Categories
NASIONAL

Husam dirujuk ke jawatankuasa disiplin PAS

OLEH : AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 13 FEB: Bekas Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa bakal dirujuk kepada jawatankuasa disiplin parti ekoran tindakannya mengkritik kepimpinan parti mutakhir ini.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, dalam sidang media di Ibu Pejabat PAS berkata, nasib Yang Di Pertua PAS Kubang Kerian dan Adun Salor itu diputuskan jawatankuasa dipengerusikan Dr Daeng Sanusi Daeng Mariok.

“Setelah mengkaji semua aspek termasuk mematuhi prinsip asas yang ada, peraturan terhadap tindakan berat sebelah dan konflik kepentingan, Jawatankuasa PAS Pusat memutuskan aduan tatatertib ini wajar diserahkan kepada Jawatankuasa Tatatertib Parti untuk diputuskan mengikut peraturan dan undang-undang berkatian serta Perlembagaan PAS,” katanya.

Beliau berkata Jawatankuasa Tatatertib diminta untuk mempertimbangkan dan memutuskan keputusan segera bagi mengelakkan kesan tidak baik, tohmahan yang berterusan serta merugikan parti.

Husam sebelum ini dilihat lantang mengkritik kepimpinan tertinggi PAS dalam beberapa isu termasuk Kerajaan Kelantan.

Sementara itu, Husam berkata beliau bersedia bertemu jawatankuasa disiplin parti itu ekoran kritikannya terhadap kepimpinan.

Bagaimanapun, beliau mengutarakan isu dibangkitkan sebelum ini dikatakan bercanggah dengan dasar PAS.

“Insya Allah, saya bersedia menemui jawatankuasa disiplin parti. Saya menunggu kertas pertuduhan rasmi untuk membolehkan menyediakan pembelaan sewajarnya.

“Pada masa yang sama, saya menyampaikan kepada jawatankuasa disiplin nanti perkara bercanggah dengan dasar PAS dan Islam yang dilakukan pihak di dalam PAS yang saya bangkitkan selama ini,” katanya dalam satu kenyataan.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.