Categories
SELANGOR

Projek hartanah wakaf UME 20 peratus lebih murah

Oleh: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 11 FEB: Lima projek pembangunan harta tanah wakaf dilaksanakan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menawarkan harga 20 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran semasa.

Projek terbabit adalah UME Teratai Avenue, UME Ehsan Residence di Seksyen 30 di sini serta UME Impian Taman Desa Kencana, UME Idaman Taman Desa Kencana dan UME Gemersik, Taman Meru Makmur di Klang dengan anggaran kos RM135 juta.

Majlis Pelancaran Wakaf Perumahan oleh MAIS De palma (ASRI) (2)Pengerusi Eksekutifnya, Mohd Azli Md Yusof, berkata tawaran harga lebih rendah itu bagi memastikan produk pembangunan harta tanah wakaf mampu dimiliki orang Islam yang memerlukan.

“Projek dilancarkan ini kita jangkakan anggaran 20 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran.

“Setakat ini lebih kurang 50 peratus pemohon sudah mendaftar dengan kita,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Projek Pembangunan Hartanah Wakaf UME bersama PWS dirasmikan Pengerusi MAIS, Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa di sini, hari ini.

Beliau berkata, projek terbabit juga mendapat kebenaran Majlis Fatwa Negeri dengan pelaksanaannya menepati konsep wakaf termasuk pajakan 99 tahun.

Katanya, projek bagi produk Waqf Home “Rumah Terbina Ummah Sejahtera” dan Waqf Biz “Perniagaan Berterusan Ekonomi Ummah Berpanjangan” itu mendapat kerjasama baik pelbagai pihak termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) dan institusi kewangan.

Majlis Pelancaran Wakaf Perumahan oleh MAIS De palma (ASRI) (1)“Tiga elemen penting di dalam konsep itu adalah harta tanah wakaf tidak boleh dijual, dicagar dan diwarisi.

“Itu sebabnya tiada projek komersial dijalankan UME dan dalam urusan ini juga tidak perjanjian jual beli di mana sistem pajakan diguna pakai bagi memastikan pegangan wakaf masih kekal milik pewakaf diamanahkan kepada MAIS,” katanya.

Projek terbabit adalah pembinaan perumahan dan lot kedai berkonsepkan ‘al-ijarah’ dan ‘tawarruq’ dengan anggaran harga rumah antara RM250,000 hingga RM650,000 bergantung kepada lokasi.

-AA-

Leave a Reply

Your email address will not be published.