Categories
SELANGOR

Khairuddin: “Mohon keampunan Allah”

OLEH : NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 9 FEB: Setiausaha PAS Selangor, Mohd Khairuddin Othman hanya mampu memohon keampunan Allah ekoran tindakannya mengenakan pakaian didakwa sesetengah pihak menyerupai pakaian Dewa Cao Guo Jiu iaitu salah satu dewa kepercayaan masyarakat kaum Cina.

Kata Mohd Khairuddin, beliau bukan sahaja tidak mengetahui pakaian dikenakannya pada majlis sambutan Tahun Baru Cina itu menyerupai pakaian Dewa Cao Guo, malah beliau dimaklumkan penduduk di situ bahawa pakaian serba merah itu merupakan pakaian ala tradisi Maharaja China.

khairuddin othman“Keyakinan saya bahawa perayaan Tahun Baru Cina adalah perayaan masyarakat Cina dan dengan sebab itu saya percaya pakaian itu adalah budaya dan ia tidak ada kena mengena dengan agama.

“Sebagai menghormati majlis budaya bangsa lain sebab itu saya tak menolak untuk memakainya. Saya serahkan isu ini kepada kepimpinan pusat untuk putuskan kedudukan saya.

“Kalau saya tersalah dari segi hukum, saya mohon keampunan dari Allah dan saya mohon maaf jika ada yang tersinggung. Saya yakin PAS dipimpin oleh kepimpinan ulama dan mereka lebih arif dari segi hukum dalam masyarakat majmuk seperti Selangor. Apa pun pandangan nanti, saya terima,” kata Mohd Khairuddin dalam satu kenyataannya kepada SelangorKini hari ini.

Gambar Mohd Khairuddin mengenakan pakaian serba merah ala Maharaja China, berjanggut dan bermisai palsu hingga paras dada pada satu Majlis Sambutan Tahun Baru Cina di Wangsa Permai menjadi viral di laman sosial facebook sejak semalam.

Sementara itu, di akaun laman sosial facebook Mohd Khairuddin, SelangorKini mendapati terdapat komen memberikan sokongan dan memuji tindakan Mohd Khairuddin yang berani mengakui kesilapan dan teguran dengan hati terbuka.

“Pendirian harus dipuji. Salah dan mengaku salah, mohon maaf. Syabas, ramai orang tak mampu buat ini… Setelah meneliti gambar memang sudah saya cam bahagian mata tu. Apa pun berhati-hati lain kali,” tulis Wan Amir Al-Hafiz.

Bagaimanapun Cheryl Berenice pula menulis “YB Khairuddin, yang itu bukan dewalah, itu cuma mitos orang Cina. Orang Cina tak sembah ikon tu. Saya rasa tak ada apa-apa pun. Lagipun warga tua Cina gembira sambut YB pada hari itu… YB jangan risau,” katanya.

Pendapat Cheryl Berenice turut senada dengan beberapa kenalan berbangsa Cina kepada Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor, Shafie Ngah.

“Saya merujuk kepada ramai orang Cina. Mereka setuju itu bukan pakaian dewa. Mereka juga setuju itu pakaian maharaja zaman dulu-dulu,” tulis Shafie pula.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.