Categories
NASIONAL

Jumlah mangsa banjir di Sarawak dan Johor kekal

KUALA LUMPUR, 12 FEB : Jumlah mangsa banjir yang berada di pusat pemindahan banjir di Sarawak dan Johor pagi ini tidak berubah.

BERNAMA melaporkan di Sarawak jumlah mangsa banjir yang berada di lapan pusat pemindahan banjir yang dibuka di bahagian Kuching dan bahagian Serian setakat 8 pagi ini tidak berubah, jumlah mangsa kekal 1,748 orang daripada 479 keluarga.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Pertahanan Awam Sarawak Siti Huzaimah Ibrahim berkata pemantauan sedang dibuat ke atas lapan lagi pusat pemindahan yang masih dibuka; iaitu empat di bahagian Kuching serta empat di bahagian Serian.

Menurutnya beberapa lagi pusat pemindahan mungkin akan ditutup hari ini memandangkan tiada lagi kawasan yang mengalami banjir serius di sekitar sini sejak semalam.

Beliau berkata fenomena air pasang besar yang menjadi antara punca kejadian banjir Ahad lepas, sudah berlalu untuk bulan ini, dan paras air sungai sudah kembali normal.

Di Johor, jumlah mangsa banjir yang masih berada di sebuah pusat pemindahan di Segamat tidak berubah iaitu seramai 10 orang sehingga pagi ini.

Menurut jurucakap Jawatankuasa Pengurusan Banjir daerah Segamat, 10 mangsa daripada dua keluarga itu ditempatkan di pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan di Spang Loi.

“Paras air Sungai Muar Buloh Kasap masih berada di paras bahaya dan belum ada tanda akan surut,” katanya.

Katanya agensi terbabit akan terus melakukan pemantauan dari semasa ke semasa.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.