Categories
NASIONAL

KEADILAN gerak kempen bantah hukuman berat pemberi maklumat

SHAH ALAM 7 FEB: KEADILAN menggerakkan kempen di media sosial untuk mendapatkan sokongan rakyat Malaysia untuk menolak cadangan pindaan ini dan menuntut Peguam Negara bertindak secara bebas telus dan adil.

Naib Presiden KEADILAN, Rafizi Ramli, kempen itu ekoran kenyataan Peguam Negara, Tan Sri Mohamad Apandi Ali yang berhasrat meminda Akta Rahsia Rasmi 1972 dengan mengenakan hukuman lebih berat termasuk penjara seumur hidup dan sebatan.

Katanya, satu lagi unsur penindasan dicadangkan beliau ialah untuk mendakwa wartawan dan editor berita yang menerbitkan berita berkenaan maklumat yang bocor.

Apandi AG“Memandangkan cadangan pindaan itu penindasan terhadap wartawan dan kebebasan media, saya percaya perkara ini menjadi isu di peringkat antarabangsa yang memburukkan lagi imej Datuk Seri Mohd Najib Razak di mata dunia.

“Apandi disaran membatalkan hasratnya meminda Akta Rahsia Rasmi 1972 sebelum beliau sendiri terjebak dalam kebangkitan kemarahan rakyat yang kini disasarkan kepada Perdana Menteri,” kata Rafizi dalam kenyataan media.

Katanya, usul pindaan itu ketika kredibiliti Apandi sebagai Peguam Negara berada pada tahap yang paling rendah ekoran keputusannya menutup siasatan terhadap Najib berkenaan wang RM2.6 bilion.

“Sudah tentu cadangan pindaan itu dilihat sebagai usaha lanjut untuk menutup sebarang pendedahan mengenai salah laku atau penyelewengan kerajaan Barisan Nasional,” katanya.

Rafizi berkata sejak tujuh tahun lalu, pelbagai salah laku penyelewengan dan rasuah didedahkan kepada orang ramai berikutan dokumen bocor.

“Saya sendiri banyak mengendalikan pendedahan ini termasu skandal NFC, skandal 1MDB, pembelian jet mewah, penganugerahan kontrak LRT kepada George Kent oleh Perdana Menteri yang tidak mengikut saranan Jawatankuasa Perolehan dan bermacam-macam lagi.

“Kebocoran maklumat merupakan salah satu sebab utama imej Barisan Nasional jatuh merudum kerana selalu disabitkan dengan salahlaku rasuah dan penyelewengan,” katanya.

Rafizi berkata punca kepada kebocoran maklumat ini ialah kerana gejala rasuah dan penyelewengan di peringkat pimpinan kerajaan yang terlampau sehingga menyebabkan mereka yang mengetahuinya mengambil risiko membocorkannya demi kepentingan umum.

Katanya, fenomena meningkatnya maklumat diberikan pemberi maklumat menunjukkan kurangnya keyakinan mereka kepada kemampuan badan penguatkuasa berlaku adil menyiasat penyelewengan tersebut secara bebas.

“Apandi sepatutnya insaf tindak tanduk beliau menutup kes bersabit Perdana Menteri salah satu punca mendorong lebih banyak kebocoran maklumat kerana orang ramai hilang keyakinan kebebasan beliau sebagai Peguam Negara,” katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.