Categories
NASIONAL

KEADILAN: Salahkah pelajar UM kritik isu kuota internet?

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 11 FEB: KEADILAN menggesa Universiti Malaya (UM) menggugurkan tindakan tatatertib terhadap enam pelajarnya yang mengkritik isu kuota Internet di kampus itu.

Naib Presidennya, Nurul Izzah Anwar, berkata pengurusan UM sewajarnya memberi perhatian terhadap permasalahan dihadapi pelajar, bukannya menghukum mereka.

Katanya, pandangan enam pelajar UM itu selari dengan hakikat Malaysia mempunyai akses Internet lambat dan tidak setanding dengan caj yang perlu dibayar untuk khidmat terbabit.

Nurul-Izzah“Tindakan opresif terhadap enam pelajar hanya kerana menyuarakan had akses kepada capaian tanpa wayar (WiFi) di kampus membuktikan pihak pengurusan menganggap mahasiswa selaku robot tidak bernyawa,” katanya dalam kenyataan.

Enam pelajar itu adalah Nur Hananie Chow Abdullah, Suhail Wan Azahar, Fahmie Nuaiman, Muhammad Luqman, Ho Chi Yang dan Chua Hun Chi menerima notis berkenaan prosiding tatatertib dan diarahkan hadir ke prosiding pada 15 Februari di UM.

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu turut membandingkan perkhidmatan Internet antara negara ini dan Thailand serta Singapura yang menawarkan harga lebih berbaloi.

“Perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi, UNIFI dikategorikan sebagai terbaik dan capaiannya adalah 20 megabait sesaat (mbps) dengan caj yang dikenakan melebihi RM100.

“Berbanding capaian internet di Singapura, iaitu 500 mbps ke satu gbps; sementara Thailand pula adalah 44 mbps, ditambah syarikat telekomunikasi (Telco) di negara itu menawarkan pelbagai pakej.

“Namun di Malaysia, tarif asas adalah berharga RM25 untuk 1GB yang ditawarkan semua pembekal perkhidmatan,” katanya.

wifiSebelum ini, Persatuan Untuk Belia Baru UM (UMANY) dan Persatuan Mahasiswa Islam UM (PMIUM) menyuarakan kritikan terhadap keputusan UM menghadkan akses WiFi di kampus kepada 5GB mulai Mac 2016.

Kuota Internet bakal dikurangkan dan bayaran tambahan akan dikenakan untuk penggunaan WiFi di kampus.

Justeru, Izzah berkata, Kerajaan Persekutuan perlu mengotakan janji kepada mahasiswa untuk tidak menaikan yuran pengajian bahkan tidak akan membenarkan universiti awam mengenakan caj tambahan secara sesuka hati.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sewaktu membentangkan Bajet 2016 baru-baru ini mengumumkan peruntukan RM1.2 bilion di bawah SKMM untuk menambah baik infrastruktur telekomunikasi negara.

“Namun apa yang tidak diumumkan adalah pemotongan peruntukan kepada universiti awam membabitkan pemotongan kepada UM sebanyak 27.3 peratus atau RM175 juta.

“Saya musykil bagaimana Perdana Menteri boleh menambah baik infrastruktur telekomunikasi negara dalam masa sama membenarkan universiti awam menghadkan akses WIFI kampus,” katanya.

-AA-

Leave a Reply

Your email address will not be published.