduk menerima geran tanah kekal disampaikan Razaly dalam majlis turut dihadiri Pegawai Daerah Hulu Langat, Zul-Kefli @ Zulkefli Khalid.

Beliau berkata, pemberian terbabit adalah bagi fasa pertama dan fasa seterusnya dijalankan supaya masalah geran tanah di DUN Dusun Tua dapat diatasi dari semasa ke semasa.

Penyerahan geran tanah YB Razaly di Pongsoon Hulu Langat (ASRI) (1)Katanya, Kerajaan Negeri melalui pejabat daerah diminta memberi pertimbangan terhadap memberian geran terbabit kepada penduduk yang menduduki sesuatu kawasan melebihi 15 tahun.

“Hingga kini ramai empunya tanah mengunjungi saya menghadapi masalah tiada geran dan hanya memiliki surat pemilikan sementara.

“Apa diharapkan supaya tanah rezab Melayu dan pertanian ini apabila diberikan geran tanah, dapat dikekalkan serta tidak semudah itu untuk dijual terutama kepada bukan Melayu,” katanya.

Beliau berkata, dengan berakhir isu di kampung itu maka tumpuan beralih ke kampung seterusnya seperti Lubuk Kelubi, Mampir dan Sungai Serai.

Bagi penyelesaian di Kampung Mampir, katanya, kawasan diduduki penduduk kira-kira 30 hingga 40 tahun itu perlu dirobohkan bagi pembangunan semula.

“Itu usaha sedang dilakukan mengikut syarat ditetapkan pejabat daerah dan selagi tidak dirobohkan maka tidak boleh serta mereka dianggap mencerobohkan sedangkan mereka beli tanah di situ,” katanya berhubung pemberian geran tanah kekal bagi kampung berkenaan.

Sementara itu, Zulkefli berkata, penyerahan geran tanah itu berjaya dilakukan selepas usaha dijalankan membuahkan hasil seperti mana ditetapkan.

“Masalah tanah ini bukan boleh diselesaikan dalam sehari dua dan ia membabitkan pelbagai pihak termasuk Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) yang menentukan sempadan tanah.

“Maka usaha ini diteruskan bagi membantu penduduk memperoleh hak mereka,” katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.